7. Kunjungan Tetamu Misteri

327 6 0
                                    

Mariam terbujur kaku di atas katilnya. Matanya terbelalak seolah-olah sedang mencari sesuatu pada siling rumah. Nafasnya mencungap-cungap. Dia tidak bergerak ataupun menoleh ketika suaminya masuk bersama dengan Pak Semaun. Wajahnya kelihatan pucat lesi. Tubuhnya juga kelihatan semakin kurus jika dibandingkan dengan kali terakhir Pak Semaun bertemu dengannya kira-kira lima bulan yang lalu.

Perhatian Mariam tertumpu kepada Selamah, isteri pertama Tok Empat Sitam yang bergegas bangun menyambut kepulangan suaminya. Mukanya juga kelihatan semakin pucat. Pergerakannya juga agak lemah sementaranya matanya kelihatan merah dan bengkak kerana tidak cukup tidur.

"Pak Semaun, syukurlah kerana kau sudi datang menjenguk kami di sini," ujar Selamah sambil tersenyum memandang ke arah Pak Semaun yang masih berdiri memerhatikan Mariam yang masih terlentang tidak bergerak.

"Tolonglah dia. Bantulah supaya kesakitan yang menimpanya cepat sembuh," rayu Selamah sambil bersalaman dengan Pak Semaun. "Kasihanilah dia..." rayu Selamah sambil menitiskan air mata.

Sikap yang ditunjukkan oleh Selamah itu membuatkan Pak Semaun semakin terharu. Dia juga merasa kagum atas sikap yang ditunjukkan oleh Selamah. Tutur kata Selamah begitu tulus sehingga Pak Semaun dapat merasakan bahawa Selamah adalah seorang perempuan yang begitu baik dan jujur. Dia sanggup mengorbankan masa dan kesihatannya hanya untuk membantu seorang perempuan lain yang juga merupakan madunya sendiri.

"Aku akan berusaha seberapa yang boleh untuk membantunya," ujar Pak Semaun, "percayalah..." balas Pak Semaun sambil tersenyum ke arah Selamah.

“Kau pasti akan berjaya kerana kau lebih rapat dan lebih mengenalinya dari kami," tambah Selamah penuh mengharap.

Benarkah dia lebih mengenali Mariam? Mungkin juga tetapi itu semua telah agak lama berlalu. Dia mengenali Mariam sejak Mariam masih kanak-kanak lagi. Perempuan itu akhirnya menjadi menantunya dan kemudiannya memberikan seorang cucu kepadanya. Mariam yang berkahwin dengan Muluk, anak tunggalnya yang tidak pernah tahu akan getir hidup apatah lagi soal rumahtangga. Dia tidak tahu jalan
yang lurus dan jalan yang bengkok.

Mariam telah termakan hasutan dan pujuk rayu lelaki lain lalu meninggalkan suami dan anaknya. Dia juga turut meninggalkan Pak Semaun yang amat mengasihinya.

Sejak peristiwa itu, dia sudah tidak pernah bertemu lagi dengan menantunya itu sehinggalah berbelas tahun kemudian tiba-tiba Mariam muncul kembali dan datang menemuinya untuk menemui Meran, satu-satu anaknya hasil dari perkahwinan dengan Muluk. Kedatangan Mariam kali ini menampakkan dia seorang wanita yang sudah matang dan penuh pengalaman hidup. Dia kelihatan masih tegap dan muda walaupun sudah berusia 35 tahun. Wajahnya juga kelihatan lebih cantik dari wajahnya sebelum dia meninggalkan kampung. Kemunculannya secara mendadak itu membuatkan Pak
Semaun tidak dapat menyelami hati budi perempuan itu secara lebih mendalam.

Pak Semaun menarik nafas panjang. Dia melangkahkan kakinya merapati Mariam yang masih terlantar di atas katil. Dia membongkokkan badannya lalu berbisik ke telinga Mariam.

"Yam, kau masih ingat padaku?" Tanya Pak Semaun.

Kelopak mata Mariam berkedip beberapa kali. Mulutnya berkumat-kamit seketika. Kemudian barulah terdengar suara yang dilafazkan oleh Mariam: "Baaaapaaakk?" Tangannya meraba-raba tangan Pak Semaun lalu tangan orang tua itu digenggamnya dengan kemas. Luka di hati Pak Semaun sejak ditinggalkan
oleh menantunya itu segera luput dari ingatannya.

"Aku datang menjengukmu. Yam. Apa dah terjadi padamu?" Tanya Pak Semaun dengan lembut.

"Bapak!" Mata yang damba itu kembali bersinar namun hanya buat seketika. "Bapak! Dia datang lagi!"

"Siapa? Siapa yang berani menggangguimu?" Suara Pak Semaun semakin kuat.

"Anakku. Dia datang tetapi hanya untuk seketika. Kemudian dia hilang dengan tiba-tiba."

Lembah PuakaWhere stories live. Discover now