04: DEVYNITTE & LEORNADE

14 1 0
                                    

 "SIALAN!" Dia memaki. Sehingga menjelang senja dia belum memperolehi sebarang makanan dan jika dikira, hampir tiga hari dia tidak makan! Dia bagai orang tanpa arah, merayau ke pelosok bandar ini tanpa tujuan.

Setelah lama merayau, dia duduk di kaki lima bangunan lalu bersandar di bollard untuk menghilangkan lelah. Matanya mengitari sekeliling. Pandangannya mati pada sekumpulan Burung Serkit yang mematuk roti. Perempuan gemuk dari jendela di tingkat satu bangunan itu pula tidak henti-henti melemparkan racikan roti.

Sialan! Burung juga memperolehi makanan sedangkan dia seorang manusia harus berlapar!

Hatinya menyeranah dengan pandangan masih tidak lepas memerhatikan Serkit. Burung berwarna putih itu seolah-olah merpati tapi bersaiz kecil. Hanya kelebihannya, ia mempunyai dua sayap berlapis dan berekor panjang. Pada ekornya akan ada beberapa warna pelangi. Burung ini tinggal di lembah yang lebih dingin udaranya namun ada juga yang sudah senang berterbangan mencari makan di kota. Populasi Serkit berubah sesuai masa, bila pohon yang menghasilkan buah di kebanyakan lembah sudah diracun pemerintah.

Serkit adalah burung penyihir. Disebut Magisial Serkit dalam Kitab Kuno Sihir kerana dia menjadi perantara. Ia boleh bertutur ringkas, menggunakan bahasa dan simbol mantera. Serkit yang mampu membawa utusan magis biasanya mempunyai jalur tambahan berwarna hitam di belakang.

Devynitte pantas bangun dari duduknya. Kehadirannya membuatkan kumpulan Burung Serkit itu berterbangan. Mendongak ke atas, perempuan gemuk itu juga sedang memandangnya dengan riak marah.

"Kau mengganggu burung-burung makan!"

"Lebih baik berikan roti itu kepada aku!"

Perempuan itu mengherotkan bibir. "Pengemis! Kalau penguasa kota tahu kau mengemis makanan, pasti kau akan ditangkap dan dihantar menjadi hamba istana!"

Devynitte tidak menjawab. Tangannya masih terawang, meminta baki roti yang ada kepada perempuan itu. Perempuan itu tidak melemparkan roti sebaliknya terus masuk ke rumah. Sebentar kemudian, sepasukan tentera berkuda yang mengawal bandar datang dari lorong utama menuju ke arah Devynitte. Devynitte melempar pandangan kepada perempuan yang berdiri di balkoni rumahnya itu. Perempuan itu hanya tersenyum menang. Dengusannya seiring kata. "Dasar orang lembah! Kaki kau kotor untuk menapak di sekitar kota ini!"

Sial lagi!

Dia mula berlari, menyelinap ke lorong kecil di antara bangunan. Lariannya laju, bimbang ditangkap tentera pengawal bandar. Sedang dia benar-benar mahu meloloskan diri, tubuhnya merempuh keras tubuh seseorang. Rempuhan itu membuatkan kedua mereka jatuh ke pedestrian.

"Sini!" Bangun saja terus bahunya ditepuk lelaki kurus itu. Bila dia tidak segera bangun lelaki itu menghulurkan tangan.

"Cepat si dungu! Kau mahu ditangkap atau mahu selamatkan diri? Sini!" Lelaki itu berlari dan terus menyelusup di lorong pasar yang sibuk. Devynitte mengekori walaupun dia tidak tahu kenapa dia diajak melarikan diri bersama. Larian lelaki kurus itu agak pantas, dan melewati lorong kecil, mereka akhirnya meninggalkan pasar di tengah kota itu.

Lelaki kurus itu hanya berhenti bila dia benar-benar pasti mereka tidak lagi dikejar. Mereka kini berada di mini amphitheatre. Jika dilihat persekitaran, boleh diagak tempat ini adalah communal space bagi penduduk kota. Ia membentuk taman kota yang mempunyai landskap yang terancang reka bentuknya.

"Kau lari dari askar pengawal kota?" Hilang mengahnya, lelaki itu melempar beg sandangnya ke permukaan batu granit. Tidak hanya duduk, dia lalu berbaring dengan menggunakan kedua belah telapak tangan sebagai alas di kepala. Dia memandang langit dan bila soalannya tidak dijawab Devynitte, dia memandang lelaki itu sekilas.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 06 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

THE DARK BLOOD PRINCEWhere stories live. Discover now