BAB 1 : MAJLIS PERSANDINGAN

316 18 8
                                    

BAB 1

SEKELILING rumah teres dua tingkat yang terletak di taman perumahan itu kedengaran riuh-rendah dengan suara orang berbual-bual. Kebanyakan tetamu yang hadir sedang rancak bersembang di dalam kelompok masing-masing.

Terserlah riak ceria di wajah mereka seakan-akan tumpang bahagia meraikan majlis persandingan pasangan raja sehari yang bakal berlangsung satu jam sahaja lagi.

Di dalam kamar pengantin yang dihiasi indah, Nur Fatin Nazurah sedang duduk di hadapan cermin. Dia menatap wajahnya yang telah disolek kemas oleh mak andam. Rautnya yang bujur sireh dan berkulit kuning langsat kelihatan berseri-seri apatah lagi bibir merekahnya asyik tersenyum.

"Pandai kau pilih warna tema, dik. Memang sesuai dengan tona kulit kau," puji Kak Lijah, selaku mak andam yang diupah untuk menaikkan seri wajahnya.

"Alhamdulillah, terima kasih Kak Lijah."

"Hisy, tak payahlah berterima kasih bagai! Memang aku cakap benda yang jujur."

Nazurah berasa malu. Dia sekadar tersenyum mendengar celoteh wanita yang mungkin sudah berusia pertengahan 30-an itu.

Kak Lijah membelek-belek wajahnya lagi. Sesekali wanita itu memberus mukanya ke kiri dan kanan. Mungkin mahu membetulkan olesan bedak agar sekata. Kemudian, tangan wanita itu lincah memperkemaskan hiasan sanggul di kepalanya agar nampak lebih rapi.

"Okey, dah siap!"

Nazurah menghela nafas lega. Walaupun di sudut hatinya sedang berbunga bahagia kerana majlis persandingannya bakal berlangsung, namun dia mengakui lenguh juga badannya kerana tidak dapat bergerak bebas sedari tadi.

Tak apalah, sekali seumur hidup! Bukannya setiap hari dia perlu melalui momen meletihkan sebegitu. Untuk hari ini sahaja, dia harus bersabar.

Ya, demi hari bahagianya yang telah lama dinanti- nantikan, dia perlu melakukan semuanya sehabis baik!

"Pengapit kau bila nak sampai ni? Kalau dah sampai, boleh akak touch up dia sekali biar warna mekap kau orang nampak serasi," tanya Kak Lijah.

Dia sudah mula menyusun kembali alat-alat solek yang digunakan tadi ke dalam bekas khas miliknya.

"Tadi dia kata lagi 10 minit nak sampai," jawab Nazurah. Kak Lijah mengangguk. Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan di muka pintu
berserta bunyi tombol yang dipulas.

"Assalamualaikum pengantin baru!" Ada suara serak-serak basah yang bergema.

Nazurah lantas tergelak sebelum berpaling. Tidak mungkin dia tak kenal suara sepupunya yang berkongsi usia dengannya itu!

Sedari kecil, dia dan Malika begitu akrab. Bila bertemu, pasti mereka akan menghabiskan masa bersama-sama umpama belangkas.
Cuma sekarang, mereka sudah jarang bersua muka gara-gara peluang kerjaya dan jarak tempat tinggal yang dipisahkan oleh Lautan Pasifik. Namun, mereka tidak pernah putus berhubung melalui telefon sama ada melalui panggilan mahupun WhatsApp.

"Zura! Ya ALLAH, cantiknya kau!" ucap Malika sebaik sahaja mata mereka bertentangan.

Malika tidak menunggu lama. Sepantas kilat dia memasuki kamar pengantin yang berbau harum itu. Dia menerpa ke arah Nazurah. Dalam sekejapan, dia memeluk tubuh itu erat-erat.

Nazurah mengambil kesempatan menepuk bahu sepupunya.

"Eleh, kau ni... betul-betul puji atau kau saja nak ambil hati aku? Manalah tahu... kau cakap macam tu sebab rasa bersalah datang lambat kat majlis aku ni!"

"Eh, mestilah aku cakap betul-betul!" nafi Malika. "Okey, kalau kau jujur... aku terima maaf kau."

"Hisy, mengada-ngadanya! Nak kena puji dulu baru kau sudi maafkan aku ya?"

Terbaik BuatkuWhere stories live. Discover now