Rendang Daging (7)

4 0 0
                                    

Suasana di kondominium yang biasanya hiruk pikuk dengan manusia yang keluar masuk dirasakan kosong tiba tiba. Langsung tiada seorang pun manusia ditemui mereka. Dari lif ke unit rumah Rosdi tidaklah begitu jauh, namun, dengan bebanan tambahan yang perlu mereka paut, perjalanan mereka dirasakan sangat jauh. Walaupun fizikal Dol Sibat agak kecil, beratnya seolah oleh mereka berdua sedang menggendong dua buah motosikal. Siksa.

Klink klink klunk! Kunci pintu pagar dibuka. Tugasan membuka pintu rumah diserahkan kepada Usin. Bila saja pintu rumah dibuka, sejurus itu juga ada kelibat dengan pantas keluar dari rumah  Rosdi. Diikuti dengan sejenis bau yang begitu tajam menusuk ke hidung.

Bluerghhhh! Di situ juga Usin melepaskan isi perutnya keluar dari mulut. Usin terduduk. Tanpa membuang masa, Usin lantas mengesot ke belakang dan berundur menjauhkan dirinya dari pintu. Rosdi melepaskan Dol Sibat ke lantai. Dia lalu meluru ke arah Usin.

"Apsal bro?" Hampir sahaja Rosdi mahu menghampiri Usin yang sedang mengesot, dia pun lalu terbau bauan pelik yang keluar dari dalam rumahnya. Automatiknya, kedua tangannya naik lalu menekup mulutnya bagi mengelakkan dari bau tersebut menerjah ke dalam hidungnya.

"Babi! Bau bangkai!" Dengan segera tangannya menggapai tombol pintu dan ditariknya kembali.

Gang! Pintu ditarik hempas.

"Bau apa tu sial? Tadi pagi takde pun bau tu." Rosdi

Bluerghhhh! Sekali lagi Usin muntah. Lembik Usin.

"Arghhhhh!" Rosdi melepaskan geram. Dia tersandar di dinding berhadapan unitnya. "Apa benda semua ni? Yang ni dari tadi buat pelik pelik!" Sambil menunjukkan ke arah Dol Sibat. "Ni mana datang pulak bau pelik ni? Arghhhhh!" Rosdi membentak.

Bluerghhhh!!! Lagi sekali Usin muntah. Lagi lembik Usin.

Rosdi bangun dan menghala ke Usin yang terbaring lembik di atas isi perutnya sendiri. Berlendir lendir badannya. Rosdi tepuk tepuk di belakang Usin. Dicapainya tangan Usin. Diheretnya ke kaki lima unitnya.

"Ko ok bro?" Rosdi cuba mengambil berat hal rakannya itu. Usin hanya menganggukkan kepala. Badannya yang kering itu terus lemau.

Rosdi dan Usin terus berdiam diri. Suasana kembali sunyi.

+++++++++++++++

"Imah, emak mahu ke sana sebentar. Kamu jaga rumah. Emak mungkin lama mungkin sekejap. Kalau orang taman cari, katakan kepada mereka yang emak pulang ke kampung. Bini si Rahman tu cuma menunggu hari. Mak Nani pulak selalu sangat kena ganggu. Itu yang mak perlu ke sana. Nak tengok mana tahu ada bocor di mana mana." Hatimah memberi arahan mudah.

"Baik lah mak. Hati hati ya." Rahimah menyahut dari dalam biliknya. Tidak lama, kedengaran pintu rumah dibuka dan ditutup. Rahimah mula mengira. Kira kira seratus detik kiraannya, Rahimah bingkas bangun menuju ke katilnya. Dia melutut dan menongggeng untuk mengambil sesuatu di bawah katilnya. Ada sebuah kotak daripada rotan. Dianyam dengan anyaman melayu lama. Ada corak berbentuk jembalang dan manusia diukir secara abstrak pada bingkai kotak.

Rahimah mula membacakan sesuatu. Terkumat kamit mulutnya. Asap nipis mula kelihatan keluar dari celah celah kotak rotan. Seraya itu, penutup kotak rotan bergetar seperti ada sesuatu makhluk mahu keluar. Beberapa detik kemudian, penutup kotak berhenti bergetar. Asap nipis mula menghilang. Rahimah masih lagi terkumat kamit. Usai Rahimah bermentera, satu bebayang muncul di atas tilam Rahimah. Bebayang mula menimbul lalu membentuk sesuatu yang tidak berupa apa apa. Ianya lalu mengeluarkan bunyi berbisik bisik.

"Iya. Sudah lama kita tidak bersua." Rahimah bersuara.

Benda itu kembali berbisik bisik.

"Ah. Kenapa perlu diungkit perkara yang lama. Imah tidak seperti kamu. Imah di dunia ini berbentuk, berdarah berdaging. Kamu boleh berupa apa sahaja yang kamu mahu. Imah cemburu. Dunia kita jauh berbeza.

Lagi bisik bisik kedengaran.

"Oh. Imah mahu minta pertolongan kamu."

"Pertolongan apa? Hmmm. Kamu tahu kan resepi turun temurun keluarga Imah. Dari zaman nenek moyang Imah lagi resepi itu diturunkan kepada anak perempuan sulung."

"Iya. Resepi untuk memilih calon suami Imah di dunia ini. Resepi itu lah."

"Imah mahu minta tolong kamu hantarkan resepi seterusnya. Emak bantah, tapi Imah mahu juga. Imah mahu pemuda itu dijadikan ......" Imah terhenti di situ kerana bisikan itu telah menghabiskan ayat yang sepatutnya keluar dari mulut Rahimah.

"Ha. Begitulah. Imah tahu kamu bijak. Sekejap Imah sediakan resepinya ya."

Rahimah ke dapur. Dari gerobok kayu, dia mengeluarkan satu kotak hijau diperbuat daripada jed. Di dalamnya terdapat satu ruang dimensi yang tiada berpenghujung. Rahimah memasukkan tangannya dan memikirkan bahan bahan untuk resepi seterusnya. Sejurus itu, tergenggam ditangan Rahimah satu bungkusan lengkap bahan untuk resepinya.

Dikeluarkan daging yang sudah siap dihiris dari bungkusan. Daging direbusnya selama 30 minit. Kemudian, ditumbuk daging sedikit hancur dan diperap dengan kicap selama 15 minit. Kemudian daging itu digoreng sedikit bagi menambah aromanya. Kemudian, dia menumis serai, bunga lawang dan kayu manis. Digaulkan bersama daging. Seterusnya air rebusan daging dicampurkan. Rahimah kemudiannya memasukkan daun limau purut dan asam keping dan ditambah kicap pekat dan manis. Kemudian digaul dan digaul sehingga sebati. Kemudian, Rahimah menambah sedikit ramuan rahsia sebagai penambah perisa. Rahimah tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan resepinya itu. Maka, siaplah dendeng daging untuk resepi khas ketiga.

++++++++++++++

"Bagaimana Imah nak berikan resepi ini untuk dihadam oleh pemuda itu? Itu kamu tak perlulah risau. Imah akan gunakan kelemahan pemuda itu sendiri nanti. Kamu terus sahaja ke tempat tinggal pemuda itu."

Benda tidak berbentuk terus sahaja menutupi bekas berisi dendeng daging. Seperti pertunjukan silap mata, bekas itu hilang bersama bayang bayang menjadi asap nipis dan terus lenyap bersama udara.

Rahimah bergerak semula ke biliknya. Dia terkumat kamit lagi di depan kotak rotan. Penutup kotak rotan terbuka. Ada sebuah patung dari jerami, dupa berisi kemenyan. Rahimah mengambil semua yang ada di dalam bakul rotan. Arang dinyalakan dan kemenyan diricikkan. Semerbak bilik Rahimah. Rahimah mengambil patung jerami. Dia berfikir sejenak. Siapakah yang harus didampinginya. Oh ya. Si pemegang kotak kecik yang agak kurang ajar tadi. Sudahlah diketawakannya, malah sewaktu memberi hasil jualan tadi pun pemuda itu tersengih sengih di belakangnya. Sengaja Rahimah buat seperti tiada apa apa.

Rahimah lalu membayangkan wajah Dol Sibat. Untuk seketika, roh Rahimah mengembara melalui patung jerami terus ke tubuh Dol Sibat.

+++++++++++++++++

Makhluk tidak berbentuk masuk ke dalam rumah Rosdi melalui ruang udara . Asap nipis yang dibentuknya menghampiri ruang dapur. Ke meja makan. Asap nipis terus menerjah ke meja. Muncul satu bayang di atas meja. Dari bayang itu keluar satu lembaga hitam. Baru sahaja ianya mahu mengeluarkan bekas Rahimah, kedengaran pintu rumah sedang dibuka. Menggelabah beruk lembaga itu. Akibatnya habis terjatuh bekas itu ke lantai dan bertaburan dendeng daging di atas lantai. Akibat terlalu menggelabah juga, lembaga itu terlupa yang dia boleh berubah bentuk. Bila sahaja dia terlihat pintu rumah terbuka, dia lantas terus berlari ke arah pintu dan sepantas kilat dia menerjah ke tepi seorang pemuda. Disebabkan berlari di dalam kekalutan, lembaga tersebut sempat terkentut betul betul di muka pintu. Lantas ...

Bersambung...

One ShotWhere stories live. Discover now