BAB 6
SEDARI tadi Nazurah cuba memberi sepenuh tumpuan ke arah skrin komputer ribanya. Sekejap-sekejap dia menukar jenis font. Kemudian memilih saiz teks untuk kesesuaian poster iklan yang sedang disiapkan. Adakalanya dia menukar pilihan warna latar belakang. Namun mindanya seolah-olah terganggu.
Situasi itu menyebabkan dia jadi serba tidak kena apabila perhatiannya sering kali beralih ke satu sudut meja kerjanya.
Sambil memerhati payung lipat berwarna merah yang tersandar kemas di situ, Nazurah menongkat pipi kirinya dengan sebelah tangannya.
"Assalamualaikum. Hai! Ni Cik Nazurah, kan?"
Peristiwa tiga hari lalu di kafeteria kembali singgah di fikirannya. Teguran seorang gadis Melayu tika itu mencuri fokusnya."Ya, saya Nazurah? Kenapa ya?"
Nazurah masih ingat waktu itu dia sedang keresahan. Sesekali dia memerhati cermin di luar kafeteria yang masih disimbahi hujan. Sekejap-sekejap dia mengerling pula jam tangannya.
Beberapa minit lagi pertemuan dengan klien akan berlangsung di bilik mesyuarat bangunan pejabatnya. Namun, dia masih tersangkut di situ.
Sebentar tadi, Amsyar sudah beredar. Lelaki itu meninggalkan kafeteria setelah menerima satu panggilan telefon. Kedengaran seperti ada hal kecemasan yang berlaku menyebabkan Amsyar pergi tanpa sepatah kata.
Bagus juga, fikir Nazurah! Dia dan Amsyar baru sahaja berhadapan dengan keadaan yang teramat janggal bila masing-masing bertentang mata bagai tiada hari esok.
Gila! Kalau tidak kerana panggilan telefon yang diterima Amsyar tadi, tidak tahulah apa yang akan berlaku. Anak mata mereka saling berperang seakan-akan enggan mengalah.
"Saya Piya, staf kat sini. Saya nak bagi Cik Nazurah payung ni." Suara gadis muda itu menjengah saluran telinganya lagi.
Nazurah mengerutkan dahi.
"Nak bagi saya payung? Kenapa? Tu bukan payung saya," ujarnya sambil memandang payung berwarna merah di tangan Piya.
"Saya tahu. Tapi ada seseorang suruh saya pass payung ni pada Cik Nazurah. Dia kata, Cik Nazurah boleh guna payung ni untuk balik ke pejabat kalau hujan masih belum berhenti."
Seseorang? Perkataan itu terlintas di benak Nazurah dalam nada pelik.
"Lelaki tu duduk kat meja sebelah ni tadi. Pakai kemeja warna biru. Muka dia serius aje. Saya pun ada ternampak Cik Nazurah bercakap dengan dia," kata Piya lagi lalu meletakkan payung itu di atas meja.
Nazurah terus terbayangkan wajah Amsyar. Hanya Amsyar yang bercakap dengannya tadi. Pasti lelaki yang dimaksudkan oleh Piya adalah Amsyar!
Tapi, kenapa tiba-tiba Amsyar memberi payung itu kepadanya? Macam tak masuk akal! Bait-bait bisikan itu menerpa ke sudut fikiran Nazurah bersama perasaan keliru.
"Oh, ni ada note daripada lelaki tu untuk cik." Piya menghulurkan secebis nota kecil berupa resit yang telah dilipat dua.
Nazurah teragak-agak mahu menyambutnya.
"Saya ada nampak dia dan Cik Nazurah berbual-bual. Jadi saya fikir dia dan Cik Nazurah dah saling kenal. Sebab tu saya tolong dia untuk bagi payung ni kepada cik." Piya segera memberitahu.
YOU ARE READING
Terbaik Buatku
RomanceJUDUL : TERBAIK BUATKU ISBN : 978-967-19017-4-8 HALAMAN : 492 KELUARAN : 2022 SINOPSIS : SETIAP insan pasti mengimpikan perkahwinan yang bahagia. Begitu juga NUR FATIN NAZURAH. Namun dia tidak menyangka akan berhadapan tragedi kematian suaminya sej...