BAB 1
SEBAIK sahaja susuk tubuh itu terlihat di mata, Mawar cepat-cepat bangun dari duduknya. Riak wajahnya sangat teruja dan sepasang matanya bercahaya dek rasa cinta yang menggebu di dalam hati.
“Hai, Kif!” tegurnya ceria sebaik sahaja si kekasih hati menghampirinya.
“Hai, Mawar.” Lelaki bernama Keifli itu membalas dengan nada suara yang mendatar. Berbeza dengan Mawar yang terlebih teruja.
Semakin lebar senyuman di bibir Mawar. Tiga kuntum bunga mawar yang dibelinya tadi diambil dari kerusi sebelahnya sebaik sahaja mereka duduk di meja di dalam restoran itu.
“Tiga kuntum untuk awak,” ujar Mawar.
“Satu… I…” Sekuntum bunga ros dihulurkan kepada Keifli.
Keifli tersenyum segaris namun tangan tetap mencapai huluran bunga dari Mawar.
“Dua… miss…” Mawar hulurkan pula kuntuman yang kedua. Manja sungguh gayanya.
Sekali lagi Keifli menyambut tetapi kali ini riak wajahnya menjadi kelat. Jatuh sedikit matanya, mengelak dari bertembung dengan mata-mata yang sedang memandang ke arahnya.
“Tiga… you!” Mawar semakin teruja. Kuntuman bunga yang terakhir dihulurkan dan berbunga sungguh hatinya melihat tiga kuntum bunga mawar yang dibelinya tadi kini digenggam erat oleh Keifli.
“I miss you, Kif!” Suara Mawar menjadi semakin manja. Kesemua jari-jemarinya digenggam dan diletakkan di tengah-tengah dada. Mata galak memandang Keifli dengan penuh rasa cinta. Menanti balasan kata rindu dari Keifli.
Keifli hanya diam. Bunga yang diberikan oleh Mawar diletakkan di sisi meja. Beberapa kali jarinya naik mengusap-usap bibir sendiri. Resah dan gelisah sahaja gayanya.
Melihatkan itu, keterujaan Mawar semerta hilang. Jatuh hujung keningnya memandang bunga yang diberikannya sepi di sisi Keifli. Dibiarkan tanpa perhatian di situ.
“Kif… awak tak suka ke bunga tu?” Suara Mawar menjadi sangat perlahan. Terasa sungguh hatinya. Sudahlah dua minggu mereka tidak bersua muka dek kerana Keifli yang sangat sibuk di dalam kem tenteranya.
Wajah Keifli menjadi tegang. Rengusan terbit dari bibir. Lantas, sepasang mata seriusnya dihalakan ke muka Mawar. “Mawar, saya ada benda nak cakap dengan awak.”
“Awak nak cakap apa? Oh!” Mawar membetulkan sedikit caranya duduk. Bibir kembali meloretkan senyuman bagi menutup rasa tidak sedap di hatinya. “Abang Khai kirim salam dekat awak. Dia tanya kenapa dah lama saya tak bawak awak pergi kedai bunga dia. Saya cakaplah awak sibuk dalam kem.”
“Mawar…”
“Kad ganjaran kedai bunga hampir nak penuh tau. Nanti boleh claim sekuntum bunga pilihan sendiri. Nanti saya claim bunga ros dan bagi awak, okey?”
YOU ARE READING
ATMA PEONY & MAWAR ( TERBIT )
RomanceATMA PEONY & MAWAR. Sandaran ternyaman Mr. Peony dan Cik Mawar. BLURB. MR. PEONY, gelaran tiba-tiba yang dia dapat dari si gadis dalam kedai bunga. Dia juga pelik, dalam banyak-banyak bunga kenapa peony? Peony putih pula tu? Sedangkan si kekasih hat...