KENAPA malang sangat nasibku? Percutian ini sepatutnya untuk menyembuhkan hatiku yang terluka. Tapi lihatlah di mana aku sekarang. Di penjara. Dalam dinding batu yang lembap, tingkap berpagar yang tingginya 1 meter dari kepalaku, dan pintu besi.
"Kau nak duit ke? Aku orang miskin! Kalau kau nak dapatkan duit daripada aku pun, bagi aku bercakap dengan emak dan ayah aku. Tapi jangan apa-apakan mereka. Aku ke sini untuk bercuti, bukan ditahan dalam penjara."
Berkali-kali aku menghentak pintu besi, menarik perhatian pengawal yang tegak berdiri di luar, dua orang.
"Bukalah. Please... aku tak buat apa pun... aku tak tahu apa-apa... ." Aku terduduk. "Bukalah pintu... ."
KENAPA MALANG SANGAT NI?!
"Kau nak apa dari aku... ? Aku betul-betul tak ada duit. Aku baru je dipecat. Dah tu tunang aku batalkan perkahwinan kami. Aku dah malang sangat dah. Tiba-tiba sekumpulan serigala merosakkan kereta aku sebab bergaduh. Tapi kenapa kau culik aku?! Lepaskan aku!"
Aku tak peduli! Aku tetap merayu. Walaupun tahu ia adalah mustahil untuk aku dilepaskan. Barangkali aku diculik ketika aku tidak sedarkan diri selepas melihat serigala dilapah di depan mataku.
Argh!
Kejamnya. Binatang memang tidak ada belas kasihan. Tapi kalau serigala hitam tidak membunuh serigala tu, pasti aku yang akan menjadi mangsa. Patutkah aku bersyukur, diselamatkan oleh serigala hitam? Kerana akhirnya, aku dikurung dalam penjara ni oleh... entah. Aku tak tahu.
Mungkin 'penculik' ini juga yang membersihkan darah di wajahku. Entah-entah mereka menyangkakan aku mayat, sebab tu mereka culik aku. Hah! Sindiket menjual organ dalaman! Cepat-cepat aku memeriksa badanku jika terdapat luka torehan atau jahitan, mana lah tahu mereka sudah membedahku tanpa pengetahuanku.
'Tak ada yang cedera. Baguslah.'
Pakaianku juga tidak berubah. Masih t-shirt kelabu berlengan ¾ dan seluar kargo hitam. Rambutku masih sama panjang seperti sebelum aku diserang serigala. Masih lagi paras bahu, masih lagi hitam. Atau sudah kurang gelombangnya?
Pintu besi dibuka dari luar. Seorang lelaki masuk ke dalam membawa dulang yang berisi makanan dan minuman. Aku berundur sehingga ke dinding. Lelaki yang berambut pendek berwarna perang itu memberikan senyuman yang manis kepadaku. Dia meletakkan dulang ke lantai sebelum kembali memandangku.
Oh, my...! Kalau aku katakan dia ialah seorang selebriti, aku yakin semua orang akan percaya denganku. Dia hanya mengenakan baju kemeja-T jenis leher V ketat ke badannya, menonjolkan setiap lekuk otot pada tangan dan badannya, berseluar jean lusuh.
"Kau mesti lapar, kan?" Kenapa penculik ni terlalu tampan?! Suaranya juga dalam, terlalu menggoda. Dan sangat tinggi! 6 kaki 2, mungkin.
Aku mengangguk dengan mulut yang sedikit ternganga.
"Makan ya. Tapi aku tak tahu makanan apa yang manusia selalu makan. Jadi, aku sediakan ini saja. Harap kau suka."
Haah?
Ini syurga ke penjara... ? Kenapa dia sangat... baik?
"Aku Ryan. Maaflah kalau kau terpaksa berehat di sini. Ini arahan alpha. Dia tak nak manusia berkeliaran di kawasan ni. Maaflah kalau kau kurang selesa. Alpha akan selesaikan perkara ni secepat mungkin."
Aku langsung tak faham apa yang diperkatakan olehnya. Alpha? Siapa Alpha? Kenapa dia asyik menggelar aku 'manusia'? Macamlah dia bukan manusia.
Lelaki ni nampak baik. Kalau aku merayu sungguh-sungguh, mesti dia tersentuh hati. Lepas tu, aku rekalah cerita sedih sikit, hmm.... banyak pun tak apa. Memang hidup aku menyedihkan. Mungkin, dia akan bersimpati dan melepaskanku.

YOU ARE READING
Her Werewolf Prince (Terbit)
WerewolfBakal terbit Julai 2024 Penerbit: ATAP Publication Dalam ni, raw story yang belum diedit oleh editor. HAK CIPTA TERPELIHARA. Start: 9th February 2023 Blurb: Niat nak healing di kolam air panas dek putus tunang sekali pakej dengan dibuang kerja, tak...