Bab 5

69 10 0
                                    

Aku tempah Grab sejurus aku yakin aku dah cukup jauh daripada perkarangan rumah Zinnirah. Sementara menunggu pemandu Grab tiba, aku mengambil masa melayan perasaan dekat taman perumahan ni. Kecamuk dalam hati aku dah berkurang sikit, syukur.

Tapi, apa yang terjadi tadi masih minda aku ulang tayang.

Sakit. Pedih sekali aku rasakan.

Ia seolah-olah cahaya nikmat kehidupan perlahan-lahan malap dan berlalu pergi daripada sepasang mata aku. Ditambah pula, aku rasa macam telah dikhianati. Aku rasa macam Zinnirah lebih mementingkan seorang lelaki berbanding kawan baik dia sendiri.

Adakah ia satu tindakan yang waras untuk menyalahkan Zinnirah seorang untuk semua yang dah jadi?

Bunyi hon kereta menarik aku keluar dari lamunan yang memedihkan. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aku cuba menenangkan ombak yang sekali lagi melanda hati dan akal aku. Aku cuba tenangkan diri dan yakinkan hati aku yang apa dah jadi ni bukan salah aku atau salah Zinnirah sepenuhnya.

Ia memang dah tertulis akan terjadi.

Rumah masih kosong saat aku sampai. Duit yang cukup-cukup aku hulurkan kepada pemandu Grab lalu aku melangkah masuk ke rumah dengan muka yang masih tidak beriak. Seluruh tubuh aku, termasuk perasaan aku sedang berasa lali.

Aku ketandusan reaksi pada situasi yang menggamit aku saat ini. Sewaktu rumah dipenuhi kembali oleh ahli keluarga aku, aku kekal terperap dalam bilik. Pura-pura tidur kerana kepenatan melampau walhal aku sedar sepenuhnya.

Keinginan untuk dibiarkan bersendirian ialah apa yang aku mahu dan sangat perlukan pada saat ini. Apa yang paling penting, bersendirian akan memudahkan aku meratapi nasib diri.

Esoknya, aku masih lagi tak mampu menguntumkan senyuman yang ikhlas walaupun di hadapan mak ayah aku sendiri. Hati aku terlalu retak dihenyak, dan baru hari ini aku mampu menyalahkan Zinnirah seorang untuk penderitaan aku saat ni.

Disebabkan itu, setelah selesai sarapan, aku minta izin untuk sambung tidur kononnya. Pada kepala katil aku bersandar dan sambung termenung lagi. Aku risau kalau mak dan ayah dapat kesan yang emosi aku tengah tak stabil waktu ni.

Aku tak nak cerita tentang satu hal pun pada mereka berdua - tentang rasa cemburu aku pada Zinnirah, tentang luahan perasaan aku kepada Muzakkir, tentang majlis pertunangan Zinnirah, dan semua yang berkaitan.

Setelah puas menyalahkan Zinnirah, rasa serba salah pula menerpa mengingatkan aku yang semua ni sebenarnya berpunca daripada aku. Kalau sahajalah aku tak menaruh perasaan pada Muzakkir.

Kalau sahajalah aku bagitahu dari awal pada Zinnirah yang aku sebenarnya suka pada Muzakkir, dan aku tak rahsiakan macam yang telah aku buat. Mungkin kalau aku lakukan semua tu dari awal lagi, mungkin hati aku takkan sesakit sekarang ni.

Tapi, apa sajalah jaminan yang aku ada untuk aku katakan dengan yakin yang kalau aku tak meluahkan kepada Muzakkir, aku tak akan sesakit seperti ini sekarang? Hakikatnya, aku tak ada kuasa langsung pun untuk putuskan apa yang akan atau patut jadi.

Air mata yang aku tahan daripada semalam akhirnya mengalir keluar daripada kedua belah mata. Empangan yang kukuh sejak semalam hinggalah ke beberapa minit sebelum ni akhirnya musnah disebabkan oleh realiti yang datang menghantuk kepala aku.

Tangisan ini aku cuba untuk perlahankan kelantangannya. Aku tak nak mak, ayah, mahupun Teratai nampak sisi lemah aku sekarang ni.

"Aku memang ditakdirkan gagal! Confess pada crush, kena tolak mentah-mentah. Crush aku pula bertunang pada kawan baik aku. Insecurities aku pada Irah dah kantoi. Apa yang paling teruk sekarang, aku mungkin dah kehilangan satu-satunya kawan baik aku yang aku dah kenal lama!"

Tak ada satu pun tanda yang tangisan aku akan berhenti, dan jujur aku pun tak nak berhenti secepat mungkin. Aku betul-betul tengah lemah sekarang ni. Aku rasa macam dah terlalu berputus asa, macam dah tak ada harapan untuk aku.

Seluruh jasad aku dirajai oleh hati yang sedang hiba dan ia cuma nak melalui masa penuh keperitan ni dengan segera. Aku nak kesakitan dan penderitaan ni hilang dengan cepat.

Tolonglah, ya Allah!

❀ ❀ ❀ ❀ ❀

Kalau korang berminat nak baca sambungan novel ni, tarikh pra-tempah akan dibuka nanti. Korang boleh pm saya terus kalau berminat nak dapatkan senaskhah novel ni! 😁

insecure (sudah terbit)Where stories live. Discover now