(🩸)BAB - 10

6.6K 384 48
                                    

BUNGA senyuman yang teruja tidak dapat disembunyikan oleh Zahrah. Usikan dari pekerja-pekerjanya disambut mesra.

"Untungnya Cik Zahrah, ada tunang yang sweet macam tu." Sarah yang merupakan sales girl di butik tersebut menghantar Zahrah di muka pintu bersama senyuman mengusik.

Usikan itu berbalas dengan tawa merdu dari Zahrah. Ada sahajalah budak Sarah ni. Mujur juga usikan itu memang benar dan nyata. Sebelum dan selepas mereka mengikat tali pertunangan, tidak ada hari di mana dia tidak jatuh cinta dengan Idlan.

Seperti sekarang, tiba-tiba sahaja tunangnya itu muncul mengajak untuk menikmati juadah tengahari bersama-sama. Padahal Zahrah tahu jarak tempat kerja mereka mengambil masa hampir satu jam. Itu tidak dikira lagi dengan kesesakan lalu lintas yang akan menambah tempoh perjalanan.

Hati wanitanya jelas terusik. Berasa bangga dimiliki dan memiliki oleh lelaki yang begitu manis pada setiap tutur dan perbuatannya.

Zahrah berpaling kepada Sarah. "Lepasni saya mungkin tak masuk butik. Nanti kemas apa yang patut ya?" Pesan itu dititipkan. Dan Sarah mengangguk tanda mengerti.

"Baik, Cik Zahrah. Selamat berdating." Usikan nakal itu sekali lagi berbunyi.

"Eh, awak ni!" Zahrah bulatkan mata dan Sarah terus ketawa lantas kembali ke tempatnya.

Zahrah melangkah keluar dengan langkah yang anggun dan feminin. Di ruangan parkir, tubuh tegap Idlan yang tersarung dengan kemeja putih menyapa pandangan. Tunangnya itu tenang bersandar pada sisi BMW milik lelaki itu bersama mata yang ralit menunduk ke arah skrin telefon sambil di tangannya terdapat sebatang rokok yang masih menyala.

Melihat rokok tersebut, Zahrah mengeluh perlahan. Haish, itulah satu sikap Idlan yang tidak boleh diubah atau ditegur. Ke mana sahaja, setiap masa dan waktu, rokok tidak akan pernah ditinggalkan. Kemaruk sangat dengan bahan nikotin yang berbahaya itu.

Sudah berbuih mulut Zahrah membebel, namun ibarat masuk ke telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Malah, jawapan yang sama kerap diulang oleh Idlan. Sampai masa nanti, berhentilah dia dari tabiat berbahaya itu.

Apa hendak dikata, Zahrah akhirnya mengunci mulut dan sesekali ada juga teguran dan sindiran yang dilancarkan olehnya.

'Awak tak sayang paru-paru ke?'

'Atau awak tak sayang saya jugak?'

Tapi, tengoklah. Bukannya terkesan pun pada hati kering Idlan.

"Sayang."

Alunan suara lembut Zahrah menerjah susur alur pendengaran Idlan. Gambar Manis pada skrin telefon segera ditutup. Disimpan kemas di dalam kocek seluar.

Senyum tampan Idlan menyambut kedatangan sang tunang pemilik hati. Cantik. Desis hatinya. Mata tajam itu juga galak mengiringi langkah anggun Zahrah yang semakin mendekat. Abaya satin yang digayakan dengan selendang satin berwarna senada itu menggamit perhatian Idlan.

"Awak ni, suka tau buat suprise. Kenapa tak call dulu sebelum datang?"

"Saja. Kalau call, tak surpriselah namanya." Balas Idlan dengan bersahaja.

Zahrah membuahkan jelingan yang manja. Idlan pula tersenyum kecil. Bergerak ke arah tempat duduk di sebelah pemandu dan membuka pintu kereta buat wanita yang bertakhta tinggi di dalam hati lelakinya.

"Silakan, bidadari saya."

Bibir merah yang bercalit gincu itu terus mekar dengan bunga senyuman yang indah.

"Terima kasih, kekasih hati saya."

Saat Zahrah hendak melangkah masuk, satu lagi kejutan dihadiahkan oleh Idlan. Bouquet bunga itu diambil bersama wajah teruja yang terharu.

𝐌𝐚𝐧𝐢𝐬 : 𝐃𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐢𝐫 𝐌𝐚𝐭𝐚Where stories live. Discover now