KERTAS dilipat untuk membentuk beberapa kotak persegi kecil-kecil. Khusyuk Airish membuat origami berbentuk bunga mawar sehingga tanpa sedar, beberapa bentuk origami lain sudah memenuhi meja belajarnya.Itulah yang akan dilakukan oleh Airish setiap kali dirinya berada dalam tekanan. Bermain origami untuk menenangkan diri dari terlalu banyak berfikir. Tambahan, arwah ibu kandungnya dulu sering melayan minatnya bermain origami. Airish sendiri terpegun dengan kebolehan arwah ibunya yang hebat membentuk pelbagai jenis origami.
Namun, perhatian Airish pada origami terganggu apabila kertas kecil di tangannya dirampas oleh ibu tirinya, Puan Rozila yang sudah berdiri di sebelahnya. Headphone di kepalanya juga ditarik kasar oleh Puan Rozila.
"Kau ni pekak ke? Aku panggil banyak kali tak reti nak menyahut?" Marah Puan Rozila.
Airish sekadar menayangkan muka toya kerana dia sudah lali diherdik begitu oleh Puan Rozila. Menjawab salah, duduk diam pun salah. Serba tidak kenalah di mata ibu tirinya itu. Malas mahu melayan kemarahan Puan Rozila, Airish meneruskan membuat origami lain.
"Kau jangan nak kurang ajar, Airish! Aku bercakap dengan kau ni." Puan Rozila bengang dengan sikap anak tirinya yang suka bagi dia naik darah.
"Siapa yang kurang ajar sekarang? Saya atau Puan?" Mendatar Airish bertanya. Dia langsung tidak memanggil wanita itu dengan panggilan ibu. Baginya, tiada siapa yang boleh menggantikan tempat ibu kandungnya, Puan Asyikin.
"Jangan nak cabar aku, Airish! Aku dah cukup marah dengan perangai kurang didikan kau ni. Arwah ibu kau tak ajar ke cara hormat orang tua hah?" Origami yang berselerakan di meja belajar Airish dipandang oleh Puan Rozila. "Arwah ibu kau ajar kau main benda bodoh ni je ke?"
Terasa darah menggelegak naik sampai ke kepala mendengar kata-kata penuh hinaan yang dilemparkan kepada arwah ibunya. Sangat melampau!
"Watch out your mouth! Saya masih lagi boleh bersabar kalau Puan nak hina saya, tapi jangan libatkan arwah ibu saya." Bergetar suara Airish mengukap kata. "Sikap saya terhadap Puan adalah kehendak dari diri saya sendiri. Bagaimana layanan Puan kepada saya, begitulah layanan saya kepada Puan. Adil dan sama rata. Lagi pun, orang seperti Puan memang tidak patut dihormati."
Mencerlung bola mata Puan Rozila mendengar ucapan berbaur sindiran daripada Airish itu.
"Tak guna punya budak! Kau memang patut diajar!"
Puan Rozila mencapai origami-origami yang dibuat oleh Airish dan menggoyakkannya lalu dibaling ke lantai. Tidak cukup dengan itu, balang kaca yang berisi origami berbentuk bintang kecil turut dipecahkan ke lantai.
"Puan! Apa Puan buat ni hah?!" Suara Airish meninggi. Segera dia menahan tangan Puan Rozila dari mencapai balang kaca yang kedua.
"Aku nak ajar kau cukup-cukup. Biar tahu berhenti main benda mengarut ni. Kalau tak, kerja kau asyik terperap aje dalam bilik! Sakit mata aku tengok anak dara pemalas macam kau ni!"
"Saya pemalas atau tak, saya ada kacau hidup Puan ke?! Tak kan?! Sebaliknya, Puan yang kacau hidup saya!"
"Apa kau cakap? Aku kacau hidup kau? Aku kacau apa?" Merah muka Puan Rozila apabila ditempelak oleh Airish.
"Puan dah kacau keluarga saya! Puan dah hancurkan keluarga saya! Sebab Puan, ibu saya meninggal!" Bagai histeria, Airish menjerit lantang.
YOU ARE READING
CYPHER
RomanceQARIZH ARRAZI, seorang pilot fighter mengalami trauma apabila misi yang diketuainya dua tahun yang lepas telah mengorbankan nyawa-nyawa pasukannya. Dek kejadian jet pejuang diserang hendap oleh musuh, Qarizh perlu memikul perasaan bersalah sehingga...