Bab 1 : Permulaan Sengketa Ammar

70 5 0
                                    

Ammar menjejakkan kakinya ke dalam bilik yang tertera nombor A20 itu bersama dengan ahli keluarganya yang lain. Dia agak gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya tinggal jauh daripada keluarganya. Perasaannya bercampur baur dengan kegembiraan dan kesedihan. Riak di wajah kedua ibu bapanya yang gembira melihat anak lelaki sulungnya ini melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh tidak dapat disorokkan. Ammar duduk di katil bersebelahan pintu dorm tersebut. Sebetulnya, dia tidak suka duduk berhampiran pintu kerana tempat tersebut merupakan kawasan lalu lalang pelajar di dalam dorm tersebut. Tapi apakan daya, dia tidak mahu duduk di katil tingkat atas kerana takut terjatuh sewaktu tidur.

Setelah selesai meletakkan barangnya di hadapan locker, Ammar turun semula ke kawasan hadapan asrama untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarganya. Sepanjang sesi itu berlaku, Ammar sedaya upaya untuk menahan tangisan dek kerana rindu yang akan datang menyapa dirinya sebentar lagi. Tidak dapat ditahan, selesai saja bersalaman dengan ibunya, Ammar terus menangis teresak-esak. Begitu juga ibunya yang menangis dalam senyuman kerana tidak mahu anak lelakinya itu menangis dengan lebih teruk lagi. Makin lama, kereta milik bapa Ammar tidak lagi kelihatan di matanya. Dia terus balik ke biliknya seusai menenangkan diri.

Setiba di hadapan bilik A20, Ammar melihat kawasan sekeliling. Terdapat beberapa keluarga yang masih berada di dalam bilik tersebut untuk membantu anak mereka mengemaskan barang-barang yang ada. Lain pula untuk Ammar, ibu bapanya terpaksa pulang dengan segera kerana jarak rumahnya dan sekolah tersebut agak jauh. Semakin lama mereka tunggu, semakin lewat mereka tiba di rumah. Namun Ammar faham akan situasi keluarganya itu. Dia redha mengemas segala barangnya dengan sendiri tanpa ada bantuan orang lain. Setelah Ammar selesai memasang cadar dan sarung bantal, dia terus sahaja duduk di atas katil sambil melihat telatah manusia-manusia yang ada di dalam bilik tersebut. Ada yang sedang mengemas dengan tenang, ada juga yang sedang menasihati anak masing-masing supaya bersikap baik sepanjang berada di asrama tersebut. Ada juga yang duduk bersandar di kaki katil Ammar, mungkin bapa salah seorang budak di dalam bilik tersebut. Ammar hanya membiarkannya tapi lelaki tersebut yang menegurnya terlebih dahulu.

"Assalamualaikum dik. Sorang je ke ? Ibu ayah dah balik ye ?" tanya lelaki tersebut. Ammar hanya tersenyum dan mengangguk mengiyakan pertanyaan lelaki tersebut. "Adik asal mana ?" tanya lelaki tersebut. "Saya asal Johor cik" jawab Ammar dan tersenyum ke arah lelaki tersebut. "Oh, pakcik orang Selangor je. Tu anak pakcik. Airiel namanya. Nanti kamu berkenalan lah dengan dia. Dia memang manja sikit, anak bongsu lah katakan. Nama adik siapa ?" panjang lelaki tersebut bercerita tentang anaknya, Ammar hanya angguk tanda faham lalu memberitahu namanya kepada lelaki tersebut. "Nama saya Ammar cik" kata Ammar sambil tersenyum kepada lelaki tersebut. "Nanti kalau Ammar nak mintak tolong ape-ape ke, cakap je dengan Airiel, pakcik boleh tolong nak belikan barang ke apa ke kan. Mak bapak Ammar jauh kan. Pakcik faham" kata lelaki itu menawarkan khidmat bantuan kepada Ammar. Ammar hanya tersenyum dan mengangguk dengan pernyataan lelaki tersebut atau lebih mesra di panggil cik Amiruddin.

Ammar tidak mahu menunggu lama, dia terus saja melelapkan mata sementara menunggu semua orang di dalam bilik tersebut selesai mengemaskan barang. Badannya yang penat dek kerana perjalanan yang jauh dari Johor ke Selangor membuatkan dia rasa mengantuk yang amat sangat. Memandangkan harini merupakan hari pendaftaran, tak akan ada sebarang aktiviti yang akan dilakukan pada waktu petang. Jadi boleh lah Ammar merehatkan dirinya di dalam bilik. Ada sesetengah pelajar yang masih tidak mahu melepaskan keluarga mereka pergi. Ada yang ikut keluar sebelum waktu akhir masuk ke dalam asrama pada pukul 6.30 petang nanti tiba. Ammar pula, hanya berbaring di atas katil bertemankan beberapa orang senior yang ada di bilik tersebut. Ammar seorang yang introvert pada awalnya, tapi kalau sudah mengenali dirinya, dia lah orang paling bising.

Lama Ammar melelapkan matanya, dia terjaga kerana terdengar bualan orang di dalam biliknya itu. Oh, seorang senior yang baru tiba. Dia duduk di katil hujung bahagian bawah. Baru Ammar sedar yang ketiga-tiga katil di bahagian tingkap hadapan merupakan katil senior-seniornya. Dua orang senior tingkatan 5 dan seorang senior tingkatan 4. Tanpa menghiraukan mereka, Ammar terus keluar dari bilik dan menuju ke tandas untuk menyegarkan dirinya kembali. Kembali Ammar di dalam biliknya, ketiga-ketiga senior tadi sedang berborak sakan dengan salah seorang budak yang juga merupakan pelajar tingkatan 1, sebaya Ammar. Apa yang Ammar dengar daripada perbualan mereka adalah soalan-soalan yang di tujukan kepada tingkatan 1 itu. Sepanjang perbualan itu berlangsung, semua nya bertanya kan tentang kakak pelajar tingkatan 1 itu. Mungkin kakaknya juga berada di sekolah yang sama. Tak lama selepas itu, Ammar pun di ajak untuk mengikuti perbualan tersebut.

"Yang kat katil tu nama siapa ?" tanya salah seorang senior di situ. "Nama saya Ammar" jawab Ammar, ringkas. "Kau asal mana ?" tanya lagi salah seorang senior di situ. "Saya asal Johor" sekali lagi Ammar menjawabnya ringkas. Mereka mengangguk sekali lagi. Setelah selesai pengenalan ringkas, salah seorang senior tadi memperkenalkan diri mereka masing-masing. Senior tingkatan 5 yang ada di dalam bilik tersebul diberi nama Amin dan juga Bagong manakala senior tingkatan 4 pulak di suruh panggil Afiq. Aku hanya mengangguk tanda faham.

Tak lama selepas perbualan pendek mereka, semua pun bersurai kerana waktu azan asar telah masuk. Ammar pun turut bersiap untuk turun ke surau menunaikan solat asar secara berjemaah. Walaupun ini baru hari pertama, tapi Ammar sudah cuba untuk membiasakan diri dengan peraturan asrama tersebut. Walaupun senior di biliknya ada yang ingin menunaikan solat asar di dalam dorm atau pun istilah  yang digunakan oleh pelajar asrama ialah 'sodorm'. Biarlah, urusan mereka, bisik Ammar di dalam hati.

Hari pertama berjalan seperti biasa, tidak banyak perkara yang berlaku selain perkenalan antara Ammar dan beberapa pelajar lain di dalam biliknya. Ammar juga berjumpa dengan salah seorang pelajar yang juga berasal dari Johor negeri kelahirannya itu. Lebih selesa di panggil Ijan, pelajar yang bernama Izhan memberitahu nama manjanya kepada Ammar. Buat masa sekarang, memang masih belum ramai pelajar yang berasal dari Johor melainkan Ammar dan juga Ijan. Mereka berdua sahaja yang merupakan pelajar yang berasal dari Johor.

Hari semakin lewat, semua pelajar yang tadinya keluar bersama keluarga mereka pun sudah pulang ke asrama. Airiel juga sudah tiba di asrama. Ammar perasan yang muka Airiel sedikit sembap mungkin baru habis menangisi kepulangan ibu bapanya. Ammar cuba menghampiri Airiel. Mereka bersalaman dan memperkenalkan diri masing-masing.

"Airiel kan ? Aku Ammar" kata Ammar kepada Airiel membuatkan dia sedikit terkejut. Airiel belum pun lagi memberitahu namanya kepada sesiapa, tetapi Ammar sudah mengetahuinya terlebih dahulu. "Oh, tadi aku borak dengan ayah kau. Tu yang aku tau nama kau ape hehe" jelas Ammar kepada Airiel. Baru lah Airiel senyum dan mengangguk tanda faham. Singkat perkenalan mereka. Ammar pun ingin bergegas ke tandas untuk mandi sebelum pergi ke dewan makan untuk makan malam. Program orientasi akan bermula lepas waktu maghrib. Jadi mereka semua harus berkumpul di surau untuk menunaikan solat maghrib berjemaah dan melakukan sedikit taaruf di surau. Jangan salah faham, bukan semua pelajar tingkatan 1 akan diperkenalkan di surau nanti, hanya yang terpilih sahaja akan di panggil dan di suruh memperkenalkan diri.

Setelah selesai mandi, Ammar terus mengenakan baju melayu dan seluar slack untuk turun ke dewan makan. Selepas makan, Ammar terus menuju ke surau tanpa melengahkan masa. Dia duduk di penjuru surau, di bawah kipas. Kelihatan beberapa pelajar lain sedang bersiap untuk ke dataran asrama. Katanya, akan ada rollcall setiap kali sebelum maghrib. Rollcall di mana semua pelajar asrama akan di kumpulkan dan exco asrama akan memberi arahan serba sedikit dan juga melakukan spotcheck kebersihan bilik. Antara muka-muka yang berdiri di hadapan ketika pelajar asrama berkumpul adalah abang Amin, senior bilik Ammar. Nampaknya, di bilik Ammar terdapat seorang exco asrama ataupun Majlis Perwakilan Pelajar Asrama (MPPA).

Mereka semua di arahkan untuk membaca doa rabithah beramai-ramai. Untuk pelajar tingkatan 1 pula, ada yang mengetahui doa tersebut dan ada yang tidak tahu langsung tentang kewujudan doa tersebut. Termasuklah Ammar. Dia hanya diam sambil menadah tangan mendengar doa tersebut di laungkan. Setelah selesai segala celoteh di dataran asrama tersebut, semua pelajar di arahkan ke surau untuk solat maghrib secara berjemaah.

Ammar's JourneyWhere stories live. Discover now