Kebosanan. Disebabkan aku tiada sebarang kerja yang perlu dilakukan sekarang, aku buat keputusan untuk melayari Instagram sambil berbaring di atas katil. Itulah aplikasi kegemaran para perempuan yang gilakan perhatian.
Segala 'kecantikan' mereka dipamerkan, kemudian berpura-pura rendah diri bila dipuji orang lain. Sumpah!
Aku cukup menyampah.
Perlahan aku menampar pipi sendiri. Bukan aku tak tahu yang rasa menyampah ni timbul berkemungkinan besar sebab cemburu yang aku simpan sendiri.
Aku cemburu yang paras mereka cukup cantik sehingga dipuji banyak orang dan mereka cukup yakin hendak mempamerkan kecantikan masing-masing pada dunia.
Sedang aku?
Heh.
Gambar pertama yang menghiasi mata aku ialah gambar secawan kopi dan ada sebuah buku di sebelahnya. Ia dimuatnaik oleh tidak lain tidak bukan - Zinnirah.
Gadis masyhur dalam kalangan rakan-rakan sekelas kami itu ialah kawan baik aku. Kami satu sekolah, dan juga satu universiti. Punyalah panjang jodoh kami berdua ni, kan?
Zinnirah seorang yang sangat aku kagumi. Dia cantik, menutup aurat, menjaga agama, tak layan lagu-lagu lagha, fasih berbahasa Arab, dan yang paling aku hormat ialah dia bagaikan berlian yang tersembunyi.
Dia langsung tidak mendedahkan dirinya di dalam talian internet. Gambar mahupun penulisan-penulisan yang tengkarah, tiada satu pun yang dia lakukan. Memang pakej lengkap muslimah sejati akhir zaman.
Bagai langit dan bumi kalau nak dibandingkan aku ni dengan Zinnirah, yang merupakan kawan baik aku sendiri. Aku ni? Dahlah tak ada rupa, aurat kadang bertutup, kadang tidak, agama susah sekali aku nak jaga, suka layan lagu-lagu pop, bahasa Arab merangkak. Jua kalau aku dedahkan diri di mata umum pun, tak ada apa yang boleh aku tawarkan sebagai faktor penarik perhatian.
Tapi, sehambar-hambar diri aku, Zinnirah si muslimah tetap sudi berkawan dengan aku. Tetap dia sudi memberi tarbiah kepada aku. Kelebihan dia membuatkan aku semakin benci diri.
Keyakinan diri apatah lagi? Memang tak pernah wujud langsung aku rasa. Selamat tinggal sajalah! Tapi, semua tu berubah bila Muzakkir menjadi rakan sekelas aku dalam kelas Usul Fiqh.
Apa yang bakal aku cakapkan ni akan buat semua orang muntah.
Tapi, aku rasa aku betul-betul dah jatuh cinta pada jejaka tu.
Berada dalam satu tempat yang sama dengan dia membuatkan aku sedar diri dan jadi peka akan penampilan aku. Sejak awal semester aku sekelas dengan dia, aku yang sebelum ni tuli penampilan sekarang tampil lebih kemas dan berani aku katakan cantik sedikit berbanding rupa biasa aku.
Oh Allah, betapa Muzakkir membuatkan aku berusaha jadi perempuan yang lebih ayu dan lemah lembut.
Dalam separa sedar, aku mula menjadikan Zinnirah sebagai contoh ikutan. Apa yang aku boleh tiru dia, aku cuba ikut. Apa yang Zinnirah lakukan dan aku rasa akan buat Muzakkir pandang ke arah aku dan jadi tertarik pada aku, aku tiru.
Terdesakkah aku?
Mungkin, ya. Sebab aku tak pernah lagi merasa tarikan terhadap seseorang yang sebegini kuat. Tarikan ini, perasaan yang aku panggil cinta ni cukup kuat sehingga ia membuatkan aku cuba berubah untuk jadi lebih keperempuanan di hadapan Muzakkir.
Perubahan ni aku lakukan dengan harapan tinggi aku akan dapat menarik perhatian Muzakkir. Aku yakin yang aku layak bergandingan dengan dia sebagai pasangan hidup.
Dengan kekuatan disertai keberanian yang sedikit, aku luahkan pada Muzakkir isi hati aku. Dia tidak mengambil masa langsung untuk memikirkan cara menolak perasaan aku dengan baik, malahan dia dengan lantangnya mengatakan aku tak akan pernah jadi setanding Zinnirah, kawan baik aku yang mempunyai pakej lengkap!
Bodoh!
Aku memang bodoh!
Aku selalu terlupa yang pada akhirnya, rupa jua yang menjadi tarikan utama untuk lelaki sekacak Muzakkir. Parah yang meretakkan hati aku kekal subur hingga ke hari ini.
Segala perubahan baik aku telah aku campakkan, dan kesumat mula mengisi segenap hati aku. Aku tak akan pernah dapat mengatasi kelebihan Zinnirah, walau dari apa sudut sekalipun.
❀ ❀ ❀ ❀ ❀
Rasa macam baru semalam aku kena tolak dengan orang yang aku suka. Eh, kejap! Memang semalam Muzakkir tolak mentah-mentah luahan hati aku. Sakitnya rasa bila sekali baca sahaja mesej aku terus dia tolak. Walaupun aku tahu tak semestinya dia akan berkongsi perasaan yang sama... Tapi, rasa sakit tu tetap mencucuk dalam.
Tambahan lagi bila dia sebut nama Zinnirah dalam hal ni... Ergh! Terus aku rasa macam kena sengat dengan kala jengking. Bukanlah nak kata aku pernah kena sengat dengan kala jengking.
Kalau aku pernah kena macam tu, tak adanya semalam aku pergi meluahkan perasaan aku pada pada Muzakkir. Aku dah arwah gamaknya sebab tak sempat ke hospital lepas kena sengat.
Zinnirah ada hantar mesej pada aku pagi tadi, ajak aku teman dia ke KL Sentral hujung minggu depan. Tak fikir panjang langsung, aku terus tolak pelawaan dia. Penolakan Muzakkir terhadap aku belum aku cerita pada dia, apatah lagi perbandingan yang Muzakkir buat antara aku dengan kawan baik aku tu sendiri.
Hurm.
Kawan baik?
Masih mampu ke aku nak berkawan baik dengan Zinnirah selepas apa yang jadi antara aku dan Muzakkir? Patut ke aku berhenti berkawan dengan Zinnirah lepas apa yang Muzakkir kata pada aku? Memutuskan persahabatan yang dah terjalin hampir lima tahun ni rasa macam melampaui batas pula pada aku.
Dahlah nak putus tu semata-mata sebab rasa rendah diri melampau yang tular akibat perbandingan antara aku dan Zinnirah daripada seorang lelaki. Tapi, kalau aku tengok dari sudut lain, mungkin rasa rendah diri melampau aku boleh disingkirkan selama-lamanya kalau aku dan Zinnirah dah tak berkawan?
Ish, macam bodoh sangat tu!
Rasa rendah diri tetap akan muncul tak kira siapa jadi puncanya, kan?
Tapi, aku tak dapat nafikan bila dengan Zinnirah, kemunculan perasaan negatif tu sangat mudah dan ia selalu tak terkawal. Argh, serabut sungguh aku rasa! Susah betul bila kawan baik sendiri sempurna macam bidadari, sedangkan kau berbeza jauh daripada kesempurnaan tu.
Takkanlah aku nak panggil diri sendiri syaitan? Err.
Aku beralih kedudukan daripada meja belajar ke kaki katil untuk aku bersandar dan melayan perasaan sekejap. Saat ni, aku tengah dimamah perasaan negatif tu lagi. Rasa rendah diri yang seolah tiada penghujung. Ada pula kawan sendiri yang menjadi pemicu lahir dan tularnya perasaan itu. Ralit berfikir, aku jadi sedih.
Apa hodoh sangat ke aku ni kalau nak bandingkan dengan Zinnirah?
Apa akhlak aku tak sebaik Zinnirah?
Teruk sangat ke perangai aku?
Jauh sangat ke bezanya daripada Zinnirah?
Air mata mula merembes keluar. Badai kesedihan mula melanda hati aku. Mungkin memang ia hakikat bahawa siapa aku yang sedia ada ni tidak mencukupi. Adakah diri aku yang sekarang ni memang tidak layak untuk disukai, apatah lagi dicintai oleh seseorang ke?
Tangisan aku semakin lebat namun kekal tidak berbunyi. Aku tak boleh biar orang tahu dan nampak aku dalam keadaan lemah macam ni.
"Aku ni dahlah tak cantik, perangai tak semenggah. Agama apatah lagi?!" aku menangisi kekurangan diri sendiri. Segenap sanubari aku terasa tidak bermaya, seolah-olah aku tak nampak langsung jalan keluar dari kekusutan ni. Minda aku dikuasai pemikiran yang aku memang tak akan mampu jadi sesempurna Zinnirah.
"Oh, Embun! Kenapalah kau ni menyedihkan sangat?!"
Jemput vote cerita ni, korang! =)
YOU ARE READING
insecure (sudah terbit)
ChickLitEmbun yang hambar memang tiada tanding dengan kawan baiknya sendiri, Zinnirah. Embun terlalu biasa, tiada perisa. Namun, walau puluhan kelebihan yang dimiliki Zinnirah dan tidak dapat Embun tandingi, mereka berdua tetap kawan baik. Harga yang perlu...