Zakwan menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Hatinya gundah. Surat setuju cerai yang berada di atas mejanya dipandang.
"Sayang..." Menggeletar tangan Zakwan.
Kertas di depannya dipandang bagai nak tembus. Pen di tangannya digenggam kuat. Sumpah dia tak rela dengan semua ini!
"Ceraikan perempuan tu!" Sebuah pistol dilengkapi silencer diacukan ke kepala Zakwan.
"Kenapa kau buat semua ni, Fiya? Kau tahu yang aku cintakan Hany." Zakwan bersuara lirih.
Dia menoleh ke sisi. Gadis tinggi lampai yang mengacukan pistol ke kepalanya dipandang dengan pandangan meminta penjelasan.
Atas alasan apa Fiya mahu dia menceraikan Hany? Walhal, Fiya sedia tahu bahawa dia hanya cintakan Hany seorang. Hanya Hany dalam hatinya.
"Kau ni bodoh ke apa?" Fiya merapatkan muncung pistol ke kepala Zakwan.
"Perempuan tu rampas kau daripada aku!" Amarah Fiya meledak. Turun naik dadanya menahan marah.
"Hany rampas aku daripada kau? Bila masa?" Zakwan semakin pusing dengan semua yang berlaku.
"Ya! Dia kahwin juga dengan kau padahal dia tahu aku cintakan kau!" jerit Fiya.
Astaghfirullahalazim. Mengucap panjang Zakwan apabila mendengar pengakuan Fiya. Buat kesekian kalinya, dia berasa sangat kasihan kepada gadis itu.
"Afiya Humaira." Zakwan memanggil nama penuh Fiya.
"Mengucap," katanya lalu memandang gadis itu dengan penuh simpati.
"Selama-lamanya, kita takkan boleh berkahwin," ujar Zakwan perlahan.
Teringat dia akan memori manis bersama gadis itu. Tapi, dia hanya menganggap Fiya sebagai adiknya sahaja. Tidak lebih daripada itu.
"Kenapa?" Suara Fiya memecahkan suasana.
"Kerana kita saudara susuan." Zakwan menarik senyuman tawar.
Fiya terus bungkam.