༘⋆🌷₊˚ෆ
Sampai bila?
Ya, hanya dua perkataan, tetapi mampu menghantui benak pikirannya.
Barsha hanya tersenyum tipis dalam masa yang sama hati mengatakan yang sebaliknya.
Kalau ditanya, berapa lama? Mungkin dia boleh menjawab, tapi tidak dengan yang satu itu. Dia tiada jawapan yang kukuh untuk soalan itu. Hanya berserah kepada takdir Sang Pencipta.
Berapa lama?
Kata itu pula yang menjengah di kepalanya.
Kali ini dia tersenyum kelat.
5 tahun ya, Barsha?
Selama itu dia memendam rasa untuk seseorang yang tak membalas cintanya. Jangankan dibalas, wujudnya saja tidak diketahui sang pujaan hati. Bagaimana tidak, di sekolah apabila bertembung saja pasti dia akan mengelak. Sedaya upaya supaya dirinya tak kelihatan oleh lelaki itu.
Baginya biarlah. Biarlah rasa itu hanya dia yang pendam. Sungguh lebih sakit jika lelaki itu mengetahui akan perasaannya tapi ditolak mentah-mentah. Dia tak mahu dan dia tak mampu untuk merasakan sakit itu.
'Belum cuba belum tahu'.
Banyak sekali, orang-orang mengatakan kata yang sama. Ya, mungkin. Tapi, tidak baginya. Dia tiada keberanian yang setinggi itu untuk menyatakan cintanya. Dia takut akan penolakan. Dia rasa dirinya tak layak untuk lelaki seperti Qais Iktizaz itu. Jauh. Terlalu jauh untuk digapai. Bagai langit dan bumi jika mahu dibandingkan dengan dirinya.
Lelaki itu sudahlah terkenal dengan adabnya, kepintarannya bahkan raut wajah yang tak kalah dengan keperibadiannya. Gadis mana saja yang tak berbaris mahukan dia? Gadis mana saja yang tak mengagumi dia?
Tokoh pelajar pula itu.
Dia? Apa yang dia ada?
Hati mula mempersoal soalan yang merentapkan jiwanya.
"Tak ada," bisik gadis itu perlahan. Malahan, perkataan yang meniti dari bibirnya sendiri hampir tidak didengarinya.
Mata terasa berkaca. Dia cuba menahan cecair jernih itu dari tumpah. Walaupun, mata sudah terasa panas dek menahan air mata.
Kenapa? Selalu saja dia. Dia penuh dengan kekurangan. Kelebihan? Dia rasa tiada. Dia tak tahu kelebihan apa yang dia ada.
Mungkin manusia di sekolah itu pun rata-rata tidak mengenalnya kerana dia memang tertutup orangnya. Di tangannya selalu saja ada buku. Buku saja yang selalu menemaninya.
Ulat buku?
Mungkin, itu yang sesuai untuk dirinya.
Cermin mata yang dipakainya sehari-hari tak ubah macam nerd. Tudung labuh yang dia guna orang pandang macam ustazah. Terpaling faham agama orang kata. Tetapi, apa salahnya? Dia lebih selesa.
Handsock yang digunakannya selalu menjadi pertanyaan orang-orang di dalam sekolah mahupun di luar sekolah.
Tak panas ke?