Bab 3

34 0 0
                                    

CANTIK!
Melani memuji madunya itu dalam hati. Patutlah Syahril tergila-gilakan perempuan ini. Bukan hanya cantik, tapi juga masih sangat muda. Sekilas tengok dia boleh agak perempuan ini masih berusia awal 20an.
Wajahnya juga lembut tapi sayang tak sesuai dengan perangainya yang suka menggatal dengan suami orang. Dasar pelakor!

Astagfirullah. Melani tarik nafas, dia cuba tenangkan diri. Tak mahu terhasud dengan kemarahan yang hanya sesaat.
Dia pandang perempuan bernama Farah itu. Kemudian, dia berkalih memandang ke arah suaminya yang duduk di sebelah isteri mudanya itu. Wajah Syahril nampak tertekan.
Melani tersenyum sinis. Dia yakin, selepas ini wajah itu pasti akan bertambah tertekan. Lantaklah! Dia tak mahu peduli lagi.
Hari ini dia sengaja luangkan masanya untuk bertemu dengan suami dan isteri barunya itu. Ada perkara serius yang dia mahu bincangkan. Lebih tepatnya, dia mahu berbincang tentang keputusannya yang mahu mengakhiri pernikahan mereka berdua.

"Dah berapa lama kau kenal Syahril?" Tanya Melani. Merenung tajam wajah Farah. Kalau ikutkan perasaan marah, mungkin penampar sulungnya akan hinggap di pipi gadis ini. Tapi dia juga tak mahu terlihat seperti perempuan bodoh. Walau hatinya penuh luka, dia tetap mahu terlihat sebagai perempuan yang ada maruah.

Tak ada gunanya dia bergaduh dengan Farah hanya kerana lelaki seperti Syahril. Hanya buat penat emosi dan tenaga saja.

"Dua tahun." Farah jawab pendek. Dia menunduk. Tak berani memandang wajah Melani. Perasaannya berbaur-baur.
Melani senyum segaris. Dia rasa tak percaya, rupanya selama dua tahun ini dia ditipu hidup-hidup dengan lelaki yang bergelar suami.
Allah. Dia sebak. Tapi dia takkan sesekali menangis di hadapan mereka.

"Kau sayang dia?"

Farah mengangguk. Mulut terkatup rapat. Tiba-tiba dia jadi tak pandai untuk bersuara.

"Kau masih sayang dia walau tahu lelaki ni dah kahwin? Ada isteri dan juga anak?"

"Mel..." Syahril menegur.

"Abang diam." Tegas Melani. Merenung suaminya itu tajam. Dia mahu tahu segala-galanya tentang penipuan suaminya itu. Cukuplah selama satu tahun ini dia menjayakan watak sebagai pelakon bodoh yang dengan mudahnya di tipu.
Farah masih membisu. Dia mengangguk saja sebagai jawapan.

"Kenapa?"

Farah beranikan diri memandang wajah Melani. Wajah itu terlalu garang dan menakutkan. Dia kembali menunduk. Tak berani memandang lama-lama. Dadanya berdebar-debar. Dia takut.

"Kau masih muda dan juga cantik. Tapi kenapa kau pilih suami orang jugak nak jadikan suami? Dah pupus ke lelaki bujang dalam dunia ni, hmm?"

"Stop, Mel!" Syahril tinggikan suara. Kalau dia sendiri sakit hati mendengar kata- kata Melani, apatah lagi dengan Farah. Dia melirik wajah isteri mudanya itu. Farah menunduk dengan riak sendu. Dia jadi simpati. Dia dekati isterinya, bahu Farah dia peluk. Mahu menenangkan hati Farah yang mungkin sudah terluka.

Dan, tanpa Syahril sendiri sedari ada hati yang lebih teruk lukanya. Melani tahan pedih di hati melihat sikap mesra suaminya itu. Syahril sungguh kejam sedikit pun langsung tak memikirkan perasaannya. Syahril memang jantan tak guna!
Dia tahu, Farah isteri Syahril. Tapi tak bolehkah ada sedikit rasa simpati dalam hati suaminya itu untuk dirinya? Perlukah dia memeluk Farah di hadapannya?

"Betul kan apa yang saya cakap? Dia masih muda. Dia boleh dapat lelaki yang jauh lebih sepadan dari diri dia, tapi kenapa masih nak pilih suami orang? Lelaki tua yang beza hampir 20 tahun lebih dari usia kau? Apa yang kau cari sebenarnya?"

"Stop, Mel! Anggap saja dah memang jodoh abang dengan Farah."
Melani terdiam. Dia kehilangan suara untuk membalas. Wajah suaminya dia pandang dengan rasa tak percaya. Tak percaya dengan apa yang dia dengar sebentar tadi. Lambat-lambat dia ketawa. Sinis. Sangat sinis!

"Sebab jodoh?"
"Ya. Anggap juga ini sebagai ketentuan Allah. Kalau tak, paksa macam mana sekali pun kalau memang Farah bukan jodoh abang kami berdua takkan menikah. Abang mengaku salah sebab rahsiakan pernikahan abang dengan Farah. Tapi sekarang ni patutnya Mel menerima dengan ikhlas. Abang bukannya tak mampu untuk bersikap adil. Agama juga tak melarang poligami."

Mendidih darah Melani mendengar hujah Syahril itu. Kalau tak fikirkan mereka sedang berada di dalam pejabat suaminya itu, memang dia maki hamun saja Syahril. Tapi dia sabarkan hati. Dia tak mahu seluruh karyawan dalam pejabat ini tahu tentang kemelut rumah tangga yang dia dan Syahril sedang hadapi. Setidaknya, dia mahu terlihat sebagai perempuan yang kuat. Walau disakiti tapi masih terlihat tenang dan tabah.

"Pergi jahanam dengan sikap adil abang tu!" perlahan tapi terdengar sangat tegas suara Melani. Dia jadi jelik dengan sikap suaminya itu. Agama memang tak melarang
poligami. Tapi sebagai perempuan yang tak suka berkongsi, dia menolak poligami.
Dia tak rela hidup bermadu.

"Mel..."

Tapi pantas Melani membidas bicara Syahril. "Mel tak nak dengar apa-apa lagi. Abang buat pilihan, sama ada abang nak ceraikan Mel atau Mel sendiri yang pergi mahkamah buat permohonan cerai tu." Tegas. Muktamad.

"Abang takkan ceraikan Mel."
"Kalau macam tu abang tunggu ajelah surat cerai dari mahkamah."
Renungan berbalas renungan. Syahril sangat marah dengan sikap keras kepala isterinya itu. Apa salahnya kalau Melani hidup bermadu? Dia bukannya tak mampu untuk bersikap adil. Ah, Melani memang mengada-ngada!

"Mel tak fikir perasaan Rayyan ke? Dia pasti akan kecewa bila tahu kita akan berpisah? Cuba jangan nak buat keputusan sendiri, Mel. Fikir juga perasaan keluarga kita! Dah 15 tahun kita kahwin, takkan hanya sebab abang kahwin lain Mel nak hancurkan pernikahan kita?"

"What? Abang tuduh Mel yang hancurkan pernikahan kita? Eh, semua ni tak akan berlaku kalau abang tak kahwin senyap- senyap dengan perempuan tu tahu tak!" Pekik Melani. Kesabarannya kian menipis. Syahril betul-betul lelaki menyebalkan!
"Sepatutnya sebelum abang ambik keputusan nak kahwin dengan perempuan tu, abang fikir perasaan Rayyan! Fikir perasaan keluarga! Apa yang berlaku sekarang ni semua berpunca dari salah abang sendiri. Abang yang gatal nak kahwin lagi!"

"Apa salahnya kalau abang kahwin lagi? Abang mampu! Abang boleh bersikap adil!"

"Memang tak salah kalau abang nak kahwin lagi, masalahnya saya tak nak bermadu! Saya tak nak berkongsi suami. Saya tak mahu ada perempuan lain dalam pernikahan kita, faham?"
"Kat luar sana ramai lagi lelaki kahwin lebih dari satu, tapi mereka semua hidup bahagia. Tak ada pun yang sampai bercerai. Mel aje yang mengada-ngada, tamak sangat. Pernikahan kita takkan hancur kalau Mel boleh terima Farah sebagai isteri kedua abang. Farah baik. Dia pun tak kisah hidup bermadu."

Melani mengeluh. Kuat. Keras. Berkali- kali dia beristigfar dalam hati. Rasa nak cekiki-cekik saja Syahril.

"Dia memang tak kisah bermadu sebab dia yang kahwin dengan suami Mel. Dia tak kisah bermadu sebab dia datang pada saat abang dah ada segalanya. Tapi Mel ni. Mel yang ada pada saat abang susah tahu tak! Mel yang teman abang pada saat abang masih tak ada apa-apa!"

"Ah, semua tu alasan Mel aje. Ramai perempuan yang berkongsi suami tapi mereka hidup baik-abaik aje. Mel memang sengaja nak hancurkan pernikahan kita."

Ya ALLAH. Melani sungguh tertekan dengan sikap suaminya itu. Dah jelas terbukti salah tapi masih tak nak mengaku. Huh!
"Mel tetap nak berpisah!"

"Abang takkan ceraikan Mel sampai mati!"
Mata saling bertentangan. Tajam. Rasanya tak ada gunanya dia berbincang dengan Syahril, hanya buat penat emosi dan tenaga saja. Suaminya itu tetap bertegas tak mahu berpisah. Tapi dia juga takkan mengalah. Dia semakin nekad mahu akhiri pernikahannya ini. Untuk apa bertahan berada dalam pernikahan yang mula tak membahagiakan?
Benar, dia memang tamak dalam soal kasih sayang. Dia tak mahu berkongsi!

SEHARUSNYA AKUWhere stories live. Discover now