JIBRAEL memulas kunci sehabis perlahan. Bimbang mengejutkan penghuni rumah yang lain. Sempat dia melirik ke jam tangan. Lebih kurang satu jam sahaja lagi azan Subuh akan berkumandang. Dan ia adalah waktu yang tepat untuk pulang bagi mengelakkan dirinya terpaksa menadah telinga dengan sesi soal siasat Ku Jasmin.
Daun pintu ditutup dengan penuh berhati-hati agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi sebaik sahaja lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah.
Langkah diatur ke tangga untuk naik ke bilik. Namun, baru kaki memijak anak tangga yang pertama, seluruh ruang terang berderang oleh cahaya lampu.
"Jibrael."
Lagak tenang, lelaki itu berpusing mencari suara yang sudah lali bermain di cuping telinganya selama 35 tahun ini.
"Mama tak tidur lagi?"
Wanita itu tidak terus menjawab. Sebaliknya merenung tepat dan tajam lurus ke mata satu-satunya anak lelaki yang dia miliki.
Dan renungan seperti itu seolah-olah memberi satu petanda kurang baik untuk Jibrael.
"Tak. Dari tadi lagi Mama tunggu Rael balik."
Jibrael menggaru pangkal leher yang tidak gatal. Bibirnya melukis senyum sinis. Tekaannya semakin mengena. Kalau itulah skripnya, memang ada sesuatu yang Ku Jasmin tidak berpuas hati dengannya.
"Laaa... buat apalah mama tunggu. Rael kan memang selalu balik lambat."
"Sebab mama ada benda nak tanya dengan Rael."
Jibrael teguk liur. Suspen jugalah apabila Ku Jasmin sebut 'ada benda nak tanya'. Bukan takutkan Ku Jasmin. Cuma Jibrael takut Ku Jasmin tahu apa-apa perbuatannya yang akan membuatkan Ku Jasmin berasa kecewa terhadap dirinya. Lebih-lebih lagi soal...
"Ini apa?" Sekeping kertas kecil segi empat berwarna putih dihulur kepada Jibrael.
Memandang kepada imej yang tercetak di atas kertas putih itu, Jibrael mendengus kuat. Rahang bergerak-gerak seiring ombak dalam dada yang mula amuk mengganas. Kertas putih kecil itu direntap dari tangan Ku Jasmin. Wajah diraup kasar sambil memerhati apa yang terlakar di atas kertas kecil itu.
Gambar cetakan dari imbasan empat dimensi atau 4D janin yang belum terbentuk fizikalnya. Mungkin sekitar usia lapan hingga 10 minggu. Entah! Dan Jibrael tak peduli. Yang Jibrael mahu tahu sekarang adalah, siapa yang cuba cari pasal dengannya.
Jibrael berdeham beberapa kali. Cuba mengawal nafasnya yang mulai tidak tentu arah gelombangnya. Cuba menjaga nada suaranya dari tanpa sengaja melukakan hati Ku Jasmin.
"Siapa yang bagi mama benda ni?"
Kolam air mata Ku Jasmin mulai bergenang tangis. Dan fenomena itu membuatkan Jibrael bertambah panas.
"Rael tanya... siapa yang bagi mama benda ni?" Suara Jibrael semakin keras.
"Kenapa Rael mesti tanya mama? Takkan Rael tak tau perempuan mana yang Rael dah buntingkan?!"
"What the...!" Jibrael ramas mulut sendiri.
Air mata yang bergenang tadi mulai menitik-nitik. Betapa kecewanya perasaan seorang ibu apabila berdepan dengan situasi begini.
Anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, didikan agama tidak pernah diabaikan. Tapi mengapa sejauh ini tersasarnya? Ini yang Ku Jasmin tahu. Yang tidak? Ini baru seorang yang datang mengaku hami anak Jibrael. Bagaimana kalau ada perempuan lain lagi yang telah Jibrael rosakkan? Dua orang? Tiga orang? Lima? Sepuluh? Atau tidak terkira ramainya. Terasa-rasa panasnya api neraka itu.
"Bagi tau mama. Dah berapa ramai perempuan yang Jibrael rosakkan dekat luar sana?"
Pecah ketawa Jibrael mendengarnya. Berapa orang ya? Takkan Jibrael harus mengaku bahawa Jibrael sendiri sudah lupa kerana tidak cukup jari tangan dan jari kaki untuk menghitungnya.
Perempuan 'Touch and Go' memang taklah Jibrael mampu ingat. Jangan kata nama, wajah mereka pun Jibrael sudah lupa. Bagi Jibrael, perempuan tak lebih daripada badut-badut penghibur hatinya sahaja.
Melihat Jibrael tidak memandang serius apa yang telah berlaku membuatkan hati Ku Jasmin yang koyak, semakin rabak.
"Mama kecewa dengan Rael. Sampai hati Rael memalukan mama. Mama tak pernah ajar Rael rosakkan anak dara orang. Kenapa mama tengok Rael dah jauh sangat berubah. Rael dah tak macam Rael yang dulu. Rael yang dulu, masa dengan Lea..."
"Jangan sebut nama perempuan tu depan Rael."
Ku Jasmin tersentak. Terlupa amaran Jibrael. Nama AZALEA diharamkan untuk disebut di hadapannya.
"Mama nak Rael bertanggungjawab dengan apa yang Jibrael dah buat. Mama nak Rael kahwin dengan Miera."
Jibrael ketawa-ketawa.
"So... it's Miera." Bibir Jibrael melukis senyum sinis. Terangguk-angguk.
Sial punya perempuan! Bara dalam dada Jibrael semakin panas.
Bayangan wajah Miera bergentayang di ruang mata. Berani Miera bertemu dengan Ku Jasmin membongkarkan segalanya. Memang cari nahas.
"Ya. Miera. Esok, kita pergi jumpa keluarga Miera. Mama nak Jibrael bertanggungjawab. Jangan dah buat hal, lepas tangan macam tu aja."
Sambil tersengih, Jibrael menggeleng laju.
"No way, mama. Betina tu memang dah tak suci sebelum jumpa dengan Rael. Jangan harap Rael akan kahwin dengan sisa lelaki lain!"
Miera itu perempuan-perempuan yang berpeleseran di kelab-kelab malam setiap malam minggu. Kaki mabuk. Kaki khayal. Kaki minum dan kaki kangkang. Perempuan macam tu nak diangkat menjadi isteri?
Sorry... bukan Ku Jibrael untuk kutip sisa pembuangan orang lain.
"Masalahnya itu anak Rael!" Jerit Ku Jasmin. Tidak mampu menahan hatinya lagi.
"Mana mama tahu itu anak Rael? Mama yakin itu anak Rael?"
Ku Jasmin terdiam. Jibrael koyak senyum. Yes! Dia menang. Bukan susah pun nak putar belit benda-benda macam ni. Lagi pula bila melibatkan Miera. Yang dah sedia 'corrupt'!
"Macam nilah. Mama jangan risau, okey? Biar Rael settlekan. Mama anggap je perkara ni dah selesai." Jibrael memeluk bahu Ku Jasmin mengiringi langkah Ku Jasmin sehingga ke kamar beradunya.
Ku Jasmin kerut dahi. Selesai bagaimana?
"Maksud Rael? Rael akan kahwin dengan Miera ke tak?"
Jibrael mempercepatkan langkah agar cepat-cepat dapat menghantar Ku Jasmin ke kamarnya dan Jibrael boleh lari dari terus disoal siasat pagi buta ini.
"Takpa. Mama jangan risau. Jibrael tau apa nak buat."
Jibrael membaringkan Ku Jasmin dikatilnya. Menghamparkan gebar gebu membaluti tubuh wanita yang paling dia sayang. Pipi wanita itu dikucup kiri kanan.
" Mama rest okey. Rael janji Rael akan selesaikan. Esok Rael pergi jumpa Miera."
Lekas-lekas Jibrael berlalu meninggalkan Ku Jasmin.
Dan Miera... kau tunggu nasib kau!
WHATSAPP : 011 1050 3099
YOU ARE READING
JIBRAEL
Romance"Aku nak kau tahu yang aku tak perlukan cinta. Aku takkan cintakan kau. Dan kau jangan cuba-cuba untuk jatuh cinta dengan aku. Aku hanya mahukan anak benih aku sendiri. Dan aku pilih kau, untuk lahirkan anak aku. Itu fungsi kau di sini. Sebaik sahaj...