Desa Serczher: ii
"MAAF, setakat ini saja aku boleh mengiringimu." Heksal berbisik sendiri. Tangan naik meraup wajah untuk mengusir kesal yang memenuhi segenap atma jiwa. Berat hatinya untuk melaksanakan rancangan ini namun keputusan itu perlu diambilnya setelah dia mengetahui siapa sebenarnya gadis cantik ini. Ketika dia melihat Estella melepaskan pakaiannya, tatu pada pinggul si gadis menyingkap siapa sebenarnya si gadis. Dari tatu rama-rama dengan huruf 'D' itu, sedarlah yang dia tidak boleh terus membiarkan rasanya bertaut kerana kelak, pengakhirannya tidak mungkin indah. Itu takdir yang sudah tercatat dalam . Dia wajib mempercayainya.
Kerana itu dia merancang apa yang dilakukannya kini. Dia mengajak Estella merentas Hutan Lembah Hitam, kononnya sekadar mahu meninjau dunia luar namun rancangan sebenarnya, dia mahu menghantar gadis itu ke sempadan negara asalnya.
Setelah merentas Hutan Lembah Hitam hampir tiga hari lamanya, akhirnya pagi ini mereka tiba di padang luas di Wilayah Ersk. Wilayah Ersk merupakan wilayah di sempadan Hutan Lembah Hitam. Ia termasuk dalam jajahan Empayar Duergeon. Di sini, ada tentera Duergeon yang menjaga sempadan dan Heksal berharap mereka akan memberi bantuan kepada Estella bila bertemu dengan gadis itu kelak.
"Kita berhenti sebentar di sini untuk berehat." Tiba di kawasan tebing sungai, Heksal memperlahankan pacuan kudanya sebelum benar-benar berhenti di bawah sebatang pokok berhampiran. Padang itu tandus, mujur saja ada sungai yang mampu menghilangkan haus mereka.
Heksal turun dari kudanya, berjalan ke sungai. Botol bekalan air yang kosong diisi kembali. Sepantas kilat juga dia memasukkan ramuan ubat tidur ke dalam salah satu botol itu lalu diserahkan kepada Estella. Iris hazelnya perlahan-lahan bertukar menjadi warna pirus, namun hanya sedetik sehingga Estella itu tidak mungkin menyedarinya.
"Kita di mana?" Estella menyoal. Dia menghampiri Heksal yang sedang berdiri. Tubuh itu lalu didakap erat dari arah belakang. Heksal memusingkan tubuh agar setentang dengan Estella. Dia ingin berbalas namun akalnya keras melarang. Ciuman Estella juga dibiar tidak bersambut.
"Kenapa kau nampak sedih, Heksal?" Estella menduga. Dalam fikirannya berlegar pelbagai andaian. Adakah Heksal memikirkan D'loise? D'loise sering menggoda Heksal. Perempuan itu menjadi saingannya dalam merebut cinta Heksal. Mujur, lelaki itu tidak berbalas sebaliknya memilih dirinya.
"Tak ada apa-apa." Heksal menggeleng. Rangkulan Estella dileraikan. Dia tahu jika dia membiarkan kemesraan ini, pasti berat untuknya melepaskan gadis ini sebentar lagi.
"Kita di Ersk. Wilayah Duergeon. Kita tak boleh berlama di sini kerana tentu ada tentera kerajaan berkawal di sempadan."
Estella mengangguk faham.
"Nanti kita akan berpatah balik ke Desa melalui jalan tanpa pergunungan ya?" Estella menyoal. Setelah hampir berbulan-bulan dia mendiami Desa Serczher, ini kali pertama dia keluar dari perkampungan itu dan merentasi Hutan Lembah Hitam. Sengaja Heksal membawanya untuk bersiar-siar dan berburu. Selama tiga hari ini, benar-benar dia hidup seperti pemburu. Kisah menakutkan Hutan Lembah Hitam yang sebelum ini didengari ternyata hanya momokan orang kampung. Tiada apa yang bahaya di hutan itu, hanya aura kegelapannya saja yang membuatkan hutan itu seperti menakutkan.
"Ya. Perjalanan mungkin tidak begitu mencabar seperti perjalanan kita di Hutan Lembah Hitam. Lebih santai." Heksal membuka lembar peta di tangan, mengunjukkannya kepada Estella.
"Kalau ke barat ini, bermakna kita akan menuju ke Kota Istana Duergeon?"
"Kau berminat mahu ke sana?" Heksal meningkah.
Estella tidak segera menjawab. Dia terdiam lama sambil melepaskan pandangan pada padang yang luas itu. Padang itu adalah padang yang tandus. Rumput dan daun pokok keperangan sepanjang tahun dan seperti yang dimaklumkan Heksal, wilayah Ersk adalah wilayah yang panas. Ia bersambung dengan kawasan gurun di utara.
"Kau ingin ke sana?" Heksal mengulangi soalan. Sebenarnya itu bukan kali pertama dia mendengar Estella bertanya tentang Duergeon.
"Entahlah." Estella menjawab ringkas. Dia belum berniat mahu pulang ke sana kerana dia semakin selesa berada di Desa Serczher.
"Minumlah dulu. Lepas minum, kita akan bergerak ke arah selatan untuk mendapatkan jalan pulang ke Desa Serczher." Heksal bersuara. Air dengan ramuan khas itu bukan saja mampu menidurkan atau memengsankan orang tetapi dia juga menambah beberapa untuk tujuan menghilangkan ingatan si gadis terhadapnya.
Estella menurut. Dia meneguk air dari botol di tangannya. Hanya beberapa ketika, kepalanya tiba-tiba saja terasa berat. Pandangannya mula berpinar-pinar sebelum semuanya menjadi kelam.
Ketika dia terjaga, hari mulai gelap. Dia memandang sekeliling dan mula memanggil Heksal namun tiada jawapan.
Bingkas Estella kembali ke kudanya. Dia naik dan memacu kudanya ke sungai berhampiran. Pandangan masih menjelajah ke seluruh pelosok, mencari kelibat Heksal. Bila dia menyeru beberapa kali dan lelaki itu masih tidak muncul, ketakutan mula mencengkam di jiwa. Apakah mungkin lelaki itu ditangkap tentera Duergeon tapi jika ya, mengapa dia tidak ditangkap bersama?
Estella mengeluh namun bila ada sinar keemasan dari beg yang disandangnya, pantas beg itu dibuka. Ternyata cahaya itu terbit dari Scarlet Rose. Bunga aneh pemberian Heksal itu diteliti. Menggigil tangannya menyentuh batang Scarlet Rose itu tapi demi sentuhannya, cahaya keemasan itu sirna. Ia bertukar warna dari merah 'scarlet' kepada hitam.
Estella tidak mampu menafsirkan apa sebenarnya yang terjadi. Kepalanya kembali terasa sakit dan pandangannya menjadi kelam.
Sedang dia melawan kesakitan yang menyergap ke tubuh, bunyi derap tapak kaki sekumpulan kuda itu menyentaknya.
"Yang Mulia!"