Joni mendongakkan kepalanya ke langit. Senja kian berlabuh. Langit juga semakin gelap. Seketika, dia tersenyum sinis.
Telapak tangannya digenggam kemas lalu dia menghalakannya ke mulut. Buat seketika, mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu sebelum perlahan-lahan, genggamannya dibuka.
"Hapuskan Zakwan," katanya dengan nada berbisik.
Sebaik sahaja dia menyudahkan ayat, tidak semena-mena kabus hitam muncul dari telapak tangannya lalu membentuk seekor burung. Khadamnya itu mengepak-ngepakkan sayap lalu terbang dengan kelajuan maksimum.
"Kau akan mati, Zakwan. Sebab kau, Fiya tak pandang aku. Jadi, kau kena mati." Joni ketawa semahu-mahunya.
Akalnya sudah membayangkan kemenangan yang bakal diperoleh apabila Zakwan berjaya dibunuh dengan sihirnya yang dihantar melalui burung khadamnya tadi. Sungguh dia tidak sabar.
'Apa lebihnya kau berbanding aku?' Hati Joni berbisik geram.
'Kau sengaja menyusahkan aku,' cebik hatinya lagi.
"Pergi mati ajelah." Joni memejam mata.
Sekali lagi, raut wajah Zakwan Harris si seterunya dalam perniagaan terbayang di fikiran. Kenapa Fiya boleh jatuh hati kepada lelaki itu sedangkan Zakwan telah pun beristeri? Apa lebihnya Zakwan berbanding dia?
Keluhan kasar akhirnya terluah dari mulutnya. Matanya dicelikkan. Langit telah pun gelap sepenuhnya. Di kala itu, memorinya memaparkan pula adegan seorang gadis remaja berlari dalam gelap di jalan nan suram.
"Sara Zahira." Joni menarik senyuman sinis.
Masih jelas di ingatannya betapa pucat wajah gadis itu apabila dikejar oleh khadamnya yang berupa langsuir. Bodoh punya budak. Siapa suruh percayakan Ikmal? Walhal, Ikmal yang sebenar tidak pernah mengajaknya keluar petang itu.
"Kerana kau ahli keluarga Zakwan..." Senyuman Joni bertambah sinis.
"Kau pun takkan terlepas daripada aku!" Ketawanya meledak.
PICTURE STORY CHALLENGE
Tajuk: Khadam
Penulis: Angel_k20
Genre: Misteri⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️⚠️
Nota: Story ini hanyalah short story. Juga boleh baca di Wattpad hafzh92#angel_k20