༘⋆🌷₊˚ෆ
Hari yang mendebarkan buat Barsha kini sudah tiba. Jam di tangan dikerling sekilas sebelum dia menapak perlahan ke arah pondok itu. Nafas ditarik dan dihela berkali-kali.
Bagai mahu hilang nafas dia apabila semakin menghampiri pondok yang dipenuhi pelajar-pelajar pandai di situ. Qais Iktizaz turut ada. Dua orang lelaki dan 5 orang perempuan termasuk Aeera.
Kaki terasa tak mahu melangkah lagi. Dia tak mahu berjumpa dengan Qais. Apalagi belajar bersama dengan lelaki itu. Cukuplah peristiwa yang berlaku antara mereka itu berlalu bagai angin yang bertiup kencang.
Adakah pilihannya ini salah?
Dia juga cukup takut. Dia tak pernah bergaul dengan pelajar-pelajar kelas pertama di sekolah mereka kecuali Aeera.
"Barsha, duduklah sini," kata Aeera apabila dia perasan Barsha sudah tiba. Kerusi di sebelahnya ditepuk supaya Barsha duduk di situ.
Tanpa kata, Barsha melabuhkan punggungnya. Sungguh terasa lain dia di sini. Malu pun iya.
Dia pandang pula satu persatu wajah-wajah di pondok sekolah itu. Ada yang tersenyum dengannya. Tetapi, kebanyakannya memandang tak suka. Memandang seolah-olah dia ini pelajar kurang cerdik. Memandang sinis kepadanya. Buatkan dia terasa kecil di situ.
Senyuman kelat terukir di bibir gadis itu. Baru saja dia mahu meletakkan bukunya di atas meja yang sememangnya cukup-cukup untuknya, tapi terlebih dahulu seseorang di sebelah kirinya, meletakkan buku miliknya di situ.
Barsha terkedu di tempatnya. Seperti orang tiada perasaan dia diperlakukan. Dia hanya bersabar. Sudahnya, buku yang dia bawa itu tadi dia letakkan di pahanya. Nasiblah buku yang dia bawa hanya dua saja.
Dia pandang pula perempuan yang tadi itu. Tag nama gadis itu dicari. Evalisa. Cantik nama, rupa pun sama cantik. Tapi, kenapa perangai tak seindah itu?
Evalisa tahu dia dipandang oleh Barsha. Tapi, dia hanya buat tak tahu. Dia tenang membuat kerja tanpa memedulikan Barsha di sebelahnya. Langsung tak ada sekelumit rasa kasihan dan simpati terhadap gadis itu.
"Kalau kau tak tahu, kau tanya je aku nanti." Suara Aeera di sebelah kanannya mula menyapa di gegendang telinga.
Barsha mengangguk tanda bersetuju, sebelum wajah seseorang dia cari. Lebih tepatnya, di sebelah kanan Aeera. Ada Qais yang khusyuk menekan kalkulatornya.
Terus dia menunduk. Takut pula dia kelakuannya itu diperhati orang.
Sejenak dia berfikir, bagaimana dia mahu menulis? Semua buku penuh di atas meja. Bahkan di hadapannya juga ada buku perempuan bernama Evalisa itu.
Dia pandang pula Aeera yang juga sama focus dengan kerjanya. Nafas dihela panjang.
Hal kecil je pun. Takkan itu pun kau nak bagitahu Aeera?
Dia kena berdikari. Sampai bila dia mahu mengharapkan pertolongan orang. Dia perlu berdiri di atas kakinya sendiri. Terkadang manusia tak ada yang sudi menghulurkan tangan untuk membantu kita. Kalau orang lain boleh, dia pun boleh. Lagipun, dia tak mahu kerana dia ada perbalahan tercetus.
Jadinya, dia hanya menulis dengan sebelah tangannya menahan buku kerja Matematiknya itu. Sebelah pula memegang pensil. Bila dia mahu menekan kalkulator, dia letakkan kembali buku kerjanya di atas pahanya. Kotak pensil pula terpaksa dia letakkan di bawah kerusi. Sungguh rasanya tak enak. Kemudahan sekolah itu seperti tak dapat dirasai sepenuhnya, padahal bukankah itu sepatutnya dikongsi bersama?