SUASANA selepas hujan kembali menggamit Idayu untuk bersendiri lagi di tepi jeram, tempat kegemarannya. Dia mundar-mandir sambil mengutip ranting kayu dan daun-daun yang gugur akibat hujan lebat sebentar tadi. Langit yang sedikit gelap, memungkinkan hujan akan turun lagi nanti. Entah mengapa sejak tengah hari tadi hatinya meronta-ronta untuk datang ke mari.
Lamunan Idayu tiba-tiba dikejutkan oleh kocakan air jeram. Dia berpaling ke arah bunyi itu. Terkaku seketika apabila menyedari yang dia tidak bersendirian di situ. Di satu sudut berhampiran batu besar yang selalu didudukinya, kelihatan seorang pemuda tercegat sambil memandang ke arahnya. Hatinya tak semena-mena berdebar-debar apabila melihat pemuda itu.
'Doktor muda yang datang ke rumah pagi tadi? Eh... apa dia buat kat sini? Macam mana dia jumpa tempat aku ni?' Hati Idayu tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba dia merasa takut kerana sedar hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ.
Pemuda itu melangkah perlahan menghampirinya dan berhenti kira-kira lima kaki darinya. Idayu berfikir-fikir untuk pergi dari situ, tapi kakinya terasa kaku di tempat dia berdiri.
"Assalamualaikum."
Sunyi.
"Tak baik salam tak dijawab." Lembut sekali kedengaran suara itu.
Sepi lagi.
"Salam wajib dijawab."
"Waalaikumussalam." Akhirnya Idayu menjawab antara dengar dengan tidak. Suasana sunyi semula. Idayu lantas berpaling untuk pergi.
"Tunggu dulu!"
Suara pemuda itu menyebabkan langkah Idayu terhenti. Dia tahu, dia tidak sepatutnya berdua-duaan dengan lelaki itu di tempat sunyi begini. Bagaimanakah lelaki itu menjumpai tempat kegemarannya ini? Sedikit marah kerana sekarang tempat ini bukan rahsianya lagi.
"Tak apa kalau saya duduk di sini? Saya sukakan keindahannya," tanya Hairi menduga.
Sebal hatinya sebentar tadi apabila melihat Idayu berpaling untuk pergi. Dia ingin berbual-bual dengan gadis itu, memang itulah tujuannya datang ke sini selepas hujan reda tadi. Dia menunggu penuh sabar kedatangan gadis ini. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang untuk menegurnya kali ini.
"Tak apa, tempat ni memang termasuk dalam tanah ayah tapi... keindahannya bukan milik peribadi sesiapa." Lembut Idayu menutur kata tanpa memandang ke arah lelaki itu.
Terasa sejuk hati Hairi, bagaikan disiram dengan salju tatkala mendengarkan tutur bicara perlahan, antara dengar dengan tidak yang keluar dari bibir gadis ini.
"Idayu selalu ke datang ke sini?" tanya Hairi bersahaja. Sengaja mencari-cari idea untuk terus berbicara.
Tersentak Idayu mendengar namanya disebut lancar oleh pemuda itu. 'Hai, dari mana dia tahu namaku? Ah, mungkin dari Pak Soh dan Mak Dah kut,' detik hati kecilnya.
"Ermmm... doktor tahu nama saya?" Teragak-agak Idayu memberanikan diri bertanya untuk menjawab persoalan di hatinya. Matanya masih lagi tidak dapat memandang wajah kacak pemuda itu.
Hairi tersenyum. Ah, jerat dah mengena. Sengaja dia menyebut nama Idayu supaya timbul tanda tanya di hati gadis itu. Sekurang-kurangnya ada topik yang dapat menjadi sebab untuk dia meneruskan bicara dengan gadis itu.
"Ramai yang sebut nama Idayu... Abang Sahak, Pak Soh, Mak Dah... sampaikan saya tertanya-tanya siapakah gerangan empunya nama yang semanis ni?" ucap Hairi sambil matanya melirik, memandang wajah Idayu yang separuh berpaling ke arah lain.
Gelisah Idayu jelas nampak di pandangan mata lelakinya. Hairi bagaikan dapat merasa debaran hati gadis itu dari riak wajahnya yang kelihatan malu-malu.
YOU ARE READING
Syurgaku... Di Wajahmu - Laila Hanni (e-book)
RomanceTAJUK: SYURGAKU... DI WAJAHMU PENULIS: LAILA HANNI BLURB: Hairi dan Idayu : "Ayu, ada masanya kita terpaksa berkorban untuk buktikan cinta kita pada seseorang, kan?" "Abang, kalaulah Ayu tahu... sedalam ini..." Hairi mengangkat jari telunjuknya ke...