Bab 31

51 3 7
                                    

BAB 31

AKU, Aidan, dan ahli keluargaku mengambil tempat di meja makan. Awal tadi, ketika aku mengajak abah dan Aidan untuk bersarapan di dapur, suara Abang Eilman memberi salam kedengaran dari luar pintu rumah. Cuak betul aku pada waktu itu. Mulalah jadi tak tahu nak buat apa.

Kemunculan abang sulungku menjadikan semua ahli keluargaku telah menemui Aidan. Abang Eilman dan Aidan siap berjabat tangan dan berkenalan untuk beberapa ketika sebelum abah menyuruh kami menjamah sarapan dahulu sebelum menyambung perbualan sesama mereka.

Aku mengambil tempat di posisi tengah antara mama dan Elisa di sebelah kiri dan kananku manakala abah di bahagian utama meja, sebagai ketua rumah. Selebihnya Aidan dan Eilman duduk menghadap diriku dan Elisa. Sempat aku mengerling seketika ke arah Aidan, dia juga membalas pandanganku sebelum aku mengalihkan pandangku ke arah hidangan yang ada di atas meja makan.

Mataku membuntang melihat makanan yang dimasak oleh mama. Ada nasi lemak, kuah sambal bilis, telur mata, telur rebus, kacang goreng dan timun, lempeng kelapa dan sandwich tuna juga tersedia di atas meja makan. Wah, all out betul mama pada pagi ini!

Persoalannya, macam mana mama boleh masak sebanyak ini sedangkan aku keluar pun sudah pukul 7 pagi? Pulang pun dalam pukul 9 lebih. Kuasa seorang mak di dapur agaknya. Sambil memasak boleh buat itu dan ini.

"Elle? Kenapa ditenung semua makanan tu?" Tegur mama yang duduk di sebelahku.

Aku menggeleng dan berikan satu senyuman kepada mama.

Abah membacakan doa makan dan kami menadah tangan dan mengaminkan sebelum mula makan. Aku lihat Aidan mengambil nasi lemak terlebih dahulu. Aku pula mengambil sandwich tuna yang sudah siap diapit dengan roti. Rasa macam nak makan benda ringan dulu. Kalau awal sebelumnya rasa nak makan nasi lemak bungkus daun pisang, selera terus berubah ketika melihat semua ahli keluarga berkumpul menemui Aidan. Rasa gementar menguasai diri ketika ini.

Semua orang makan tanpa berbicara, semua sedang kelaparan kerana masih belum makan pada pagi ini.

Aku menundukkan wajah dan menyuap sandwich tuna. Air kopi o aku tuang ke dalam cawan dan minum tanpa mempedulikan semua orang. Fikiranku hanya tertumpu tentang penerimaan ahli keluargaku akan hubungan aku dan Aidan.

Tiba-tiba terasa sebelah kakiku dikuis. Mungkin kerana geli, badanku tersentak dan menyebabkan kakiku secara refleks naik sehingga lututku terlanggar meja.

Aku mengemam bibir, cuba mengelakkan suara berbunyi. Wajahku bertukar riak dan meringis kerana kesakitan.

"Apa tu, Elle?" Sekali lagi mama bersuara, tidak marah tetapi ada nada hairan dari suaranya.

Aku menoleh ke arah mama, menggeleng. Masih tayang senyum biarpun sedang menahan sakit di bahagian lutut. Mata dihalakan ke arah semua orang di situ, abah memandangku. Abang Eilman pula keningnya terangkat sebelah dan Aidan... dia menggelengkan kepalanya dan ada senyuman di bibirnya.

Cis! Jatuh saham depan buah hati!

Aku jatuhkan pandanganku ke arah pinggan dan sebelah tangan naik di wajah. Aku pusingkan badan ke arah Elisa. Mata dijegilkan, inilah orang yang menguis kakiku tadi!

Elisa menahan bibirnya dari tersenyum. Sempat dia mengucapkan maaf dari isyarat bibir.

Aku jadi malas hendak melayan lalu sambung menggigit baki sandwich tuna. Macam-macamlah adikku ini!


*****


𝐇𝐞𝐫 𝑹𝒆𝒄𝒌𝒍𝒆𝒔𝒔 𝐇𝐞𝐚𝐫𝐭 (Ongoing | Slow Update)Where stories live. Discover now