"Sikit apa, long? Sya mana? Mesti kerja anak dara bertuah ni!"
"Mak, tak payahlah nak marah dia. Sekali-sekala kami balik, biarlah dia nak melepas rindu pada kita orang."
"Melepas rindu jenis apa, sampai berdarah sini sana?" Maryam menggeleng.
Sebaik darah pada bahu Syamil yang hanya bersinglet itu hilang, jelas terpapar kesan gigi. Agak dalam. Bukan gigit main-main. Sudah macam digigit jerangkung kelaparan!
"Mak! Pulut ada lagi? Angah nak ..." Syahir muncul dengan kaki terencut-encut.
Maryam pejam mata. Tarik nafas perlahan, sebelum dihembus sekali dengan gelengan. "Ya, Allah. Boleh sakit jantung dengan perangai anak-anak. Kenapa pula dengan kaki angah tu?"
Terhenti bicara Syahir bila dilihat gelengan si ibu. Tangan ibu yang mengusap dada, menahan rasa membuatkan dia hanya melayang sengih. Lebih lebar sengihannya bila mata bertembung dengan mata Syamil. Dengan bangga Syamil tunjuk bekas gigitan Syakila pada bahu kirinya yang sudah dirawat Maryam.
"Yuhu, mak!" Si gadis muncul di muka pintu yang memisahkan dapur dan ruang hadapan. Ceria, walaupun pipi kanannya ada kesan hijau-kebiruan. Dari atas kepala tangga, Syakila melompat turun, melepasi tiga anak tangga. Mendarat di hadapan si ibu yang sudah terbeliak mata.
"Sya!" dijerit Maryam. "Sya sudah darjah enam tahu! Sudah dua belas tahun. Walaupun Sya belum datang haid, belum nak dikata dewasa, tapi 'dua bukit' di hadapan dada itu, sudah nak bengkak. Tak malu ke, terlompat sana, sini? Cubalah jaga perangai tu sikit. Ini, along dan angah balik, sibuk bergusti. Lebam sana sini. Rambut tu ... Ya Allah ... kenapa dikerat lagi?" Hampir menjerit Maryam melihatkan rambut si anak gadis sudah kembali pendek.
Baru malam tadi elok panjang melepasi bawah telinga. Ada la nampak rupa perempuan. Tetapi, pagi ini sudah dikerat pendek. Maryam pandang pada Syamil dan Syahir. Mesti si kembar dua orang ini bersubahat sama.
"Along. Angah. Bagi penjelasan!"
"Hah, kan aku dah cakap! Sya, kau jawab sendiri. Aku tidak bertanggungjawab. Kau yang suruh kerat." Syamil sudah menyenduk pulut ke dalam pinggan. Dibawa pinggan yang berisi sambal udang kering rapat ke hidungnya. Dicium sekali lalu dengan mata terpejam.
"Bismillah."
"Ala ... orang rimaslah mak rambut panjang-panjang ni. Memang pun orang tunggu along dan angah balik, nak suruh tolong potongkan. Lagipun, petang semalam orang terjumpa dengan 'kawan' orang. Rambut dia panjang sampai ke buku lali. Busuk yang teramat! Orang tak naklah nampak sama macam dia."
"Kat mana kau nampak, dik?" Syahir yang sudah ambil tempat di sebelah Syamil bertanya. Berkerut dahinya. Sudah lama Syakila tak buka cerita tentang dunia mistik. Tentang hijab matanya yang terbuka.
"Dekat rumah kosong, sebelah jalan ke kebun ayah tu. Orang kebetulan baru balik dari rumah Maisarah, anak mak cik Limah. Terpandang pula ... hmm!" Sya duduk di anak tangga. Dia tak rasa nak ikut abang-abangnya membesarkan badan. Makan berulang-ulang. Kebulur sangat budak-budak asrama ini sekali-sekala pulang ke kampung halaman!
"Kau dah tak berkawan dengan Azril ke, dik? Sudah pandai berkawan dengan budak perempuan," tanya Syamil. Tangannya laju menambah pulut dari kukus. Pulut di pinggannya tadi, sudah licin.
"Kemarau tujuh musim kalau dia berhenti berkawan dengan anak bongsu Haji Hussain itu, agaknya." Maryam memotong sebelum sempat Syakila menjawab. "Asyik berdua sahaja. Ada sahaja benda yang hendak dibuatnya. Hendak disembangkannya. Tidak habis-habis bercerita!"
YOU ARE READING
Lastik Kayu (Completed)
Ficción General"Lastik kayu ini ada tiga cabang. Satu pemegang, dua yang mencapang. Dua yang mencapang itu, aku dan dia. Dan kau ... pemegang yang menyokong. Aku nak kau simpan lastik kayu ini sampai bila-bila. Lastik kayu ini tanda persahabatan kita." - Azril. St...