Hatinya kian berasa tidak enak. Waktu telah pun menginjak ke angka 1 pagi. Di kala ini, macam-macam andaian tidak elok singgah di benaknya. Zahwan kemalangan ke? Atau ada lain berlaku kepada suaminya itu?
"Harap-harapnya, abang okey." Hany melabuhkan punggungnya di sofa lalu bantal sofa diambil dan dipeluk.
Call sudah, mesej sudah. Tapi semuanya tidak berangkat dan berbalas. Kerana itu hatinya berasa tidak sedap. Firasatnya sebagai isteri kuat mengatakan bahawa Zakwan berada dalam kesusahan.
'Patut ke aku call polis?' Fikirannya berbicara sendiri.
'Tak patut. Belum cukup 24 jam lagi Zakwan tak balik.' Pantas hatinya menyanggah.
Matanya mengerling pula ke arah foto gambar mereka berdua di atas meja kecil di sudut dinding. Di sisinya, ada gambar dia sedang tersenyum manis. Foto itu diambil sendiri oleh Zakwan.
"Abang..." Hany menyembamkan mukanya ke bantal sofa.
Fikirannya cuba diterawang jauh ke saat-saat indah berbulan madu di New Zealand lima bulan lepas. Manis sekali kenangan itu. Wanita paling bahagia di saat itu dirasakan hanya dirinya seorang. Impiannya bersuamikan lelaki itu akhirnya menjadi kenyataan.
Ting tong...
Kenangan Hany bersepai. Bunyi loceng pintu bergema di pelosok rumah. Seketika, Hany mengerutkan muka. Zakwan sudah balik ke? Tapi, kenapa hatinya berasa semakin tidak enak? Suaminya tidak pernah menekan loceng setiap kali balik ke rumah!