"Aku terima nikah Hana Sofea binti Kamarudin dengan mas kahwinnya lapas belas ribu lapan ratus lapan puluh lapan ringgit tunai."
Satu lafaz akad yang diungkapkan dengan penuh yakin dan jelas oleh Izzul bergema di segenap penjuru masjid menjadikan Sofea isterinya yang sah. Qaseh memeluk Datin Maya kerana terharu akhirnya Sofea telah pun selamat menjadi isteri kepada Izzul.
"Alhamdulillah...", ramai ahli keluarga dan sahabat handai mengucap rasa syukur bila Izzul menyarungkan sebentuk cincin berlian di jari manis Sofea. Kemudian, Sofea pula menyarungkan cincin di jari manis Izzul. Sama cantik, sama padan berpakaian serba serbi berwarna putih.
Qaseh senyum melihat kawannya tersenyum indah di sebelah Izzul. Jelas mata Sofea sarat dengan rasa cinta buat lelaki itu. Cinta pertama dan terakhir Sofea.
Majlis pernikahan hanya dibuat secara kecil-kecilan. Hanya keluarga terdekat sahaja dijemput untuk meraikan kedua-dua mempelai. Majlis resepsi pula akan diadakan pada malam ini di Hotel JW Marriott.
"Tahniah, Sofea dan Izzul. Semoga perkahwinan korang berdua sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan diberkati", ucap Qaseh sewaktu pasangan pengantin baru itu menghampirinya.
Izzul dan Sofea sama-sama tersenyum. "Thanks, Qaseh. For everything."
Qaseh hanya membalas dengan senyuman. Apa saja dia akan lakukan untuk Sofea. Sahabat jatuh bangunnya.
Majlis pernikahan yang sangat simple amat menenangkan ini adalah kegemaran untuk Qaseh. Dia rasakan majlis pernikahan tidak perlu terlalu gah dan mewah kerana majlis amat bermakna ini harus diraikan bersama keluarga terdekat. Biar setiap orang boleh menikmati detik bahagia pasangan pengantin. Tiada gangguan lain, hanya ingin melihat pengantin melafazkan akad dan sesi batal air sembahyang.
Rata-rata tetamu yang hadir pun adalah keluarga Sofea dan keluarga Izzul. Semua mengenakan baju serba putih termasuklah dirinya sebagai tema pada pagi ini. Bak kata Sofea, pernikahan itu adalah ikatan suci jadi semua orang kena pakai serba putih. Ada-ada jela Sofea ni.
***
Di bawah cahaya lampu penuh gah terlihatlah sepasang pengantin baru mula berjalan di atas karpet merah menuju ke pelamin serba mewah. Lebar senyuman Izzul dan Sofea mempamerkan wajah bahagia mereka. Pakaian songket berwarna ungu menjadi pilihan mereka malam ini. Diiringi lagu Anuar Zain, mereka akhirnya cantik duduk bersama di atas pelamin.
Pada malam ini, ramai tetamu yang hadir untuk meraikan Sofea dan Izzul. Dewan itu penuh dengan saudara mara dan sahabat handai kedua-dua belah pengantin. Ramai tetamu yang hadir mengambil gambar Sofea dan Izzul sementara Qaseh hanya duduk berseorangan di sebuah meja di hujung dewan. Orang terlalu ramai membuatkan dia tidak selesa. Sudahlah dia tidak kenal tambah pula dia bersendirian, lebih baik dia bawa diri.
Qaseh menyuap kek ke dalam mulut sambil dia melihat suasana majlis persandingan penuh mewah. Kebanyakkan tetamu yang hadir bukan calang-calang orang. Rata-rata memang orang berpangkat dan bekerjaya. Agaknya begini majlis perkahwinan orang kaya.
Qaseh tenang bersendirian sehinggalah mejanya didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki di sebelahnya mendapatkan tempat sambil menghadiahkan satu senyuman kecil untuknya. Suapan Qaseh terhenti.
"Awak kawan Sofea kan?"
Qaseh angguk. Sudu sudah diletakkan di dalam piring. Duduknya juga dibetulkan di atas kerusi.
"Saya, Damian. Sepupu Sofea."
Lelaki di sebelahnya perkenalkan diri. Qaseh lihat wajah Damian mempamerkan senyuman manis. Lelaki berkaca mata itu nampak segak dengan sut berwarna hitam.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Cinta
Romantizm"Nak puaskan hati semua orang, saya akan nikah dengan Qaseh malam ni jugak!", Seth Xavier. Qaseh terpana. Sudahlah neneknya baru sahaja pergi. Kini dia pula harus bernikah dengan lelaki asing. Demi maruah, mereka terpaksa disatukan. Perginya Seth X...