Rendang Daging (6)

4 0 0
                                    

"Yeah. Jackpot guys!" Rosdi bersorak di dalam kereta.

"Serius la Di ada lagi orang muda buta teknologi zaman sekarang ni? Macam pelik je." Usin menyatakan kegusarannya.

"Ramai je yang buta IT ni. Kalau ko gi hulu hulu sana tu, silap silap torchlight pun diorang tak kenal." Rosdi cuba meyakinkan Usin. "Sekarang kita cari kedai handphone, cari yang murah murah sikit, kita bagi dia pakai. Tak lama lagi kecundang lah dia tu. Orang macam ni lagi senang nak bagi dia rasa terhutang budi ko tau?" Omelan Rosdi semakin menjadi jadi.

"Ikut ko la Di. Plan ko lagipun." Usin hanya bersetuju sahaja.

Rosdi terus memandu melalui sekitar kawasan rumah kedai bagi mencari kedai menjual telefon. Satu persatu lorong dilaluinya. Ada satu kedai telekomunikasi di hujung satu blok rumah kedai. Tanpa membuang masa, Rosdi terus memarkir kereta dan bergegas ke kedai tersebut. Usai urusan jual beli, dia bergegas pula ke tempat Rahimah berniaga.

Setibanya mereka di situ, kelibat Rahimah sudah tidak kelihatan. Rosdi sedikit hampa.

"Lah. Hilang la pulak minah ni. Tadi kan aku suruh tunggu." Rosdi mengomel sendiri.

"Esok lah ko bagi kat dia. Barang dia dah habis, dia balik la tu." Usin menyampuk.

"Ye la kot. Eh. Aku baru perasan. Yang ko ni senyap je dari tadi Dol. Apasal?" Rosdi.

"Kan dia dah kata kalau masuk dalam kereta dia jadi orang lain. Hahaha." Usin.

"Hmmmm. Sebenarnya ada sesuatu aku nak bagitau korang. Tapi bukan kat sini kot. Japgi kat rumah aku bagitau." Dol Sibat bersuara sedikit gemuruh.

"Alah. Bagitau je lah. Lambat lagi nak sampai lagipun." Rosdi.

"Aku kata kat rumah, kat rumah la sibat. Ko tak paham base ke?" Dol Sibat tiba tiba melenting.

"Ok ok ok. Tak payah melenting tak tentu pasal. Sorry. Sorry." Rosdi.

Perjalanan pulang ke rumah mengambil masa lebih pendek. Suasana di dalam kereta juga sepi. Rosdi dan Usin tahu yang Dol sememangnya seorang yang telinga nipis. Namun, nadanya kali ini sedikit berbeza.

+++++++++++++++++

Di rumah kampung.

"Mak ooo mak. Imah balik ni." Rahimah.

"Awal kamu hari ni." Hatimah.

"Habis awal. Ada orang beli semua dan bagi dekat orang ramai." Jawab Rahimah ringkas.

"Oh."

"Pemuda tempoh hari. Dia yang beli semua." Rahimah menyambung tanpa dipinta.

"Hah?"

"Iya mak. Pemuda tempoh hari tu. Dia datang bersama rakan-rakannya. Berlakon konon orang lain. Hahahaha."

"Habis? Apa perubahannya menjadi?"

"Ada bahagian yang masih belum sempurna mak. Tapi mak, dalam tutur katanya, Imah ada merasakan sesuatu yang tidak kena lah."

"Maksudmu?"

"Tiada kejujuran."

"Dia ada niat tersembunyi."

"Iya mak. Begitulah firasat Imah. Tapi Imah masih berbelah bahagi...."

"Tak perlu nak. Orang yang tiada kejujuran tidak akan membantu kita dalam amanah kita ini."

"Jadi, apa perlu Imah lakukan mak?" Perlukan Imah berikan kepadanya resepi seterusnya? Emak pun tahu bukan akibatnya jikalau dia tidak mengambil resepi seterusnya."

"Ya mak tahu itu Imah. Biarlah dia dengan padahnya berbohong. Biarkan dia dengan niat jahatnya. Biar niatnya itu yang memakan dirinya sendiri.

Rahimah terdiam. Jauh di sudut hatinya, dia mahu meneruskan rancangan asalnya. Dia juga mahu melihat apakah yang cuba dilakukan oleh pemuda bertiga itu terhadap dirinya. Hati mudanya merancang sendirian.

Dia tahu yang ibunya Hatimah tetap tidak akan bersetuju untuk meneruskan kaedah yang sepatutnya. Ibunya seorang yang menjaga amanah. Dia juga tahu yang lambat laun amanah yang dipegang ibunya itu akan diturunkan juga kepadanya. Bila sahaja dia memperoleh calon pasangan yang sesuai, maka rutin menurun itu akan dimulakan. Dia tahu itu. Dan dia mahu mencabar itu.

++++++++++++++++

Di dunia yang Allah ciptakan untuk kekasihnya Nur Muhammad ini, terdapat banyak rahsia yang tersembunyi. Rahsia rahsia ini disembunyikan demi menunjukkan kekuasaan AllahuRabbul Jalil. Namun begitu, tetap diberikan keistimewaan kepada sesetengah makhluk untuk ditunjukkan sedikit sebanyak rahsia Nya. Ini demi memberitahu bahawasanya rahsia rahsia kebesaran Allah ini sememangnya ada dan hanya yang terpilih sahaja yang dapat menangani kehebatannya.

Kewujudan dimensi yang hanya boleh diterima mata hanyalah objek 3 dimensi. Mereka yang dibukakan hijab, boleh melihat lebih dari tu. Ianya digelar sebagai alam di sebalik mata. Sebagai mana ada pertemuan malam dan siang yakni subuh, siang bertemu malam yakni senja, sungai bertemu laut yakni muara, maka, apabila nyata bertemu ghaib maka terhasillah gerbang.

Seperti mana yang terdapat di dalam mana mana persempadanan dunia, setiap sempadan akan ada si penjaganya. Rumah kampung berdinding papan itu bukan hanya sekadar sebuah rumah biasa. Ianya di situ bersebab. Ianya tidak dimajukan juga bersebab. Keturunan yang tinggal di rumah itu juga di situ bersebab.

++++++++++++++

Dum!! Pintu FLX dihempas. Dol Sibat bergegas masuk ke ruang lobi kondominium. Ditekan tekan butang lif. Rosdi dan Usin sekadar memerhati dengan pelik tingkah laku Dol Sibat.

"Woi Dol! Ko pehal?" Rosdi.

Dol masih menekan nekan butang lif. Rosdi dan Usin mendekati Dol. Barang barang rakaman semua Usin yang dan Rosdi yang bawa. Penuh tangan mereka.

"Woi Dol!" Rosdi menguis bahu Dol Sibat.

"Hmmmm...." Suara Dol Sibat garau.

"Eh mamat ni. Buat hal pulak. Tadi dalam kereta dah melenting tak tentu pasal. Ni dia hmmm hmmmm kan ke kita pulak. Woi Dol! Ko ok ke?" Rosdi.

Ding! Pintu lif terbuka. Persoalan Rosdi dibiarkan tidak berjawab. Dol Sibat meluru masuk ke dalam lif. Terus ke bucu dan memghadap ke dinding lif.

"Whuisshtt..!" Usin mengisyarat Rosdi.

Rosdi mengalih pandangan ke arah Usin. Keningnya di angkat mengisyaratkan 'kenapa?' kepada isyarat Usin. Usin memuncungkan mulutnya ke arah Dol Sibat dan kemudian menjuihkan bibirnya sambil menggelengkan kepalanya bagi mengisyaratkan 'jangan teruskan soalan kepada Dol. Cut it out!'. Rosdi menjegil mata. Dia lalu mengalihkan pandangannya kepada Dol Sibat. Sekali lagi keningnya diangkat.

"Japgi kat atas." Usin jawab ringkas seraya masuk ke dalam lif. Rosdi mengekorinya dari belakang. Butang 20 ditekan. Ding! Pintu lif ditutup. Zzzzuuuu... Lif mula bergerak naik.

"Hmmmmmmm.. Hmmmmmm.. Hmmmmmmmm.." Dol Sibat tiba tiba berkeruh.

"Lah. Tidur?" Mulut capoi Rosdi. Dia terlupa pesan Usin sebentar tadi yang menyuruhnya supaya senyap.

"Hihihihi." Hilaian kecil keluar dari arah Dol Sibat.

"Aik?" Rosdi.

Kali ini Usin sudah tidak sabar dengan Rosdi. Disepaknya kaki Rosdi. Dijegilkan matanya dan menyuruh Rosdi supaya diam.

"Kenapa nak suruh dia diam?" Dol Sibat. "Tadi di gerai dia sangat petah berbicara." Suara Dol Sibat sekejap sekejap garau sekejap sekejap halus. Dia masih menghadap ke dinding lif.

"Main main la mamat ni. Woi Dol! Tak kelakar dowh! Dah la ko tak angkat satu pun barang." Rosdi mula mempersetankan amaran Usin. "Ey dia ni! Ada yang mendapat karang!" Rosdi mula meletakkan barang barang yang dipegangnya ke lantai.

"Hihihihi. Hmmmmm. Memang kurang sabar orangnya. Baru saja saya fikir untuk bersuamikan kamu. Nampaknya benar kata emak ku, kamu bukanlah orangnya. Tapi tak mengapa. Saya masih ada rancangan lain untuk kamu. Hihihihihi." Seusai ungkapan itu keluar, Dol Sibat tiba tiba terus terkulai jatuh ke lantai.

"Hah? Dol!!!" Serentak dua suara. Usin langsung melepaskan barangan yang dipegangnya lalu terus memegang Dol Sibat. Rosdi pula yang sudah pun meletakkan barangannya di atas lantai terus juga menerpa ke arah Dol. Digoyang goyang badannya. Dol! Dol! Dol! Mereka berdua berpandangan sesama mereka. Dol pengsan.

Lif dirasakan sangat lambat.

Bersambung.

One ShotWhere stories live. Discover now