USAI makan dan mengemas. Hassan ajak Syakila duduk di ruang tamu.
"Sya marahkan mak?"
Menggeleng.
Tersenyum, Hassan. Anak ini masih tahu hukum-hakam. Masih takut untuk mengaku marahkan ibu, kerana tahu ia akan mengundang kemarahan Tuhan. Tetapi, masih mentah dalam menyorok ketidakpuasan. Tidak marah, tetapi melancarkan mogok lapar dan bisu.
"Mak hanya risaukan Sya."
"Mak tak percayakan orang. Mak tak percayakan Azril. Orang tak pernah ada kawan, ayah. Mak suka agaknya kalau orang kawan dengan hantu."
Hassan menggeleng. "Bukan begitu, Sya. Bukan mak sengaja nak halang. Mak hanya membataskan apa yang agama minta. Betul tindakan mak itu. Sya sudah belajar agama di sekolah. Ayah percaya, Azril juga."
"Orang cuma berkawan sahaja dengan dia, ayah. Orang tak ada kawan. Nanti, along dan angah balik semula ke asrama, lagilah orang sunyi. Azril sahaja kawan orang. Dia sahaja yang boleh faham orang.
Ibu dan ayah dia tak larang sebab dia orang percayakan Azril. Tapi, kenapa mak dan ayah orang tak percaya pada orang?"
Soalan Syakila membuatkan Hassan tersandar.
"Sya ..."
Anak ini ternyata masih tidak matang. Tidak terpandang akan isu ikhtilat di fikiran orang tua. Tetapi, terlihat di sebaliknya. Terluka hati kecilnya dengan rapuh kepercayaan orang tua.
Kasut ibu dan anak di bawah usia, tidak pernah sama saiznya.
Ibu.
Kasutnya sudah haus tapak. Sudah jauh menapak. Sudah terpijak banyak. Menjauhi padah. Tidak mahu ambil mudah.
Anak.
Kasutnya masih baru. Teruja ingin meneroka. Tidak pernah nampak bahaya. Risiko itu satu cabaran buatnya.
YOU ARE READING
Lastik Kayu (Completed)
قصص عامة"Lastik kayu ini ada tiga cabang. Satu pemegang, dua yang mencapang. Dua yang mencapang itu, aku dan dia. Dan kau ... pemegang yang menyokong. Aku nak kau simpan lastik kayu ini sampai bila-bila. Lastik kayu ini tanda persahabatan kita." - Azril. St...