SESUATU pelik terasa pada badan. Panas. Si isteri mulai peluh. Dia tidak senang duduk. Tercungap-cungap nafasnya menahan segala rasa. Dia menjerit menahan sakit apabila jari jemarinya mula kemerahan. Dari posisi berdiri, si isteri terduduk. Kedua tapak tangan menghentak papan kayu.
Berkerut-kerut keningnya menahan sakit. Peluh yang membasahi bersama air mata jatuh ke papan kayu. Kesakitan yang di alami tidak dapat dijelaskan. Si isteri mencengkam papan kayu dengan kuku panjangnya. Dia berlari keluar menuju ke belakang rumah. Segala darah yang tiba-tiba keluar dari mulutnya dibatuk keluar. Tanah bertukar menjadi warna merah.
Si suami yang melihat keadaan itu terus menjerit memanggil nama isterinya dengan nada cemas. Dia menghampiri isterinya lalu menepuk perlahan belakang badan si isteri. Sekali lagi, si isteri terduduk. Tangannya mencengkam tanah. Sebelah tangannya menyentuh perut. Rasa sakit tidak terkata di bahagian perut dan dada kirinya. Bagaikan ada sesuatu benda berat yang menghempap badannya ketika ini.
Lebih bertambah cemas si suami apabila darah mula mengalir. Si suami mendukung si isteri masuk ke dalam rumah. Sempat si suami memandang isterinya yang memandang satu arah seperti berharap dan meminta tolong. Si suami pelik namun dibiarkan rasa itu. Yang penting ketika ini adalah isterinya.
"Tok! Tolong saya, tok!" jerit si suami apabila ternampak seorang atuk tua yang menjadi perawat si isteri.
Atuk itu mendekati si suami yang terjerit-jerit dan cemas. Tanpa penjelasan, si suami menarik atuk masuk ke dalam rumahnya. Membulat mata si atuk melihat si isteri yang berpeluh dan mengeluarkan banyak darah. Dia terus mendekati si isteri. Tangannya mencari nadi dan menyentuh perut si isteri.
"Rae, panggil bidan cepat! Panggil lima orang!"
"Tapi tok, bidan dalam kampung ni ada dua orang sahaja!"
"Tanya bidan. Mereka tahu siapa yang boleh bantu dalam hal ini!"
Si suami mengangguk dan segera beredar dari rumah. Dia menggunakan motor si atuk untuk menuju ke rumah bidan yang terletak jauh dari rumahnya. Si atuk melihat si suami pergi. Kemudian, dia kembali fokus. Dia menutup kedua mata si isteri menggunakan tapak tangannya. Mulut terkumat-kamit membaca sesautu. Lalu selesai itu, si atuk meniup pada tapak tangan yang menutup kedua mata si isteri.
Serta-merta keadaan berubah. Si isteri tersedar. Namun, bukan di dunia realiti. Itu yang pasti. Si isteri melihat keadaan sekeliling. Dia bagaikan berada dalam dunia lain dan dia pasti dia kenal dunia ini. Perhatian si isteri ditarik dengan bunyi burung yang kuat. Burung itu bertebangan dengan laju. Si isteri mengikut burung itu. Tidak berjalan. Mahupun merangkak.
Tetapi terbang. Sama seperti burung. Dia tidak memikirkan tentang dirinya, tetapi dia memikirkan tentang tempat ini. Dia yakin yang dia pernah ke sini. Malangnya, ingatannya tidak dapat diingat semula akan tempat ini. Si isteri dan burung berhenti di suatu tempat. Kawasan yang kecil dan dingin. Entah apa yang buatkan si isteri fikirkan sehingga dia berani menyentuh burung yang dipenuhi duri tajam itu.
Pelik. Tangannya langsung tidak terluka apabila menyentuh burung itu. Ketika ini juga dia rasa haus. Tanpa berfikir jauh, si isteri mencengkam kuat burung itu dengan kuku tajamnya. Burung itu serta-merta mati. Darah yang mengalir diminum sehingga habis. Si isteri menjamu selera sehingga lah burung yang berisi hanya tinggal tulang.
Si isteri berhenti makan. Dia ternampak kunci yang ditutupi oleh bulu burung. Dia mengambil kunci itu. Bunyi pintu ditendang menarik perhatiannya. Si isteri menghampiri pintu itu. Kunci yang berada di tangannya digunakan untuk buka pintu. Dengan ragu-ragu dalam dirinya, si isteri melangkah masuk. Dia membuka pintu lagi dan melangkah masuk.
Langkahnya terhenti di hadapan lima buah pintu. Dia memandang kelima-lima pintu. Satu per satu pintu dibuka. Semuanya sama sahaja. Sebaik buka pintu, hanya tangga kelihatan. Si isteri memilih pintu utama. Tangga itu tiada laluan sehingga ke akhir. Masuk pintu kedua. Sama. Pintu ketiga juga sama.