Bab 1

60 1 0
                                    

AIR matanya mengalir lebat. Dia cuba untuk tak menangis, tapi apa yang sedang dia rasakan saat ini begitu menyakitkan. Dada kiri terasa ngilu sekali. Dunianya seakan- akan menjadi gelap serta merta.
Sungguh, ujiannya ini terlalu berat untuk dia tempuh. Dia jadi lemah tak berdaya. Dia tahu, ujian yang datang adalah satu bentuk kasih sayang Allah kepada hambaNya. Dan, sebagai hamba Allah dia sepatutnya reda.
Namun, menyebut perkataan reda pada saat ini terasa begitu payah sekali. Susah untuk dirinya memujuk hati supaya terus tabah. Tanyalah kepada mana-mana perempuan dalam dunia ini siapa yang boleh reda menerima hakikat suami yang dianggap lelaki paling setia rupanya diam-diam sudah menikah lain.
Realiti yang begitu perih untuk dia terima. Yang lebih menyedihkan rupanya sudah satu tahun dia hidup berkongsi suami tanpa dia sendiri sedari. Kalau tak sebab dia ternampak pesanan Whatsaap di telefon suaminya itu, agaknya sampai mati dia tak akan pernah tahu dirinya sedang dimadukan dalam diam.

Ya ALLAH. Air matanya menitis lagi.
Dia tersangat marah. Hatinya teruk dengan rasa kecewa. Tapi dia juga tak mampu mengubah apa yang telah berlaku. Dirinya hanya mampu menangis, berharap rasa sakit dalam hatinya berkurangan.
"Kenapa?" Dia menyoal lirih. Nada suaranya serak penuh hiba. Wajahnya juga keruh. Tergambar jelas kesedihan hatinya.
Wajah lelaki yang menjadi teman hidupnya selama 15 tahun itu dia pandang tepat.
Ikutkan hati yang marah, dia mahu memaki hamun lelaki yang bergelar suami itu. Tapi dia masih simpan rasa hormat. Selebihnya, dia rasa tak ada gunanya luahkan marah yang berlebihan.
Keadaan takkan berubah. Dia tetap dimadukan!
"Kenapa, abang?" soalnya lagi.
Soalan yang berlegar-legar dalam kepala saat dia mengetahui pernikahan kedua suaminya itu. Dia tertanya-tanya sendiri, mencari kekurangan diri.
Apa yang masih tak cukup? Selama 15 tahun hidup bersama, dia tak pernah gagal tunaikan tanggung jawabnya sebagai seorang isteri.
Segala makan minum dan layanan di atas katil dia penuhi dengan sempurna. Tapi kenapa suaminya masih mencari perempuan lain?
Takkan sebab dia dah tua? Dia menggeleng-geleng kepala beberapa kali.
Usianya baru 40 tahun. Malah, ramai orang beranggapan dirinya masih berada di usia awal 30-an. Selama ini dia juga menjaga tubuh badannya dengan baik.
Ah, Syahril saja lelaki yang tak sedar dia. Berlagak menjadi lelaki muda walhal usia sudah pun menghampiri 46 tahun.
Dia pejamkan mata. Menahan rasa sakit yang kembali menyerang hatinya.
"Abang minta maaf."
"Saya nak tahu kenapa abang kahwin lagi? Apa yang kurang dari Mel?" pantas Melani menyoal. Dia tak mahu ucapan maaf, dia hanya mahu penjelasan dari suaminya itu. Dia mahu tahu dimana kekurangannya sehingga Syahril tega melukai hatinya dengan begini kejam.
"Mel tak ada kekurangan apapun."
"Then kenapa abang kahwin lagi?" Bidas Melani dengan suara yang meninggi. Dia marah dengan jawapan suaminya itu. Kalau benar dia tak ada kekurangan, kenapa suaminya itu perlu mencari perempuan lain?
Perempuan yang lebih muda pulak tu!
Syahril mengeluh. Dia rasa tertekan.
"Sebab abang menyayangi Farah." perlahan suara Syahril. Dia menunduk. Tak berani mahu membalas renungan tajam isterinya. Dia mengaku salah kerana sembunyikan tentang pernikahannya bersama Farah. Tapi dalam masa yang sama dia sedikit pun tak rasa menyesal kerana menikahi Farah.
Dia mencintai Farah. Dia juga mampu dari segi kewangan. Jadi tak salah kalau dia menikah lagi. Agama juga tak melarang poligami.
"Macam mana dengan Mel? Abang dah tak sayang Mel?" Soal Melani bersama esak tangis. Hatinya terluka teruk mendengar pengakuan sayang yang keluar dari bibir Syahril untuk isteri keduanya itu.
"Abang pun sayang Mel."
"Bullshit!" tempik Melani. Dia tak mampu lagi mengawal diri. Marahnya meluap-luap.
"Macam mana abang boleh sayang dua perempuan dalam satu masa, hah? Abang
memang lelaki tak guna, tahu tak!" ujar Melani penuh emosi. Naik turun dia mengatur nafasnya agar dia tidak bertindak melakukan yang bukan-bukan. Kalau diikutkan hati dia mahu kerjakan Syahril itu cukup-cukup.
Syahril diam. Dia pandang wajah isterinya itu dengan rasa bersalah. Terus terang, dia masih menyayangi Melani. Perasaannya terhadap Melani masih sama seperti dulu. Hanya saja kedudukan Melani sedikit bergeser jauh dari hatinya. Dan tempat itu telah digantikan dengan nama Farah.
"Mel..."
"Lepaskan Mel."
"No!"
"Mel tak nak hidup bermadu." "Abang mampu bersikap adil, Mel."
"Persetan dengan sikap adil abang tu. Mel tak nak hidup bermadu. Ceraikan Mel!" Jerit Melani sekuat hati. Dia jadi benci dengan sikap pentingkan diri sendiri Syahril.
Apa hanya dengan bersikap adil luka hatinya akan segera sembuh?
Syahril fikir dengan bersikap adil saja dia boleh melupakan penipuan suaminya ini dengan mudah?
Huh! Sampai mati dia takkan lupa.
Selama satu tahun kut dia ditipu hidup- hidup. Selama setahun ini jugak Syahril berlakon sebagai suami yang paling baik. Tapi rupanya Syahril sedang menyimpan bangkai di belakangnya.
"Abang takkan ceraikan Mel."
"Kalau macam tu, kita jumpa kat mahkamah. Mel sendiri akan buat permohonan untuk bercerai."
Syahril cemas. Dia tak mahu bercerai. Dia tak mahu melepaskan Melani, dia masih sayangkan isterinya itu.
"Mel, kita masih boleh berbincang baik- baik kan? Abang tak nak kita berpisah. Macam mana dengan Rayyan? Dia masih muda, dia perlukan kita sebagai orang tuanya."
Melani senyum sinis.
"Masa abang menggatal dan kahwin dengan perempuan tu tak ada pulak abang fikir pasal Rayyan? Mel tak nak ubah keputusan. Mel nak kita berpisah. Tak ada apa lagi yang boleh kita bincangkan. Abang pilih, nak ceraikan Mel atau Mel sendiri yang buat permohonan cerai tu." Tegas Melani.
Dia tak mahu bermadu. Cukuplah selama satu tahun ini dia jadi perempuan bodoh yang percayakan Syahril. Sekarang, dia mahu bangkit. Walau dia terpaksa korbankan pernikahannya selama 15 tahun ini.
Biarlah. Yang penting, hidupnya lebih tenang. Dia yakin Allah tak kejam. Pasti akan ada bahagia yang menantinya di depan sana.
Syahril merengus kasar. Dia jadi marah dengan kedegilan isterinya itu.
"Terserah, Mel. Tapi abang takkan lepaskan Mel sampai bila-bila."
Selepas berkata demikian, Syahril laju melangkah keluar rumah. Meninggalkan Melani yang kembali menangis kesedihan.
Tak pernah terfikir di benaknya, pernikahan yang dia bina bersama cinta selama 15 tahun ni kandas hanya kerana orang ketiga.
Allah... aku mahu jadi manusia yang tabah. Berikanlah kekuatan kepadaku.

SEHARUSNYA AKUWhere stories live. Discover now