"Dapatkan segera laporan dari wetan. Beta mahu maklum balas secepat yang mungkin." Darius menghulurkan beberapa helaian kertas kepada seorang wazir. Sida Islah pula bertungkus lumus menulis pembicaraan yang sedang berlangsung.
Wazir itu mengangguk faham. Lekas-lekas dia mengambil kertas kerja itu untuk membaca tugasannya kelak.
Sementelah itu, Wazir Henry sedang diam memerhati. Entah berapa kali dia berdehem untuk menenangkan diri. Rencana pertama; dia perlu usulkan hasrat nyata untuk melihat reaksi Darius.
Sudah lama anak perempuannya menjadi gundik. Anaknya itu bukan patung. Jika tidak mahu ada pewaris, untuk apa mengahwini Elena?
Tak betah berperang dengan hati sendiri, Henry bingkas berdiri untuk bersuara. Perihal itu menghambat tumpuan para wazir yang lain.
"Tuanku raja. Patik ada membawa keresahan daripada orang-orang dalam istana," ujar Henry dengan tenang. Kepalanya merunduk ke arah Darius satu kali.
Darius langsung memanggung kepala.
"Keluhan? Tentang apa?"
"Pewaris takhta." Jawab Henry menyergap. Cukup membuatkan sebilangan wazir yang lain terbega tidak percaya.
Wazir kanan mula tidak merasa senang.
"Tuan Henry. Bicaramu agak lancang," tegurnya tidak sualak. Anak mata Henry ditikam dalam. Namun begitu, Henry tidak ambil peduli.
Dia perlu bertindak. "Tuanku, ramai berfikir Negara ini mempunyai raja yang lemah pada batinnya kerana tiada pewaris."
"Menteri Henry!"
"Tenang, menteri kanan. Habiskan bicaramu, Henry," selar Darius dengan tenang. Sebelah tangan sudah menongkat kepala.
Henry berdehem.
"Tuanku! Patik dan orang-orang istana sehingga kini tidak mendapat khabar tentang putera mahkota. Keteguhan sebuah Negara bergantung pada generasi yang akan datang," terang Henry dengan jelasnya. Nadanya kedengaran tegas.
Saat itu, kepala Darius terangguk-angguk.
"Jadi usulan ini tentang pengganti beta? Begitu?" duga Darius mahukan kepastian.
Henry menunduk.
"Tentang keteguhan organisasi Negara, Tuanku." Sanggah Henry dengan lugu. Renungan tajam daripada menteri kanan diendahkan.
Darius bersikap bisu. Berfikir sembari jari jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja. Bunyi itu mula memenuhi ruangan yang sunyi.
"Beta sudah ada pewaris." Akhirnya Darius bersuara. Serentak itu, para menteri terngadah. Sida Islah turut begitu. Bila?
Henry terpelangah. "Apa?"
"Pewaris takhta ini adalah ratu. Dan, perlukah beta buka cerita dalam selimut kepadamu, wazir kiri?" Darius memandang muka Henry. Mata jahangnya mula menjadi lihai.
Henry mengeluh.
"Tuanku..."
"Beta masih belum sedia mahu mempunyai putera atau puteri tapi jangan bimbang; Beta akan usulkan keresahan ini kepada ratu." Darius ketawa halus. Entah-entah; tak sempat dia mahu beritahu, Diana sudah hayun pedang ke arahnya.
Isterinya itu bukan boleh dijangka!
"Tuanku mempunyai tiga isteri lagi bukan?" Henry masih tidak berputus asa. Dia cuba berkias dalam berkata-kata.
YOU ARE READING
His Angel's Throne.
RomanceNovel & Ebook I Bila adanya sebuah kerajaan, sudah pasti akan ada sang raja. Bila adanya sang raja yang memerintah, sudah semestinya akan ada seorang permaisuri sebagai penguat takhta. Hidup sang raja mahupun sang permaisuri seolah-olah seperti sebu...