𝟑𝟑 | 𝐍𝐲𝐚𝐰𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐒𝐲𝐮𝐫𝐠𝐚

92 10 1
                                    

𝐀 𝐗 𝟖 𝟎 𝟏
𝓼𝓮𝓻𝓪𝓷𝓲𝓮𝓵

Malaysia, 2022.

"NIEL, tutup pintu! Nanti ayam masuk!"

Laungan ibu dari ruang tamu mengejutkan Daniel dari lamunannya. Terus dia bangun dari duduk di kerusi meja makan lalu pintu belakang rumah ditutup.

Selesai, dia kembali mengambil tempat di kerusi tadi. Sekeliling dapur batu bercampur kayu ini dilihat. Tiada apa-apa yang berubah. Masih sama seperti keadaan sebelum dia dipanggil bekerja. Malahan dapur ini langsung tidak berubah sejak berbelas-belas tahun yang lalu.

Mungkin ada yang akan musykil, kenapa dia tidak ubah suai dapur ini selepas bekerja? Jawapannya ya, dia ada saja cadangkan kepada ibu. Soal duit sememangnya bukan masalah. Dia lebih dari mampu untuk membayar proses renovasi seluruh rumah ini.

Bahagian-bahagian lain di dalam rumah ini sudah lama dibaiki dan dibaik pulih, siap bercat baru dan ditambah pendingin hawa. Cuma dapur saja yang kekal tidak berubah.

Sebab ibu menolak.

Kata ibu, biarlah dapur ini kekal seperti waktu arwah ayahnya masih ada bersama mereka dulu.

Arwah ayah... bekas guru. Kerjanya dibuat sama ada di sekolah atau di bilik bacaan yang dibina sendiri di tepi bilik Daniel. Tapi dapur ini sudah menjadi tempat wajib untuk ayah setiap kali balik kerja dan sebelum pergi kerja.

Arwah ayah sangat mahir memasak. Menu makan malam selalunya ayah akan masakkan. Sarapan pagi juga ayah akan sediakan jika sempat. Cuma makanan untuk tengah hari saja ibu ambil alih gara-gara ayah masih di sekolah.

"Termenung apa itu?"

Daniel menoleh. Ibu yang datang menghampiri dengan muka bertepek bedak sejuk dipandang kasih. Inilah satu-satunya insan yang penting buat dirinya sekarang.

Daniel lega, akhirnya dia boleh juga bertemu dengan ibu selepas sekian lama tidak bersua.

Baru dua hari lepas dia tiba di Malaysia selepas dua bulan terlibat dengan dua misi sekaligus. Kali ini, ejen-ejen yang terlibat dengan kes Herro diberi cuti selama tiga bulan. Mereka cuma akan dipanggil sekiranya ada misi khas atau urusan kecemasan di mana kepakaran mereka diperlukan.

Jadi sekarang, Daniel mahu luangkan masa dengan ibu sebanyak yang dia boleh. Kasihan dengan ibu. Sudahlah anak cuma seorang, yang seorang ini pun tidak lekat di rumah. Sibuk memanjang.

"Tak ada apa-apalah, ibu. Tengah tengok siling dekat atas itu saja. Niel ingat nak bersihkan sawang atas itu. Alang-alang Niel ada dekat rumah ini."

"Oh, buatlah. Ibu dah tak larat nak jenguk atas lama-lama. Sakit leher nanti," balas ibu seraya melabuhkan duduk di sisinya.

Automatik tangan Daniel naik mengurut belakang leher ibu. "Banyak ke ibu dapat upah menjahit?"

Sejak arwah ayah meninggal, ibu mula berjinak-jinak dengan aktiviti menjahit untuk menghilangkan bosan berseorangan di rumah. Hari ini – selepas hampir sepuluh tahun berkecimpung dalam bidang menjahit – tahap kemahiran ibu sudah boleh dikira sebagai profesional. Dari pakaian hingga langsir, semua boleh dijahitnya. Sampai ibu boleh menerima tempahan daripada rakan-rakan dan orang kampung.

"Banyaklah juga. Dua bulan lagi kan dah nak puasa. Ramai yang takut ibu tutup tempahan awal kalau banyak sangat order," jawab ibu. Matanya dipejam menikmati urutan di lehernya. Memang selalu lehernya lenguh gara-gara berjam-jam menunduk menghadap mesin jahit.

"Habis itu sekarang buka order lagi ke?" Soal Daniel lagi.

"Tak buka dahlah. Ini pun dah tak cukup tangan nak siapkan. Ibu kalau boleh nak siapkan semua sebelum puasa. Susah nak tarawih lagi, mengaji lagi apa semua."

AX801: A Faltering DeceptionWhere stories live. Discover now