Kejar-kejar

45 1 0
                                    

Suasana pagi di Pasar Tani di tepi parit. Sepanjang parit, para peniaga meniaga banyak barangan untuk kegunaan seharian. Ada yang jual ayam. Ikan. Udang. Sotong. Daging lembu. Daging kambing. Penduduk setempat juga kelihatan berpusu-pusu memenuhi setiap ruang yang ada.

Asyraf hari itu membawa sekali keluarganya melihat lihat suasana Pasar Tani di kampung. Asyraf dan keluarga kecilnya tinggal di bandar. Walaupun ada juga Pasar Tani di bandar, keadaannya masih tidak sama seperti di kampung.

Sawah padi yang saujana mata memandang bersebelahan parit menjadi latar kepada pemandangan Pasar Tani. Pemandangan beginilah yang Asyraf mahukan untuk anak-anaknya nikmati dan kenangi sampai bila-bila. Hidden gem katanya.

Dulu-dulu, ibu Asyraf kerap memintanya untuk ke pasar tani itu untuk membeli barangan keperluan untuk seminggu. Sayur-sayuran, daging, ayam, ikan, bawang, ubi kentang, dan beberapa keperluan lain agak mudah didapati di situ. Dia jarang membantah permintaan ibunya itu. Malah dilakukannya dengan rela hati.

Sambil berjalan, Asyraf memberitahu tempat dia dan kawan-kawannya bermain main ketika kecil mereka. Keadaan menggamit kenangan itu menyebabkan hatinya sedikit gembira.

+++++++++++++

Sedang leka Asyraf bercerita, bajunya terasa tersangkut sesuatu. Segera ditolehnya. Ada seorang anak kecil memegang bajunya. Dia berlutut menghadap anak kecil itu.

"Iya dik? Adik sesat ke? Adik cari ibu adik?"

Anak kecil itu diam.

Asyraf mengalihkan pandangan ke arah isteri dan anak-anaknya. Dia mengangkat bahu. Mereka membalas dengan mengangkat bahu juga. Dia kembali menoleh ke arah anak kecil.

"Apa boleh pakcik tolong?"

Anak kecil itu mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sekeping syiling. Disuanya kepada Asyraf. Asyraf menyambut tanpa bertanya. Kemudian anak kecil itu menunjukkan tangannya ke suatu arah. Seolah disuruh, Asyraf lalu menoleh ke arah yang ditunjukkan si anak kecil itu. Apabila ditoleh kembali, anak kecil tadi sudah tiada.

"Eh. Lajunya hilang. Mana budak tadi?" Asyraf menggerutu sendiri.

"Mana budak tadi awak?" Asyraf bertanya kepada isterinya.

"Entah. Tak perasan pula saya. Saya tengok benda lain tadi." Isterinya membalas.

Mata Asyraf beralih kepada anak anak.

"Kami pun tak tahu ayah." Si sulung menjawab.

"Tia hilang la." Si bongsu menyampuk. Namun, kata-kata si bongsu itu tidaklah dihiraukan sangat.

Walaupun bingung dengan kejadian tersebut, Asyraf bangkit dari berlutut lalu meneruskan perjalanannya. Syiling yang diterimanya tadi disimpannya ke dalam kocek seluarnya. Hanya tinggal beberapa gerai sahaja lagi yang perlu mereka lewati untuk mereka sampai ke kenderaan mereka.

+++++++++++++

Kenderaan dipandu menyelusuri ban. Sengaja Asyraf memilih jalan tersebut kerana ingin berkongsi suasana lapang sawah padi di pagi hari.

"Sawah depan tu atuk saudara ayah punya. Sebelah dia sawah atuk ayah. Moyang kamu....." Sedikit penerangan dari Asyraf untuk anak-anaknya.

Padanya, anak-anak kecil begini senang dibentuk. Waktu kecil merekalah  harus diajar tentang asal usul. Adab dan adat. Sanak saudara. Sepupu sepapat.

"Oooo." Jawab si sulung dan tengah.

"Eh, ate paca lagi la ayah." Sampuk si bongsu.

"Ha'ah. Pasar tu kita dah pergi tadi kan?" Jawab isteri Asyraf melayan.

One ShotWhere stories live. Discover now