TELEFON yang berdering nyaring membuatkan Manis berkira-kira untuk menjawab panggilan itu atau sebaliknya.
Kali pertama berdering, untuk beberapa saat, Manis biarkan panggilan itu terdiam sendiri.
Kali kedua, hampir seminit, kaku tiada jawapan.
Masuk yang ketiga, akhirnya tangan halus itu mengangkat telefon tersebut sambil mata cantiknya membaca nama sang pemanggil yang tertera pada skrin yang cerah itu.
Dr.Zaquan.
Salam yang diberi oleh pensyarah muda itu disahut perlahan dan lembut.
"Manis? Alhamdulillah, awak jawab jugak panggilan saya." Keresahan Zaquan dari hujung talian seakan terasa pada tangkai hati Manis.
"Awak sihat?" Sedar dengan kebisuan Manis, suara Zaquan memecah keheningan.
"Saya sihat..."
"Alhamdulillah. Saya risau andai terjadi apa-apa dekat awak. Dah hampir seminggu awak tak datang kuliah." Ayat yang hendak dilontar kini akhirnya terluah.
Memberi sebak yang ringan menjentik jiwa rapuh Manis. Nyata masih ada ehsan dari Tuhan yang menghantar lelaki ini sebagai penawar lukanya.
"Saya minta maaf sebab tak datang kuliah." Tangis ditelan. Namun, air mata mengalir sepi tanpa esakan.
"Saya tak marahkan awak. Saya lebih kepada risau. Syukur awak angkat panggilan saya. Sekurangnya saya tahu awak selamat." Pujukan yang lembut itu terasa tenang mengalir dari hati ke hati.
"Saya baik-baik saja, Dr." Ayat itu ditutur paksa. Andai kekuatan berpihak kepadanya, ingin sekali batinnya menjerit meluahkan segala yang telah terjadi. Menceritakan kerakusan Idlan. Menangisi nasib hidupnya yang musnah di tangan keluarga sendiri.
Tetapi tidak terluah, sebaliknya ditelan bersama rasa sakit yang menjalar.
Manis pejam mata. Desah nafas Zaquan dari hujung talian indah menenangkan jiwa. Tidak seperti desah nafas Idlan yang sering rakus meratah sekujur tubuhnya.
"Haritu saya ada pergi ke rumah, tapi pengawal kata tak ada siapa di rumah. Saya risau. Risau sangat. Hanim pun tak betah duduk. Asyik termenung dalam kelas. Awak tak ada dekat sebelah dia." Ujar Zaquan setelah Manis diam tidak melontarkan kata-kata.
'Saya tahu Dr datang. Tapi waktu tak mengizinkan kita.' Sahut hati Manis bersama sebak yang disimpan.
"Saya tunggu awak, Manis. Saya nantikan awak di kelas yang akan datang. Dan saya harap awak akan muncul." Hampir Zaquan merayu.
Kebisuan gadis itu mengundang telahan yang resah di hatinya.
Manis sedang berdalih. Zaquan tidak mudah dibohongi. Ayat 'baik-baik sahaja' dari gadis itu ternyata tidak meyakinkan firasatnya.
Please Manis...jelaskan segalanya. Tangannya tidak akan berat untuk menghulurkan bantuan. Akan dia tarik tangan Manis jauh dari segala derita. Tetapi, gadis ini yang sedang menjauh. Tidak memberi ruang dan peluang atas kebaikan Zaquan.
Talian senyap. Sunyi dan sepi. Air mata Manis masih tidak berpenghujung.
"Saya tak janji, Dr." Setelah itu, desah nafas Zaquan tidak kedengaran lagi setelah Manis memutuskan panggilan. Akhirnya, tangisan dukanya tidak dapat dibendung lagi. Dizahirkan semahu hati.
"Maafkan saya, Dr." Getar pada suara sayu itu bersenandung hiba.
Di dalam kebebasan yang sudah diragut oleh Idlan, Manis tidak dapat berjanji.
Kebebasan itu ditarik. Tidak menjadi miliknya lagi. Andai apa saja keputusan, Idlan yang akan menentukan.
YOU ARE READING
𝐌𝐚𝐧𝐢𝐬 : 𝐃𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐢𝐫 𝐌𝐚𝐭𝐚
Romance"Abang kejam! Abang bunuh ibu! Abang pembunuh!" -𝐌𝐀𝐍𝐈𝐒 "Abang tak bunuh ibu. Sebaliknya, Manis yang bunuh ibu." -𝐈𝐃𝐋𝐀𝐍 "Tak...Manis tak bunuh ibu!" -𝐌𝐀𝐍𝐈𝐒 Kejam. Sifat durjana yang mampu membinasakan sesiapa sahaja. Tidak kira sang pe...