Makhluk yang hanya mempunyai kepala dengan matanya yang merah menyala itu melayang-layang di lereng gunung sambil melalui lorong-lorong yang sempit lalu masuk dari satu gua ke gua yang lain. Matanya ditumpukan ke arah semak dan belukar sambil mengintai di sebalik pepohon yang tegak merimbun lalu masuk kembali ke dalam gua-gua yang terdapat di lereng gunung itu.
Semakin lama berlegar-legar di kawasan itu, mata makhluk tanpa badan itu terpegun beberapa kali sambil berhenti dan terapung-apung di udara. Ada juga ketikanya kepala tanpa badan itu turun ke tanah lalu tergolek lemah di atas batu dan tanah yang terdapat di lereng gunung itu. Selepas itu, kepala itu terbang semula sehinggalah mata merahnya semakin lemah kerana berputus asa.
Ketika itu, tiba-tiba muncul satu lembaga besar dan sasa dengan rambut serta janggutnya yang memutih. Sambil memegang sesuatu di tangannya, lembaga itu keluar ke tempat yang terbuka dan lapang di bawah sinaran bulan purnama.
"Kau sedang mencari benda ini, bukan?" Lelaki itu bersuara lantang tetapi masih ada kelembutannya. Benda yang diseretnya tadi dicampakkan ke atas tanah di hadapannya. Ternyata benda yang dicampakkan oleh lelaki itu ialah satu tubuh berkaki empat yang berwarna
hitam dengan bulunya yang telah hampir botak.Kepala yang masih terapung-apung di udara itu terpaku dan tergamam. Kemudian barulah dia memalingkan mukanya. Matanya yang merah menyala itu merenug tepat ke arah tubuh berkaki empat yang sedang terjelepak di atas tanah di bawahnya. Kemudian matanya diarahkan pula kepada lelaki tua yang baru keluar dari persembunyiannya itu. Dari gerak-gamit muncung makhluk yang sedang terapung itu terdengar suara mengerang dan matanya yang merah itu menyatakan kemarahannya.
"Kau betul-betul sial, bukan? Mereka telah memenggal lehermu lalu memisahkan kepala dan tubuhmu tanpa mengetahui bahawa ketika itu engkau sebenarnya masih belum mati yang sebenar-benarnya mati!"
"Mereka tidak tahu perkara itu kecuali aku yang mengetahui segala-galanya kerana aku adalah Liki, orang yang sentiasa mengikuti setiap pergerakan yang kau
lakukan sejak kau meninggalkan pondok burukku yang terletak di tengah-tengah hutan.""Aku mengekori ke mana saja kau pergi melalui mata hatiku dan dengan mata hatiku, aku dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh penduduk kampung terhadapmu ketika tubuhmu digantungkan pada dahan belimbing tua itu. Dan melalui mata hatiku juga aku dapat melihat setiap perbuatan yang engkau lakukan dan kenapa kau telah melakukan perbuatan-perbuatan buruk dan terkutuk itu? Belum cukupkah jika Mawar saja yang kau jadikan mangsa nafsu ganasmu?"
Mendengar nama Mawar disebut oleh lelaki tua itu, kepala makhluk tanpa badan yang sedang terapung-apung di udara itu terus berhenti mengerang dan sinaran matanya yang merah itu tidak lagi segalak tadi. Ketika itu hanya terdengar dengus nafasnya yang dituruti oleh lidahnya yang terjelir-jelir keluar masuk dari mulutnya.
"Setelah kau hampir memperkosai ibumu sendiri, kau sebenarnya tidak perlu takut padaku," ujar Pak Cik Liki, "kau tak perlu bersembunyi dan lari ke sana ke mari. Dan aku telah mengingatkanmu sejak dari awal lagi dan apa yang telah terjadi ke atas diri Mawar adalah sesuatu yang wajar sebagai pembalasan. Aku tidak pernah menaruh perasaan dendam terhadapmu walaupun aku merasa amat kecewa atas perbuatan
yang telah engkau lakukan terhadap anak gadisku itu dan yang lebih menyedihkan lagi apabila aku kehilangan seorang anak yang amat aku sayangi."Kepala yang masih terapung-apung di udara itu kelihatan tunduk seolah-olah memberi tanda hormat kepada lelaki tua yang berada di bawahnya.
"Tetapi nafsu marahmu rupanya tidak pernah terlepas dari dirimu dan sehingga ajalmu benar-benar akan simpati, lidahmu masih terus mengucapkan lafaz untuk membalas dendam terhadap penduduk kampung. Nafsu marahmu itu kemudiannya memperbudak-budakkan dirimu sendiri dan memberikan kekuatan
kepadamu untuk menjayakan niat jahatmu itu. Rohmu telah diperbudakkan oleh perasaan busuk hatimu lalu membuangkan perasaan baik yang ada di dalam tubuhmu itu jauh entah ke mana. Perasaan baik dan buruk memang ada dalam diri setiap makhluk tetapi jika perasaan buruk sudah menguasai perasaan baik maka kehancuranlah yang akan kau dapati."
YOU ARE READING
Lembah Puaka
ParanormalUntuk makluman: cerita ini bukan hasil karya author, author ambil dari novel author asal Tok Unggal. author beri kredit sepenuh nya kepada tuan empunya yang asal. ini kerana author tertarik dengan garapan dan olahan ceritanya, author mengambil keput...