Tren Bandar Tasik Selatan

1 0 0
                                    

Usai kelas komunikasi data, Shamsul bergegas keluar dari kelas. Hari ini hari Jumaat. Sesi kelas cuma ada satu. Inilah hari yang ditunggu oleh semua pelajar semester akhir sains komputer. Yang tinggal berhampiran ibu kota, menggunakan peluang hujung minggu ini untuk pulang ke rumah. Yang selebihnya menghabiskan masa di hostel, ataupun di rumah sewa masing-masing.

Gerak langkah Shamsul diatur dengan laju, dia tidak mahu ketinggalan bas transit yang menuju ke stesen LRT Ara Damansara. Dari sana perjalanannya masih jauh lagi. Dia perlu sampai ke rumah seawal yang mungkin, untuk menunaikan solat Jumaat, dan sebelah petangnya dia perlu bekerja sebagai juruwang separuh masa di sebuah hypermarket.

Begitulah kerasnya kehidupan di ibu kota. Kalau mengharap terus pada pinjaman pelajaran yang diperolehi, mana mungkin cukup untuk menanggung wang perbelanjaan hariannya. Itu belum kira kos sewa rumah dan lain-lain kos.

Di sepanjang perjalanan itu, pandangannya dilontarkan keluar menembusi tingkap tren. Fikiranya melayang, bercelaru, cuba membuat pecaturan supaya dapat rapat dengan Ayu. Pohon-pohon hijau diluar dilihat berlalu dengan sangat cepat. Kotak-kotak besi kelihatan mulai sesak di sepanjang pintu gerbang tol, mereka berpusu-pusu untuk keluar dari ibu kota.

Setiap kali tren berhenti, bilangan penumpang semakin berkurang. Sehinggalah di perhentian Bandar Tasik Selatan, muncul sosok tubuh yang cukup dia kenali. Ayu.

Shamsul tergamam, sendi lututnya terasa lemah sekali. Hatinya bedegup  kencang, reaksi ardenaline  meningkat dengan mendadak. Gadis idaman ada depan mata. Mungkin itukah rasanya perasaan cinta.

Muka Ayu berubah jadi kemerahan, Cuba menahan perasaan malu bila melihat Shamsul di depan mata. Detik itu seolah-olah terhenti. Sunyi. Sepi, hanya pandangan mata bertemu mata.

Ayu duduk, menundukkan kepalanya ke arah lantai tren. Shamsul yang dari tadinya kaget, berpura-pura memperbetulkan rambutnya yang kusut masai.

Senyumlah KinabaluWhere stories live. Discover now