Bab 4

53 11 3
                                    

Usai mandi, benda pertama yang aku buat bila masuk dalam bilik sejurus pintu aku tutup ialah tersengih-sengih sendiri depan cermin. Mungkin ia hasil latihan mental yang aku istiqamah lakukan hampir seminggu lebih ni.

Pagi ni aku terasa sangat cantik.

Aku tiba-tiba suka dan rasa senyuman aku sangatlah cantik!

Sepasang baju kurung yang telah aku gosok semalam aku sarung dengan cermat. Kalau boleh, janganlah awal-awal pagi lagi dah berkedut teruk. Agak lama aku tak mengenakan solekan, akhirnya hari ini aku kembali mengenakan ia.

Aku berbuat demikian khusus untuk majlis pertunangan Zinnirah. Aku tak naklah gambar aku dengan Zinnirah nanti buruk sebab muka aku yang nampak suram.

Aku menyalam tangan mak kemudian memasuki kereta yang akan ayah pandu untuk menghantar aku ke rumah Zinnirah. Aku tak sempat bersua dengan Teratai kerana dia masih tidur.

Apapun alhamdulillah, aku bersyukur sangat sebab aku masih ada ayah untuk bergantung. 45 minit perjalanan ke Tanjung Karang aku dan ayah isi dengan mendengar lagu-lagu rock dendangan kumpulan Iron Maiden.

Ayahlah ni yang dah pengaruh aku.

Sekarang aku dah jadi peminat genre rock, terutamanya J-Rock.

Aku akhirnya sampai ke rumah Zinnirah selepas sesi karaoke hampir 30 lagu dengan ayah sepanjang dalam kereta tadi. Mengagumkan sebab aku masih mampu bercakap sekarang ni tanpa sakit tekak.

"Nanti ayah tak payah jemputlah kut balik, Embun boleh tempah Grab je." Ayah mengangguk sambil tersenyum. Aku menyalam tangan ayah lalu turun dari kereta.

Ketibaan aku disambut oleh adik Zinnirah, si Inshirah sewaktu di pagar utama rumah mereka. "Kak Embun! Excited-nya rasa! Dah lama gila tak jumpa akak! Akak sihat?" Inshirah mengiringi aku ke bilik tidur Zinnirah.

Sewaktu berjalan ke situ, aku sempat bertegur sapa dengan ibu bapa Zinnirah dan Inshirah. Gembira aku rasa melihat kedua mereka sihat afiat. Kegembiraan aku semakin memuncak apabila aku akhirnya bertemu Zinnirah yang sedang ralit bersolek nipis sewaktu aku dan Inshirah melangkah masuk.

Hanya beberapa minggu lamanya tidak bersua muka, rindu kami pada masing-masing bagai sudah bertahun lamanya terpisah. Aku memerhati wajah Zinnirah yang semakin ayu disolek sebegitu.

"Cantik betul kau hari ni, weih." Pujian aku kali ini ikhlas tanpa ada sedikit pun rasa rendah diri mahupun cemburu yang tersirat. Aku benar-benar gembira kerana kawan baik aku hanya ada selangkah lagi yang tinggal sebelum dia akhirnya akan disatukan dengan insan yang dia cintai.

"Terima kasih, Embun. Aku bapaklah nervous sungguh ni!"

Digamit rasa ingin tahu, ditambah aku yang memang tak tahu, aku akhirnya bertanya pada Zinnirah akan tentatif majlis tunangnya hari ini. Subjek perbualan kami kemudiannya bertukar pula kepada borak kosong.

Cerita bagaimana Zinnirah mengenali tunangnya, cerita tentang kecintaan aku pada muzik rock yang baru berputik dan macam-macam lagi kami borakkan. Perbualan kami terganggu apabila Inshirah menyuakan mukanya di balik pintu dan memberitahu yang tunang Zinnirah telah pun sampai di perkarangan rumah mereka.

Sejurus itu, tinggal kami berdua sekali lagi. Aku yang begitu teruja segera berjalan ke tingkap bilik Zinnirah untuk mengintai wajah gerangan lelaki yang bakal memiliki kawan baik aku. Wajah yang aku lihat itu meragut segenap kegembiraan aku tadi.

"Tunang kau Muzzakir, Zinnirah?" Aku tak dapat menahan air mata yang mengalir keluar serentak aku bertanya. Dia tidak memandang ke arah aku, digamit rasa serba salah barangkali. "Kenapa kau tak bagitahu aku sebelum ni? Kenapa kau rahsiakan?!" Nada suara aku meninggi seiring aku mendekati penghujung ayat.

"Aku tak sanggup, Embun. Aku tak sanggup nak bagitahu kau. Aku tunggu kau nampak sendiri sebab aku nak bagi masa untuk kau lupakan perasaan kau pada dia." Tuturnya agak perlahan tapi jelas pada pendengaran aku. Dengan sendiri, telinga aku menjadi pekak sementara. Langsung tidak mendengar apa yang sedang Zinnirah katakan.

Aku kena berambus!

Tak mungkin aku boleh terus berada dekat sini!

❀ ❀ ❀ ❀ ❀

insecure (sudah terbit)Where stories live. Discover now