برش ٩

58 5 0
                                    

༘⋆🌷₊˚ෆ

Sungguh hari ahad ini buatkan dia benar-benar letih. Kerja yang jarang dibuatnya, dia lakukan sendirian. Hampir bersih berkilat rumahnya disebabkan dirinya.

Mana taknya, dia menawarkan kepada ibunya untuk mengelap tingkap, mengelap kipas siling, menyapu rumah, memasak, mencuci kain, mengemop lantai dan beberapa perkerjaan lagi yang dia lakukan. Dan itu semua benar-benar menguras tenaganya.

Ibunya hanya biarkan saja perlakuan anak gadisnya itu walaupun sedikit pelik dengan perbuatannya itu. Kena sampuk apa pun dia tak tahu.

Barsha buat semua itu kerana satu alasan. Untuk menyibukkan dirinya dengan benda yang berfaedah daripada memikirkan sesuatu yang membuatkan dia sakit hati.

Setelah solat isyak tadi, tanpa menjamah sebutir nasi terus saja dia terlelap kerana keletihan. Tetapi, tidur nyenyaknya itu terganggu bilamana alarm yang memang sengaja dipasangnya itu bergema di segenap ruang biliknya. Mahu tak mahu, dia harus bangun juga. Lebih-lebih lagi untuk mengisi perutnya, takut gastrik datang menyerang.

Dia bersandar di kepala katil. Nafas ditarik. Tangan mencapai botol air yang berada di meja kecil bersebelahan katil miliknya. Air itu diteguk sebanyak tiga kali. Setelah itu, dia bagai berada di dunianya sendiri. Termenung.

Beberapa minit kemudian, barulah dia sedar dari realiti. Badan juga tak terasa lenguh seperti tadi. Mata juga sudah cergas daripada mengantuk yang datang menyerang.

Barsha bangkit lalu laci barisan kedua yang berkunci itu dibuka menggunakan kunci yang dia sorokkan. Sebuah kotak sederhana besar berwarna biru itu diambil perlahan-lahan.

Kotak itu diletak di atas tilam. Dia juga melabuhkan punggungnya di situ. Wajahnya tiada riak. Nafas pula dia hela berat dan panjang.

Sudah tiba masanya, Barsha.

Dia sudah berjanji dengan dirinya yang dia takkan menangis lagi mengenang perkara itu. Tapi, kenapa sekarang rasanya air matanya itu mahu jatuh lagi? Dia tahu matanya sudah berkaca-kaca. Dengan segala kudrat yang ada, dia cuba sedaya upaya supaya air mata itu tak jatuh. Mata juga terasa panas dan sakit dek ditahan.

Dia mendongak sedikit lalu mata dikelip berkali-kali bagi menghalang cecair jernih itu turun.

Kotak itu dibuka. Terlihat jelas betapa banyak benda-benda yang tak sepatutnya dia simpan. Dalam kotak itu terdapat barang yang sudah lama dia simpan, ada juga barang yang masih kelihatan baru.

Dia keluarkan satu persatu mulai daripada sticky notes. Tidak terkira banyaknya sticky notes yang disimpannya. Sticky notes itu semua tentang Qais. Dia akan luahkan apa yang dia rasakan di sticky notes itu.

Dibaca satu persatu sticky notes. Bermacam senyuman yang dia mahu berikan, tapi dia tak tahu senyuman apa yang selayaknya. Sudahnya, senyuman hambar dia ukirkan.

"I'll wait."

"Currently missing someone who probably doesn't miss me."

"Is it my fault?"

"Bila mata itu bertembung dengan mataku. Gugupnya terasa ke seluruh tubuh."

"Bintang tahu tentang kamu, Qais."

"Day 281,
masih kamu."

"You are such a rare find."

"Bilamana hati ini sudah mengikhlaskan, aku janji takkan pernah mengingatmu lagi."

"Kenapa susah sangat untuk move on ni?"

Basah. Sticky notes itu basah dengan air mata seorang Barsha. Sungguh dia tahu dia takkan mampu melawan air mata yang sedari tadi memaksanya untuk turun.

10:00 ✓Where stories live. Discover now