"You're early today."
Sebulan berlalu sejak Ayden memasuki Taska Bintang Permata ini. Puan Embun juga sudah menyerahkan jawatan pengarah sepenuhnya kepada Elnaura dan mereka telah mengadakan perlantikan rasmi di taska. Laman web dan laman rasmi 'Fesbuk' Taska Bintang Permata juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk penjaga-penjaga anak-anak taska mereka. Sememangnya semua orang berpuas hati dengan perlantikan Elnaura walaupun masih ada segelintir dari mereka masih menaikkan isu lepas berkenaan Syahin dan dirinya.
"Awal salah, lambat lagilah salah. Encik Hilal kenapa ya?"
Sudah sebulan juga sejak Syahin mengalami mimpi ngeri teruk melibatkan memori masa lampaunya. Wajahnya semakin hari makin tiada seri mahupun kelihatan segar memandangkan dia sering menangis dan tidak dapat tidur dengan cukup di malam hari. Mikael sudah puas mengajak jejaka itu berjumpa dengan pakar, tetapi dia tidak mahu orang berkata-kata dan memberi kesan buruk terhadapnya. Kalau mengikut kira-kira juga, arwah abang iparnya sudah 2 bulan meninggal dan kakaknya genap setengah tahun.
"Esok aku hantar Ayden lambat, nak kena pergi klinik untuk vaksin umur 6 bulan."
Elnaura memandang wajah jejaka itu. Sejujurnya, siapa saja tidak hairan dengan wajah suram dan tidak bermaya Syahin yang kelihatan seperti orang sakit. Pucat lesi dan tidak terurus.
"Nak saya bawakan? Encik boleh hantar saja Ayden pada jam biasa."
"Tak apa, tak perlu. Aku pergi sendiri." Syahin cuba berkeras.
"Saya temankan esok pagi. Jangan banyak songeh Encik Hilal. Ada tak encik tengok muka encik bila bangun pagi? Dah nampak macam orang tak waras dengan jambang tak terurus, mata kuyu macam tak cukup tidur. Nak kata Ayden meragam, semasa dekat taska dia jarang menangis. Takkan masa malam dia selalu bangun untuk menyusu?"
Elnaura dalam menyampahnya, dia sendiri mula untuk menunjukkan yang dia kisahkan keadaan Syahin. Sudah lebih 2 minggu sejak dia memerhati keadaan Syahin yang makin lama makin tidak baik-baik saja. Suaranya tidak lagi keras seperti awal-awal pertemuan mereka dan dia tidak banyak bercakap perkara yang menyakitkan hati. Jujurnya Elnaura sukakan keadaan mereka yang sekarang, tetapi Elnaura risau kalau Syahin tidak berada dalam kondisi yang sepatutnya untuk menjaga seorang bayi.
"Encik?" Jejaka itu termenung jauh.
Elnaura semakin hairan, Ayden sudah dibawa masuk ke dalam taska dan diberikan seketika kepada Hanum yang juga hairan dengan mereka berdua. Terlalu lama berdiri di hadapan pintu taska tetapi tidak berbuat apa-apa.
"Encik? Encik?" Gadis itu mengibas tangannya di hadapan muka jejaka itu mengharapkan dia tersedar. Namun lamunan terlalu jauh untuk dikejarkan. Usaha Elnaura kemudian melibatkan sentuhan dengan menggoncang kuat lengan jejaka itu tetapi sama saja, langsung tidak membuahkan hasil.
"Hilal? Hilal!"
Satu tamparan separa kuat diberikan ke pipi Syahin. Kali ini dia tersedar malah tersentak dan hampir terjatuh. Elnaura yang masih memegang lengan berototnya sempat menahan tubuhnya yang tinggi dari terhempas. Dia kemudiannya mengerdipkan mata berkali-kali, cuba mencari cahaya di dalam kegelapan.
"Aku tak nampak apa-apa." Suaranya separuh panik.
"Encik, picit jari-jari saya ni." Elnaura menghulurkan tangannya.
Syahin menggagau mencari jari-jemari Elnaura, dia diarahkan untuk menekan satu demi satu hujung jari Elnaura dan bernafas mengikut rentak yang diajarkan gadis itu. Matanya masih terpejam rapat, dia mula merasakan sedikit bertenang. Mereka sudah berada di dalam dapur taska di mana Ayden berada dalam pangkuan Hanum yang menyaksikan kelakuan aneh dua manusia itu.
YOU ARE READING
Hilal's Code : Elnaura
De TodoSyahin Hilal merupakan seorang jejaka yang hidupnya penuh dengan onak duri. Dari kehilangan ibu ketika cuma berusia 3 tahun, dia menjadi mangsa kekejaman seorang bapa dan membesar dengan luka yang tak terubat bersama kakak dan ibu tirinya. Bertemu d...