ARMEL ramas jemari mulus miliknya. Seolah-olah cuba 'meramas' debar yang sedang berombak ganas menghempas persisiran jiwanya saat ini. Berkali-kali nafas dihela dalam-dalam. Menghembus perlahan dan panjang. Cuba melapangkan dada yang terasa sangat sempit. Sesak.
Tunduk, hanya sesekali sahaja gadis itu mencuri lihat ke wajah lelaki yang sedang duduk betul-betul berhadapan dengannya saat ini. Tidak berani menentang sepasang mata yang sedang merenung tajam tepat ke mata bundar miliknya. Bertambah 'tajam' apabila tiada segaris senyum pun dihidangkan buat Armel sejak pandangan mereka saling bertentangan.
Resah. Berdua-duaan dengan seorang lelaki dewasa di dalam kamar hotel itu membuatkan jantung Armel terasa mahu meletup. Apatah lagi dengan lelaki yang usianya lebih kurang seusia arwah ayah Armel. Apatah lagi, kehadiran Armel di sini untuk 'menyerah' diri.
Ya. Lelaki itu jauh lebih tua dari Armel. Cuma dari luarannya lelaki itu nampak jauh lebih muda dari usianya. Masih kacak walaupun telah melepasi usia itu. Atau sepatutnya Armel sebut, lelaki itu sangat kacak kerana usianya telah mencecah 40-an berdasarkan kata-kata 'Men's life begin at 40?'. Entah. Fikiran dan jiwa Armel tak begitu stabil untuk memikirkan kesahihan baris perkataan itu.
Tubuh tinggi itu masih tegap dan kemas. Tiada lemak perut boroi yang tersembul dari ikatan tali pinggang yang terikat kemas di tubuh itu. Lengannya tidaklah berurat-urat seperti ahli gusti namun tetap tampak keras dan sasa. Ada helaian rambut memutih menghiasi kepala. Namun Armel tak rasa itu mencacatkan kekacakan lelaki itu. Malah entah kenapa helaian rambut putih yang dipanggil uban itu membangkitkan aura seksi dan menambah tampan lelaki di hadapannya. Berkali-kali Armel teguk liur payah. Berdebar lagi.
Sesekali Armel keliru. Dia berdebar kerana tujuan pertemuan ini, atau kerana berdua-duaan di dalam kamar hotel ini dengan seorang lelaki yang cukup matang, atau kerana terpesona dengan apa yang sedang terbentang di hadapannya saat ini.
Wake up, Armel! Jangan hilang fokus. Pertemuan ini bukan soal main-main. Pertemuan ini adalah tentang wang ringgit. Pertemuan ini adalah tentang hubungan yang bakal terjalin demi mendapatkan not-not yang mempunyai nilai. Pertemuan ini adalah tentang maruah yang bakal Armel pertaruhkan.
Sumpah, seumur hidup sekalipun tak pernah terlintas dalam fikiran Armel bahawa dia perlu berada di dalam situasi ini. Menjadi 'sugar baby' kepada seorang 'sugar daddy'? Gila! Keputusan ini cukup gila buat Armel. Namun apa pilihan yang Armel ada?
Kalau bukan kerana terdesak. Kalau bukan kerana masa depan. Kalau bukan kerana nyawa dan cintanya kepada mereka-mereka itu, Armel takkan izinkan dirinya berada di sini. Armel akan haramkan dirinya berada di dalam situasi ini. Kerana maruah seorang Armel Nur Nerinna tidak semurah itu.
Bercinta pun Armel tak pernah. Apatah lagi menjadi perempuan belaan sugar daddy!
"So... tentang tujuan kita berjumpa hari ni. You... dah fikir habis-habis?" soal lelaki itu.
Lelaki di hadapannya itu akhirnya bersuara. Meletakkan tangan di sisi sofa dengan jemari menongkat dagu bersama kaki yang disilang tenang. Sementara hala pandangan tetap ke arah gadis di hadapannya. Memerhati dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Meneliti setiap lekuk wajah dan tubuh.
Masih tersangat muda, segar dan naif.
"Errr..." Armel teguk liur payah. Seakan ada yang mencekik, sukarnya untuk Armel keluarkan suara.
Lelaki itu jongket kening sinis. Membawa isyarat bahawa dia mengulangi soalannya tadi.
"Errr... da... dah. Tapi..." Dalam gagap, pantas ada 'tapi'nya. Armel perlu memastikan, membuat pengesahan tentang sesuatu sebelum hubungan ini 'terikat' dan pergi lebih jauh.
YOU ARE READING
GADIS KEPUNYAAN TUAN ARMAN
RomanceKerana keterdesakan kewangan, Armel Nur Nerinna terjebak menjadi sugar baby kepada seorang lelaki Bersama Tuan Noah Arman.