Pagi yang gelap untuk aku. Kelas pertama aku hari ni ada Zinnirah. Ergh. Aku merancang hendak mengelak daripada bertemu Zinnirah secara bersemuka hari ni memandangkan hati aku masih retak seribu.
Aku takkan pernah dapat faham kenapalah Muzakkir bangkitkan pasal Zinnirah masa aku meluahkan perasaan aku pada dia hari tu.
Disebabkan kata-kata Muzakkir tu, rasa rendah diri aku yang selama ni tersimpan kemas dan tersorok di sudut hati yang paling dalam sekarang dah mula lolos dari kurungan.
Memang apa yang Muzakkir buat bukan salah Zinnirah, aku tahu sangat tu. Tapi sisi busuk hati aku tak dapat nak lari dari membenci kesempurnaan Zinnirah. Kenapalah aku macam ni?
Pada akhirnya, aku juga yang semakin buruk luar dan dalam.
Benarlah hati itu raja anggota badan. Kerana seberat hati aku saat ni, sesukar itulah aku rasakan nak bersiap-siap ke kelas. Aku mula terfikir untuk apa aku beria-ria mencantikkan penampilan kalau pada akhirnya hanya kawan baik aku sendiri yang akan diberi perhatian kerana kecantikan semula jadi yang dimiliki dia.
Setiap langkah aku ke kelas ditemani retakan yang semakin bertambah bilangannya. Aku tak nak ke kelas! Aku rasa macam telah ditelanjangkan setiap kali aku teringat macam mana penolakan Muzakkir pada aku.
Ya Allah, ini sangat menyakitkan.
Dengan sendirinya, sepasang kaki aku berhenti berjalan.
Aku mula terdetik untuk ponteng kelas pagi ni. Kelas kedua aku boleh hadir memandangkan Zinnirah tiada dalam kelas tu. Dengan tekad untuk ponteng, aku berpatah balik dari tujuan asal aku dan mula berjalan laju ke arah masjid. Mungkin aku boleh tenangkan hati sedikit di situ dengan berzikir.
Setiap kali wajah Zinnirah terlintas dalam fikiran aku, setiap kali itulah kata-kata Muzakkir datang melayang. Jua, setiap ingatan akan dua benda ni meruntuhkan setiap satu cebisan keyakinan diri aku yang memang sudah sedia ada rapuh. 'Aku tak cantik, personaliti aku kurang baik,' frasa yang aku ulang berterusan secara separa sedar.
Bunyi notifikasi masuk bermain daripada telefon bimbit aku yang berada dalam kocek seluar. Aku selitkan tangan kanan ke dalam kocek dan mengambilnya, lalu aku hidupkan skrin peranti itu. Ada mesej Whatsapp yang masuk daripada nombor Zinnirah. Tanpa perlu aku tatal skrin, mesej itu terpampang jelas pada skrin utama telefon.
Assalam, Embun..
Kau x masuk kls eh pgi ni?
Aku dh record lecture utk kau
Keprihatinan Zinnirah itu menambahkan lagi sakit hati aku kerana ia menjadi peringatan betapa baik lagi cantiknya Zinnirah jika dibandingkan dengan aku. Aku biarkan mesej itu tidak ditanda telah dibaca dan terus melangkah ke masjid. Tiada angin mahu ribut, aku tiba-tiba berasa penat. Penat menghina dan mengungkit kelemahan diri sendiri.
Dengan hati dan fikiran yang tepu, aku akhirnya sampai ke Masjid Sultan Haji Alam Shah (SHAS), pusat universiti ini. Tangga ke tingkat dua aku panjat dengan semangat yang naik turun.
Aku perlu pergi ke tempat yang sunyi dan tak ramai orang supaya aku boleh berfikir dengan lebih jelas. Tambahan lagi, aku perlu kuatkan mental untuk berhadapan dengan Zinnirah nanti.
Memang mustahil untuk aku tidak terjumpa dengan dia langsung hari ini. Sebelum ia betul-betul berlaku, aku perlu kuatkan semangat. Aku seboleh mungkin tak nak tunjukkan fasa lemah aku depan dia, walaupun kami kawan baik.
Ia satu hakikat, serapat mana aku dengan seseorang, ada sesetengah benda yang aku nak biarkan ia tersimpan sulit dikunci.
❀ ❀ ❀ ❀ ❀
Hai, korang! Terima kasih sudi baca cerita ni! <3
YOU ARE READING
insecure (sudah terbit)
ChickLitEmbun yang hambar memang tiada tanding dengan kawan baiknya sendiri, Zinnirah. Embun terlalu biasa, tiada perisa. Namun, walau puluhan kelebihan yang dimiliki Zinnirah dan tidak dapat Embun tandingi, mereka berdua tetap kawan baik. Harga yang perlu...