Helaian buku diselak dengan cermat. Aroma kertas-kertas lama mula memenuhi segenap rongga hidungnya. Suasana terasa nyaman dan sunyi. Diana sengaja membeber tingkap biliknya dengan luas. Dia perlukan angin luar untuk menenangkan diri.
Darius tidak normal. Terus terang, Diana tidak tahu mahu mula dari mana. Dua sayap besar itu masih mengirai-ngirai kotak memorinya. Tak mungkin Diana akan mudah lupa.
Saat itu, Diana buang nafasnya dalam-dalam. Dia berhenti membaca buku. Termenung jauh pada perhiasan jari di atas meja. Lama.
"Sumpahan ke? Atau... Keturunan?" soal Diana sendiri. Diana yakin Darius masih lemah dan kurang sihat. Suaminya itu acap kali memicit pelipis dahi. Terpaksalah dia banyak berbual tadi untuk memeriahkan suasana.
Sekali lagi Diana menghela nafas panjang.
"Sayap itu hidup. Dia faham apa aku cakap. Itu bermaksud... Itu bukan sekadar sayap sahaja. Ada sesuatu dalam tubuh suamiku," ujar Diana perlahan. Bahkan juga tubuh suaminya mempunyai garisan corak yang mengerikan.
Garisan itu... Kuncinya?
"Tuanku permaisuri. Jeneral kiri, Clane Xoden datang mahu menghadap." Suara dayang Elsie menghambat lamunan Diana serta merta.
Diana langsung duduk menegak.
"Beri dia masuk." Ujar Diana. Matanya lurus memanah pada pintu masuk di hadapan.
Tidak lama kemudian, figura Clane menyapa di pandangan mata Diana. Lelaki itu melangkah masuk sebelum menunduk hormat kepada permaisurinya.
"Tuanku..."
Diana tersenyum Cuma.
"Selamat pagi, Clane. Beta ada melik yang perlu diutarakan," sahut Diana sambil memandang wajah Clane di depan. Sebelah tangannya bergerak mempelawa Clane untuk duduk.
Clane menurut. Namun sempat matanya melirik pada buku-buku yang ada di atas meja itu. Buku ilmu komat untuk si raja.
Spontan Clane tersenyum.
"Kalau berkaitan layanan untuk raja, patik tidak tahu mahu membantu bagaimana," usik Clane bersama tawaan halus. Jadi berita Diana menginap di istana Darius itu adalah benar rupanya.
Diana langsung berdehem. Buku di atas meja terus ditutup.
"Beta baca untuk saja-saja." Geram juga bila dirinya asyik disindir Darius semasa makan bersama-sama. Kayulah? Patung cendana lah? Huh!
Memang dia tidak tahu menjadi romantis pun! Jatuh cinta pun tidak pernah.
Saat itu, Clane tertawa halus.
"Jadi apa melik tuanku?" Clane menyoal dengan tenang. Dia sudah siap siaga mahu menerima arahan yang baharu.
Diana mengeluh. "Alzak."
"Mengapa dengan ketua jeneral itu?" selar Clane tidak mengerti. Keningnya sudah tertangkup. Hairan pula Diana memetik nama lelaki itu.
Diana bergeming seketika. Gayanya sedang berfikir. Dia mahu tahu perihal Darius dengan nyata tapi Diana perlu mencari jawapan tanpa pengetahuan suaminya.
Sasaran pertamanya adalah Alzak.
"Dia sentiasa bersama suami beta. Ke mana Tuanku berkelana, pasti dia akan ada." Diana berkias. Jari telunjuk yang mempunyai perhiasan tajam itu mula diketuk-ketuk pada permukaan meja.
YOU ARE READING
His Angel's Throne.
RomanceNovel & Ebook I Bila adanya sebuah kerajaan, sudah pasti akan ada sang raja. Bila adanya sang raja yang memerintah, sudah semestinya akan ada seorang permaisuri sebagai penguat takhta. Hidup sang raja mahupun sang permaisuri seolah-olah seperti sebu...