LUR | PROLOG

1.1K 186 20
                                        

PAGI itu, Lily bangun sedikit lewat berbanding biasa. Kelopak mata masih terasa berat, tetapi dia memaksa diri untuk bangun. Tak semena-mena momen bersama Raqib malam semalam kembali bermain di fikiran, membuatkan Lily tersipu-sipu malu.

Dia kembali menjatuhkan badannya di atas katil dan bergolek-golek beberapa kali sambil memeluk erat bantal. Perasaan bahagia itu sukar disembunyikan, terutamanya selepas mendengar pengakuan Raqib malam semalam. Lily terasa seperti di awang-awangan!

"Hei, anak dara! Tak bangun lagi ke?" Suara Nek Hawa kedengaran dari luar bilik, disusuli dengan ketukan pada daun pintu.

Lily tersentak. Cepat-cepat dia duduk tegak dan merapikan rambut kusutnya dengan jari.

"Dah bangun, nek!"

"Pergi mandi cepat! Matahari dah tinggi ni. Tak elok anak dara bangun lewat-lewat begini!"

"Baik, nek! Kejap lagi Lily turun!"

Setelah memastikan Nek Hawa berlalu dari pintu, Lily menghembus nafas panjang. Punah rancangannya untuk terus berangan lebih lama di atas katil.

Tuala yang tergantung di sudut bilik dicapai lalu disarungkan ke kepala untuk menutup rambut yang terdedah. Lily berjalan ke arah tingkap bilik, menarik perlahan selak kayu dan membuka tingkap untuk membiarkan udara pagi menyusup masuk.

Angin pagi yang sejuk menyapa lembut kulit mukanya membuatkan Lily tersenyum kecil. Udara pagi di kampung selalu punya cara yang tersendiri untuk membuat hatinya terasa tenang.

Namun, senyuman itu berubah menjadi kekeliruan apabila matanya tertumpu pada seseorang di halaman rumah.

Di sana, Raqib sedang menyapu daun-daun kering yang berselerakan di atas tanah dengan tekun. T-shirt putihnya tampak sedikit lusuh tetapi nyaman dipakai dan setiap gerak-gerinya langsung tidak kelihatan kekok.

Lily memiringkan kepalanya sedikit, cuba memahami kenapa lelaki itu berada di halaman rumahnya pagi-pagi begini.

Raqib yang seperti menyedari dirinya sedang diperhatikan segera mengangkat kepala. Pandangan mereka berdua bertaut seketika dan Lily yang terkejut lekas melarikan matanya ke tempat lain. Kehadiran lelaki itu dibuat seolah-olah tidak wujud.

Namun, usaha Lily sia-sia apabila Raqib mula melambai ke arahnya dan menyapa, "Selamat pagi, tuan puteri! Lena tidur?"

Lily mengetap bibir, cuba menahan rasa malu yang membuak. Dia menjeling sedikit ke arah lelaki itu sebelum membalas, “Awak buat apa kat situ? Sejak bila rumah ni ada tukang kebun baru?”

"Sejak... ada bunga dalam rumah ni yang saya nak petik?"

Lily terkedu. Mukanya serta-merta memanas. Dia mencebik sedikit, cuba mengawal perubahan riak wajahnya agar tidak terlalu ketara.

"Bunga apa? Saya tak nampak awak tengah petik bunga pun sekarang."

“Bunga tu tak ada dekat halaman rumah, tapi ada dekat tingkap bilik tu." Raqib menunjuk ke arah Lily dengan hujung batang pencakar sampah di tangannya.

Lily membulatkan mata, terkejut dengan jawapan itu. Dia membuka mulut untuk membalas, tetapi belum sempat dia berkata apa-apa, ada suara lain terlebih dahulu menyampuk.

"Amboi, amboi, amboi! Pagi-pagi dah manis semacam! Bersemutlah rumah ni nanti!" Nek Hawa muncul dari arah dapur, mengejutkan mereka berdua.

"Raqib, kalau dah suka sangat, cepat-cepatlah ajak kahwin. Tak payah minta izin nak kenal-kenal. Terus aje jabat tangan dengan tok kadi. Nenek dan atuk lebih dari setuju!" seloroh Nek Hawa lagi.

"Nenek!"

Raqib ketawa halus. Wajahnya nampak selamba, tapi telinga yang sudah merah jelas menunjukkan dia juga berasa malu.

"Tak ada apa-apalah, nek. Saya cuma tengah sapu sampah aje. Banyak sangat daun gugur hari ni," jawab Raqib sambil mengangkat pencakar sampah di tangan,  menepis usikan itu dengan menunjukkan bukti.

“Yalah, sapu sampah sambil curi hati cucu orang, kan? Bijak sungguh taktik kamu ni, Raqib!” Nek Hawa mengusik lagi sebelum dia berpaling memasuki dapur sambil ketawa kecil.

Lily tidak tahu mahu menyorokkan mukanya di mana lagi. Malu sungguh dia dengan usikan Nek Hawa itu. Rasa macam benam sahaja kepala ke dalam tanah!

Raqib meletakkan pencakar sampah ke tepi. Perlahan-lahan, dia melangkah mendekati jendela bilik Lily. Gadis itu masih berdiri di situ dengan wajah merah padam, persis udang kena bakar.

"Lily..." Raqib memanggil lembut.

Lily mengangkat pandangannya, memandang Raqib yang kini berdiri di bawah jendela.

"Ya?"

"Mungkin nenek betul. Forget the introduction. Let's get married instead."

Lily Untuk Raqib [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang