◍━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━━◍
SEGELAS air jus limau habis diteguk oleh Tenggo. Bibirnya dilap dengan belakang telapak tangan sebelum pandangan mata terus menghala ke arah wanita di hadapannya itu. Senyuman sinis terpamer pada raut wajahnya, tidak disangka-sangka dia dapat juga berjumpa dengan wanita itu. Sedangkan hampir kesekian lamanya dia mencari. Di sana, di sini tetapi tetap tidak dijumpai. Tetapi sekarang sudah jumpa. Senang hatinya berasa.
"Tak sangka kau dah pakai tutup-tutup macam ni ya. Dulu..." Belum pun sempat dia habis berbicara, sudah dipotong oleh wanita itu.
"Kau nak apa sebenarnya?" soal Zulaikha, serius.
Dia tiada masa untuk bergurau sebenarnya. Jika lelaki di hadapannya ini mahu mengatakan sesuatu yang tidak wajar. Dia lebih rela tidak mahu berlama di sini.
"Amboi, marah nampak. Janganlah marah Zu. Aku saje cari kau sebab rindu. Salah ke?" soal Tenggo, bersahaja. Pandangan mata terus menjelajah ke segenap wajah putih bersih itu. Kelihatan sungguh suci.
Mindanya mulai menerawang, terfikir akan kejelitaan wanita itu suatu ketika dahulu. Sungguh memukau pandangan. Siapa tidak kenal dengan Nur Zulaikha? Seorang wanita yang paling tip top suatu ketika dahulu di pusat pelacuran. Ketika itu, wanita itu memang menjadi rebutan para pelanggan. Tidak kiralah muda atau tua.
Seingatnya, ketika itu Zulaikha baru sahaja berusia 19 tahun semasa bekerja di sana. Begitu banyak rahsia yang disimpannya mengenai wanita itu. Dari A hingga Z. Kerana dialah pembantu ibu ayam di sana dan sekarang ini masih lagi dengan pekerjaan haramnya.
"Berhenti ganggu hidup aku. Boleh tak?"
Mata bundar Zulaikha mencerlung tajam ke dalam anak mata lelaki itu. Mereka berdua bertentang mata, terpancar ketidakpuasan di hati Zulaikha ketika ini. Dia berharap sangat lelaki itu cukup memahami keputusannya. Bukan apa, sebenarnya dia kalau boleh tidak mahu sama sekali terbabit dalam kisah silamnya sekali lagi.
"Isy... mana boleh aku buat macam tu. Eh, kau dah lupa ke? Sejak kau berkahwin dengan malaun tu. Kau dah jadi..."
Tenggo menilik sekejap pada pemakaian wanita itu. Entah bagaimana dia mahu mengolah ayat, dia sendiri tidak pandai. Hendak dikata bertambah teruk, tidak. Bertambah baik adalah.
"Jadi... lain."
Agak-agaknya wanita itu pasti mengerti maksud ayatnya. Tenggo menyelak rambut keperangannya ke belakang.
"Yalah. Kau dulu seksi tapi sekarang dah tertutup. Aku tengok... nice jugak."
Sempat Tenggo ketawa nakal sambil mengenyit mata. Zulaikha cepat-cepat berkalih memandang ke arah lain. Tidak selesa.
"Ermmm... aku dengar anak kau dah besar. Apa nama dia ya? Aku lupa pulak. Ermmm... jap aku nak ingat balik. Apa eh?"
Tenggo memetik jari berkali-kali sambil mencuba untuk mengingati nama anak tunggal wanita itu, sempat dia tertawa di dalam hati. Nampak sangat Zulaikha seakan takut dengan pengetahuannya mengenai latar belakang keluarga gadis itu sekarang. Semua dia tahulah, cuma malas sahaja menunjuk.
YOU ARE READING
SELAFAZ KATA BENCI © [HIATUS]
Romance❝Jika tangan ku terpalit dengan dosa. Akan ku pimpin kau ke neraka.❞ ● ARJUNA - Perjalanan kisah hidupnya tidak seindah apa yang disangka. Dia bukanlah lelaki yang baik seperti sang malaikat. Tetapi, dia hanyalah seorang pendosa tanpa noktah yang...