03. SEKUNTUM MAWAR YANG ANEH

22 4 0
                                    


 "YANG Mulia pengsan!"

Dia mendengar suara kekecohan mula bertingkah namun dia tidak berdaya. Kepala terasa berat dengan matanya berpinar-pinar. Dia rebah di atas kudanya.

Ketika dia terjaga, Raja Josef ada di sisinya.

"Heksal..." Dia menyebut nama itu namun pantas Raja Josef mengambil air yang ditatang . Disua ke mulut Estella yang sudah dibantu untuk bersandar di kepala katil. Estella meneguknya sedikit sebelum menolak cawan itu. Pandangannya lurus ke hadapan.

"Siapa Heksal?" Bila Estella nampak tenang, Raja Josef menyoal. Penuh berhati-hati kerana dia tidak mahu Estella terganggu emosi. Sejak ditemui di padang tandus Ersk, sebuah wilayah terpencil Duergeon, puterinya itu tidak stabil kesihatan. Kebanyakan masanya dia tidur dan bila bangun dia akan meracau, menyebut perkara-perkara pelik.

"Ketika Yang Mulia Puteri ditemui, ada kesan racun di dalam botol air yang ada bersama Yang Mulia. Racun itu adalah titisan minyak dari pohon Kasmari. Ia tidaklah memudaratkan, hanya digunakan untuk membuatkan mangsa tertidur atau pengsan seketika."

Estella terdiam. Otaknya ligat memikir. Jika air minumannya beracun, bermakna memang Heksal berniat mahu meninggalkannya di padang tandus itu!

"Adakah Yang Mulia Puteri bersama seseorang sebelum itu?" Gweldonne menyoal.

Estella menggeleng. Dia tidak berhasrat mahu menceritakan apa yang terjadi sepanjang dia menghilang. Hatinya tiba-tiba merasa sakit. Sedarlah dia disingkirkan lelaki itu demi memilih D'loise! Mungkin selama ini dia menganggap Heksal menolak cinta D'loise tapi hakikatnya mereka sedang menjalinkan hubungan.

"Kalau perlu apa-apa, panggil saja pembantu." Raja Josef tidak lagi melanjutkan soalan. Dia bangun, meninggalkan Estella untuk rehat bersendirian. Jauh di sudut hatinya, dia amat kesal kerana menitahkan puterinya itu agar meninggalkan istana beberapa bulan lalu. Tujuannya hanya mahu mengajar Estella yang bersikap angkuh kepada orang lain. Tanpa disangka, Estella hilang ketika berada dalam hukumannya.

Keluar beriringan dengan Gweldonne, dia berhenti seketika di koridor istana kediaman puteri itu.

"Apa yang terjadi padanya, Gweldonne?"

Lelaki tua yang menjadi perawat diraja itu tidak segera menjawab. Berkali-kali dia mengusap batu Ameth pada loket yang tergantung di lehernya namun tiada sebarang tanda diperolehi dari batu magisnya itu untuk menafsir.

"Ersk begitu jauh dan terpencil. Tidak didiami orang. Bagaimana Estella boleh bertahan begitu lama dan pulang dalam keadaan sihat tubuh badan?"

"Aku pun tidak beroleh jawapan untuk pertanyaan Yang Mulia Tuanku tapi aku akan terus berusaha untuk menyelidikinya."

"Ada apa bersamanya ketika dia ditemui?"

Gweldonne terdiam seketika. Cuba mengingati bagaimana Estella ditemukan. Puteri itu pengsan di atas kudanya. Bersamanya ada...

"Sekuntum mawar yang aneh!" 



Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
THE DARK BLOOD PRINCEWhere stories live. Discover now