BAB 7

203 17 0
                                    


Darius membuka mata. Kepala yang terasa berat terus dipegang dengan sebelah tangan. Sembari itu, sepasang matanya melingas ke segenap ruang bilik. Sudah pagi rupanya. Selanjur dia membuang nafas dan bingkas duduk di atas tilam. Pening dan lelah mula menjemput rasa.

Darius menggerakkan tubuhnya sedikit, namun pergerakannya menjadi terbatas kerana ada sesuatu sedang melingkari pinggangnya. Langsung dia menoleh ke tepi sebelum dirinya menjadi terpinga-pinga.

Darius berkutat di situ.

"Diana? Dia tidur di sini? Sebelah aku?" Darius masih ingat apa yang terjadi malam tadi. Akalnya masih mengirai-ngirai memori malam semalam. Cuma dia tidak menjangka Diana akan menemaninya sehingga matahari naik.

Isterinya elok jerab di sisinya seperti tiada apa yang berlaku. Darius bergeming. Sepintas lalu dia menilik dirinya. Garisan hitam masih ada membelit di tubuh badannya. Banyak dan tidak ada yang kurang.

Darius mengeluh. Dia duduk bersandar di kepala katil. Kain gebar ditarik sehingga menutup leher Diana.

"Sida Isla." Darius memanggil dengan nada yang sedikit kuat. Sebelah tangan naik mengusap jemala Diana supaya lena isterinya tidak terganggu.

Tidak lama kemudian, pintu bilik terbeber dari luar. Figura Sida Islah mula menyapa pandangan Darius.

"Salam sejahtera, Tuanku. Apa patik boleh bantu?" ucap sida Islah dengan tenang. Bibirnya merekah dengan senyuman apabila melihat Diana ada di sisi Darius.

Darius beriak lugu.

"Sediakan santapan pagi untuk beta dan ratu. Sebentar lagi beta akan turun bersama ratu. Dan sediakan pakaian beta dan ratu di bilik bawah," arah Darius dengan jelas. Sesekali matanya akan melirik ke arah Diana di sisi. Masih melekat pada dia.

Sekon itu, Sida Isla mengangguk faham.

"Baik, tuanku. Titah diterima." Sejurus itu, Sida Isla berundur dan berlalu dari situ. Pintu bilik ditarik sehingga terkatup dengan rapat.

Usai itu, Darius menghela nafas panjang. Dia menggerakkan tubuh sehingga menghadap Diana di sebelah. Seketika itu, Darius merenung wajah isterinya. Lama.

'Saya masih pilih awak.'

Darius tersenyum iba. Jari telunjuknya menari-nari di wajah itu. Garis palau yang ada mula dielus dengan kasihnya.

"Ratu kesayangan raja. Hadirnya dia membawa berita gembira dan hilangnya dia... seumpama separuh jiwa ku terbang bercampera." Gerutu Darius perlahan.

Tidak menunggu lama, Darius mengejutkan Diana dari jerab. Tubuh belakang isterinya ditepuk dengan lembut.

"Diana... Diana... Kau tak nak bangun ke?" Lengan Diana digugah lembut. Namun masih tidak ada tanda-tanda isterinya mahu berjana.

Tak betah berlama, terpaksalah Darius menepuk punggung Diana sedikit kuat. Sudahlah isterinya memeluk pinggang dia bagai tidak mahu lepas. Khuatir pula dia dan Diana akan buat aktiviti yang lain.

Diana yang terasa lenanya terganggu, langsung menepis tangan Darius kegeraman. Malam tadi dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dua sayap suaminya tak berhenti mengusik dia.

Gatal macam tuan dia juga. Huh!

"Diana..."

"Tch! Jangan ganggulah!" Diana masih tidak mahu berjana. Malah, kain gebar terus ditarik sehingga menutup tubuhnya dari kelihatan.

His Angel's Throne.Where stories live. Discover now