Pandangan anak mata itu terpanah tepat ke wajahnya. Tajam dan dingin. Selayaknya pelepasan ini adalah sebuah kebebasan namun mengapa dia tidak merasakan hal itu?
"Pergi, Estella!"
Estella menggeleng. Dia lalu menghabiskan jarak mereka. Dakapan erat melingkari tubuh tegap Seuer. Dia mendongak, melihat semula wajah itu bila dakapannya berbalas.
Mereka saling merenung sebelum bibir mengunci segala bicara.
"Pergi..." Bila tautan terlepas, Seuer masih membisikkan perkataan yang sama.
Estella teragak-agak untuk berganjak. Melepaskan rangkulan di pinggang Seuer seolah-olah melepaskan seluruh hidupnya. Dia lebih rela kehilangan nyawa berbanding kehilangan lelaki yang dicintainya itu.
"Aku akan kembali, Yreiuse." Seuer berbisik serentak meleraikan pelukan. Tanpa mempedulikan lagi Estella, dia melompat naik ke Dcrev. Kuda itu perlu dipacu laju merentas Hutan Lembah Hitam. Dia sedar, masanya tidak panjang. Matahari bakal menghilang diganti bulan. Dia perlu sampai ke Istana Ratu Agnith di Kota Atheam sebelum munculnya bulan.
Dan... dia juga sedar, di belakangnya ada berpuluh ribu tentera musuh sedang memburunya.