BAB 2 : TAKDIR

270 18 12
                                    

BAB 2

MAJLIS persandingan yang sepatutnya meriah berlangsung, sekelip mata berubah menjadi majlis kenduri tahlil yang diselubungi suasana
suram dan pilu.

Setelah berita kemalangan pengantin lelaki yang turut meragut nyawanya sampai ke pengetahuan masing-masing, segenap pelosok rumah dipenuhi bunyi bacaan surah yasin serta alunan ayat suci al-Quran oleh tetamu yang hadir. Malah turut berselang-seli dengan bunyi tangisan.

Nazurah tidak tahu emosi yang bagaimana lagi mahu ditunjukkan. Sudah banyak air matanya tumpah. Hampir kering kolam tangisannya meratapi nasib dan takdir yang menimpa dirinya. Bengkak matanya tak usah dikata.

Duduk di mana pun sudut di dalam rumah, dia rasa serba tak kena. Apatah lagi banyak pasang mata yang memandangnya dengan riak simpati dan sayu.

Nazurah tahu, mereka tumpang bersedih dengan apa yang terjadi. Namun, dia sendiri masih mencari kekuatan untuk menenangkan rasa pilu yang tak tertanggung itu.

Akhirnya, dia membuat keputusan untuk berkurung di bilik sejurus jenazah suaminya, Fauzan selamat disemadikan sejam yang lalu.

Dia tidak mahu berjumpa sesiapa. Dia hanya mahu menyendiri daripada menjadi tumpuan dan bahan perbualan umum yang pasti akan membuatkan air matanya terus berjuraian.

Bunyi keriut pintu bilik tiba-tiba kedengaran. Nazurah yang sedang berbaring di atas katil, tiada kudrat untuk berpaling melihat siapa gerangan yang datang. Dia hanya terasa tubuhnya disentuh perlahan.

"Zura... jom turun makan." Suara Malika tiba-tiba menyapa gegendang telinga. Sepupunya itu setia berada di sisinya sedari tadi.

"Dari pagi kau tak isi perut. Makan sikit ya," pujuk Malika.

Nazurah menggeleng. "Aku tak lapar."

"Takkan nak tunggu lapar baru kau nak makan? Perut kau kosong tu. Jamahlah nasi sikit. Tak pun aku bawa nasi naik ke bilik ya?"

Nazurah tetap menggeleng sambil pandangannya yang kabur dibiarkan tertebar jauh entah ke mana.

"Zura..."

"Please Ika... jangan paksa aku. Macam mana aku nak makan sedangkan Fauzan dah tak ada kat dunia ni? Dia dah tinggalkan aku. Macam mana aku nak isi perut sambil hadapi kenyataan tu?" Terasa air matanya jatuh semula.

"Tapi, sampai bila kau nak biarkan perut kau kosong? Kalau kau sakit macam mana? Fauzan dah tak ada, kenyataan tu kau tetap kena terima. Kau kena teruskan hidup walau apa pun alasannya!"

"Aku tahu."

"Habis tu?"

Nazurah diam. Dia ketandusan alasan.

"Zura... kau tak boleh seksa diri kau macam ni hanya sebab Fauzan dah meninggal. Kau kena kuat. Aku tahu susah, tapi kau kena paksa diri kau."

Nazurah benar-benar tidak mampu menolak hakikat kebenaran di sebalik tutur kata yang Malika taburkan itu. Tanpa sedar, esakannya kembali kuat.

Melihat situasi itu, Malika turut dipalu rasa sayu. Dia diterjahi sebak. Akhirnya, dia menarik tubuh Nazurah supaya bangun dan duduk bertentangan dengannya. Dia dapat merasakan betapa lemah dan longlainya sekujur tubuh itu. Lantas, dia mendakap sepupunya dengan erat.

"Sabarlah, Zura. Insya-ALLAH, kau akan berjaya lalui semua ni. Sekarang, aku cuma nak kau turun... makan. Aku temankan kau, okey?" pujuknya lalu melepaskan pelukan.

"Tapi, aku tak ada selera. Aku rindukan dia," tangis Nazurah lagi.

Malika turut terasa air matanya melurut jatuh ke pipi. Dia lantas mengangguk tanda mengerti.

Tiba-tiba pintu bilik ditolak perlahan. Puan Zakiah muncul di situ sambil menatang dulang. Di atasnya terdapat pinggan yang berisi nasi dan sedikit lauk-pauk berserta segelas minuman.

"Zura, ni ibu dah bawakan nasi. Zura makan sikit ya?" Puan Zakiah membawa dulang itu menghampiri anaknya.

Malika segera mencapai dulang daripada tangan ibu saudaranya. Memberi ruang kepada wanita itu untuk duduk di birai katil.

Di muka pintu, Encik Hamidi, ayah Nazurah sedang berdiri dengan wajah yang muram. Malika tahu pak cik saudaranya yang digelar pak ngah itu turut risaukan keadaan Nazurah, anak tunggal di dalam keluarga itu.

"Bangunlah. Kalau tak larat, ibu suapkan Zura makan. Isi perut tu. Sikit pun tak apa. Jangan sampai masuk angin."

Nazurah segera mengesat air mata yang tak henti-henti membanjiri pipinya.

"Ibu... kenapa ALLAH uji Zura sampai macam ni
sekali? Zura tak kuat nak hadapi semua ni, ibu," rintihnya tertahan-tahan. Wajah Puan Zakiah yang turut kelihatan sugul itu ditatap dengan pandangan yang berkaca-kaca.

"Zura..." tegur Malika.

Nazurah memejam kelopak matanya rapat sebelum dia tertunduk menahan syahdu yang melirihkan hati wanitanya.

"ALLAH tak sayang Zura ke?" Dia merintih lagi.

"Zura cakap apa ni? Tak baik bersangka buruk pada ALLAH. DIA uji Zura sebab DIA sayangkan Zura."

"Tapi Zura betul-betul tak mampu hadapi kenyataan ni, ibu. Zura rasa dada ni macam nak pecah."

Sungguh! Nazurah rasa tak berdaya lalu dia menangis dan terus menangis. Apatah lagi bila dia melihat jari- jemarinya yang merah berinai ditambah pula cincin pernikahan yang disarungkan Fauzan pada jari manisnya. Jiwanya semakin terhiris pedih.

Tak sanggup rasanya dia menghadapi kenyataan bahawa perkahwinannya kini hanya tinggal kenangan. Gelaran isteri yang dipegangnya cuma seketika.

Fauzan, lelaki yang disayanginya sejak tiga tahun lalu telah tiada. Suami yang menikahinya pagi tadi telah pergi buat selama-lamanya. Pergi takkan kembali pada hari persandingan mereka yang sepatutnya diisi dengan gelak ketawa dan senyum bahagia.

Nazurah tersedar apabila terasa tubuhnya ditarik. Puan Zakiah merangkulnya begitu kejap. Kepalanya dibelai sepenuh kasih seorang ibu.

"Zura kena cuba. Ibu tahu Zura seorang yang tabah. ALLAH takkan uji Zura kalau DIA tahu Zura tak mampu hadapi dugaan ni." Bisikan itu kedengaran bersama suara yang tersekat-sekat.

Hati Nazurah bertambah sayu. Tanpa menunggu lama, dia membalas pelukan Puan Zakiah. Kepalanya disembamkan ke bahu wanita itu.

"Hari ni, Zura nangislah puas-puas. Tapi, janji dengan ibu... mulai esok, Zura kena simpan semua kenangan Zura dengan Fauzan. Zura tak boleh terus macam ni. Zura kena berdepan dengan kenyataan yang Fauzan dah tak ada kat dunia ni lagi."

Selepas kata-kata itu menyusup ke lubang telinga, Nazurah menangis semahu-mahunya sambil diiringi hujan lebat dan kilat sabung-menyabung di luar rumah.

Malam itu, suasana yang menyelimuti alam begitu sugul dan sayu. Titisan hujan menyembah bumi sehingga ke pagi seolah-olah turut menangisi nasib yang menimpa takdir hidup Nazurah.

[Bersambung...]

......** Kak Damya Notes **......

* Hai, novel Terbaik Buatku dah siap dicetak dan diterbitkan. Kalau berminat nak dapatkan boleh DM Kak Damya di media sosial Damya Hanna ya.

** Sudi-sudilah juga ringankan tangan uols bagi feedback tentang manuskrip kali ni. Kalau best dan puas hati, tekanlah star untuk vote bab ni. Share dengan kawan-kawan untuk join baca pun sangat digalakkan. Hihi. If kurang berpuas hati, bolehlah tulis komen supaya Kak Damya dapat perbaiki kekurangan untuk karya akan datang, okey?

*** Semoga uols diberi kesihatan, masa dan ruang untuk terus menanti karya Kak Damya yang seterusnya. Luv u all. ;)

Terbaik BuatkuWhere stories live. Discover now