Jalan yang dilalui agak suram dan kelam dengan hanya satu lampu jalan sahaja menyala. Namun, Sara terpaksa guna juga jalan lama tersebut. Jalan itu sahajalah jalan pintas untuk cepat sampai ke rumah.
Ini semua Ikmal punya kerjalah tinggalkan dia seorang di sekolah. Tadi ketika lelaki itu ajak ke sekolah, dia tak nak. Tengoklah jam, sudah pukul 7.00 petang. Jam 7.20 petang, azan maghrib akan berkumandang.Tapi, Ikmal macam orang tak faham bahasa. Rayu, rayu dan rayu juga sampaikan Sara terpaksa akur. Natijahnya, macam sekaranglah. Tak guna punya Ikmal!
"Sara..."
Langkah Sara automatik terhenti. Anak matanya meliar ke sekeliling. Rasanya, dia tidak salah dengar. Ada seseorang yang memanggil namanya. Tapi, siapa? Takkan Ikmal? Lelaki itu telah balik ke rumah. Ya, sudah balik.
Buktinya, dia nampak Ikmal berlari keluar dari pagar sekolah setelah mengambil kotak penselnya yang tertinggal di dalam laci meja. Entah apa yang difikirkan oleh Ikmal tadi, dia tak tahu. Mungkin Ikmal sengaja nak prank dia.
"Sara..."
Sekali lagi, suara sayup-sayup memanggil namanya kedengaran di telinga. Pantas dia menoleh ke belakang. Tapi, kosong. Tiada siapa pun di situ. Di kala itu, hati Sara kian kecut.
"Sara..."
Senja telah bertukar malam. Angin petang yang bertiup kencang menyapa tubuh menambahkan aura seram. Sekali lagi, dirinya berasa diperhatikan oleh sesuatu.
"Si... siapa?" Sara kembali pandang ke depan. Juga tiada siapa-siapa di situ.
Melihat itu, Sara menarik nafas lega. Mungkin suara itu hanya mainan perasaannya sahaja dek takut dengan kawasan perkuburan lama yang dilaluinya sekarang.
Namun, leganya tidak berpanjangan apabila sebaik sahaja dia menoleh semula ke belakang, anak matanya menangkap sesuatu yang menakutkan sedang terseringai kepadanya.
"Sara..." Satu lembaga hitam bermuka putih melambai kepada Sara.
"Aaa...!" jerit Sara sekuat hati lalu segera berlari tanpa menoleh ke belakang lagi.
PICTURE STORY CHALLENGE
Tajuk: Teguran Senja
Penulis: Angel_k20
Genre: Seram⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️
Nota: Story ini hanyalah short story. Juga boleh baca di Instagram _angel_k20#angel_k20 #shortstory #horror #author