WAJAH mulus yang manis menawan itu ditatapnya penuh rasa rindu. Renungan menggoda sepasang mata bundar itu bagaikan sebilah keris, menikam ke kalbu. Senyuman lembut bibir mungil yang sedikit terbuka itu bagaikan merayu-rayu, menggoda hati lelakinya. Sesekali lirikan manja itu menyapanya dalam diam. Perlakuan manja gadis di depannya itu bagaikan meruntun-runtun tangkai hatinya. Terasa sejuk hatinya bak dedaunan kering yang disirami embun pagi. Ah... rindu yang ditanggungnya sejak 2 hari lalu terasa terubat jua akhirnya.
"Hei, Hairi... apa senyum-senyum sorang ni? Berangan ke?"
Lamunan Hairi dikejutkan oleh tepukan kuat yang singgah di bahunya. Tersentak, bagaikan hampir luruh jantungnya. Hairi berpaling kepada Razlan yang duduk tercongok di tepi tilam sambil memandangnya dengan wajah yang penuh tanda tanya.
"Aku tanya ni, berangan ke?" ulang Razlan apabila Hairi tidak memberi sebarang respons. Cuma matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang wajah Razlan yang mula tersenyum mengusik. Mindanya bagaikan belum dapat menangkap apa yang berlaku. 'Ah... aku berangan rupa-rupanya,' getus hatinya.
"Mana ada!" Dia cuba menyangkal kenyataan rakannya.
"Habis tu... yang tersenyum sorang-sorang tu, apa halnya?" sakat Razlan sambil tergelak. Dia tidak pernah melihat temannya ini dalam keadaan sebegini. Satu pembaharuan.
"Tak adalah." Hairi masih lagi cuba berdalih.
Razlan tersenyum lucu melihat perlakuan Hairi yang terus-terusan menidakkan apa yang telah dilihatnya sebentar tadi. 'Hei, nak tipu aku ya. Nanti, siap kau!' getus hati Razlan.
"Aku kan... pelik betul sekarang ni." Razlan cuba menukar topik.
"Pelik apa?" soal Hairi dengan dahi berkerut.
"Aku perasan dah dua tiga petang ni, kau asyik hilang aje. Kau ke mana?"
"Ada, tak ke mana. Saja jalan-jalan."
"Ya ke? Atau jumpa awek? Selalunya nak ke mana-mana kau mesti ajak aku. Tapi kali ini, pergi sorang-sorang aje. Kau ke mana sebenarnya?" Razlan masih lagi belum berpuas hati dengan jawapan Hairi yang seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.
"Adalah..." Jawapan Hairi yang ringkas itu menyebabkan Razlan naik geram.
"Engkau jangan nak sembunyikan sesuatu daripada aku. Nanti kang aku pergi intai kang... haru!"
Hairi tergelak. Hai, apa yang nak diintaikan. Dah 2 hari dia ke sana, tempat pertemuan pertama di tepi jeram itu, tetapi bayang Idayu tak muncul tiba. Terkulat-kulat dia menunggu bagaikan orang bodoh. 'Ah... bodoh pun bodohlah... janji suatu hari nanti pasti dapat jumpa,' getus hatinya.
"Hei... berangan lagi ke? Kau ni dah angau ke apa ni? Nampak macam nak tembus siling atap rumah ni kau tenung. Wajah siapa yang kau bayang tu?"
Hairi yang kelihatan diam tidak bersuara, kembali merenung jauh tanpa arah tujuan. Matanya bagaikan terbayang wajah mulus Idayu, gadis yang dalam diam-diam, mengusik hati lelakinya yang selama ini degil sekali kalau melibatkan bab perempuan.
"Aku dah jatuh cintalah, Lan," luah Hairi dengan satu keluhan akhirnya.
"Masya-Allah... dengan siapa ni? Kau biar betul? Mentang-mentanglah berjauhan, baru kau sedar yang kau dah jatuh cinta. Selama ni kau buat tak kisah aje pada dia."
Tercengang Hairi menatap wajah Razlan yang becok berkata-kata. Siapa yang dimaksudkan?
"Siapa maksud kau?"
"Laa... Intanlah. Siapa lagi?"
Terlintas wajah manis Intan, teman sekuliahnya yang sama-sama belajar di USM. Intan? Mengarut betullah Razlan ni. Mata Hairi kembali menatap atap bata rumah Pak Soh. Wajah Idayu kembali datang menerpa.
YOU ARE READING
Syurgaku... Di Wajahmu - Laila Hanni (e-book)
RomanceTAJUK: SYURGAKU... DI WAJAHMU PENULIS: LAILA HANNI BLURB: Hairi dan Idayu : "Ayu, ada masanya kita terpaksa berkorban untuk buktikan cinta kita pada seseorang, kan?" "Abang, kalaulah Ayu tahu... sedalam ini..." Hairi mengangkat jari telunjuknya ke...