'TUK... TUK... TUK...'Ketukan di muka pintu kedengaran di awal pagi. Terkocoh-kocoh seorang wanita berlari untuk membuka pintu kerana tidak mahu tetamu menunggu lama.
"Assalamualaikum Mak Lang..."
Airish menghadiahkan senyuman sebaik pintu rumah di buka. Wajah ibu saudaranya terpancul di muka pintu dengan riak terkejut.
"Waalaikumussalam. Airish? Airish ke ni?" Puan Asyura meraih kedua-dua bahu Airish. Dipandang gadis itu dari atas dan ke bawah.
"Yela, Airish lah ni. Takkan jelmaan Airish pula." Airish ketawa kecil seraya mendapatkan tangan Puan Asyura untuk disalami. "Rish minta maaf sebab datang secara mengejut macam ni."
"Eh, takpe. Pintu rumah Mak Lang sentiasa terbuka untuk kamu. Tapi, kenapa kamu datang awal pagi macam ni? Kamu dari mana ni?" Soal Puan Asyura risau dengan kemunculan Airish pada pukul empat pagi.
Airish adalah satu-satunya anak saudara kepada arwah adiknya. Dia juga telah menganggap Airish seperti anak sendiri. Cuma, dia jarang berjumpa Airish semenjak arwah adiknya meninggal dunia.
"Rish dari rumah..." Belum sempat Airish menghabiskan ayat, Puan Asyura terlebih dahulu memotong percakapannya.
"Kamu datang dengan baba kamu ke?" Kepala dijengah untuk melihat ke luar halaman rumah.
Airish menggeleng perlahan.
"Tak Mak Lang, Rish datang sorang aje." Jawab Airish. Dia menaiki pengangkutan awam dari Kuala Lumpur untuk ke Perak.
"Ya Allah, Airish! Bahayalah!" Puan Asyura menampar perlahan lengan Airish. "Dah, jom kita masuk ke dalam dulu."
Airish menurut. Dia duduk di ruang tamu bungalow mewah milik ibu saudaranya. Lama betul dia tidak jejak kaki ke sini.
"Ni, Mak Lang tak nak berteka-teki. Kamu gaduh dengan baba kamu lagi ke?" Soal Puan Asyura tanpa mukadimah. Bukannya dia tidak tahu kepincangan hubungan dua beranak itu.
Airish yang tidak mampu berselindung hanya mengiyakan. Kepalanya diangguk. Tiada rahsia antara dia dan Puan Asyura. Hanya Puan Asyura satu-satunya tempat dia mengadu selepas kematian Puan Asyikin.
"Itulah, Mak Lang ajak kamu duduk dengan Mak Lang, kamu tak nak. Tengok, setiap masa kamu asyik gaduh dengan baba kamu." Bebel Puan Asyura.
"Rish bukan tak nak duduk dengan Mak Lang, tapi Rish tak naklah berpisah dengan baba." Suara Airish bertukar kendur.
"Kenapa, Rish? Ada apa-apa jadi ke?" Prihatin Puan Asyura bertanya.
Airish yang tidak mampu menyorok kesedihan terus mendakap tubuh Puan Asyura. Di bahu wanita itu, dia melepaskan tangisan yang bersarang.
"Shhh... cuba cerita dekat Mak Lang. Apa yang jadi sebenarnya?"
"Baba– baba– baba dah buang Rish." Teresak-esak dia menangis bagaikan air terjun yang mengalir. "Rish tak nak berpisah dengan baba, tapi... baba dah tak perlukan Rish sebagai anak dia."
Mengucap panjang Puan Asyura mendengar rintihan anak saudaranya. Belakang tubuh Airish dibelai perlahan untuk meredakan tangisan lebat itu. Jatuh simpati dia kepada Airish. Sudahlah kehilangan ibu, sekarang kehilangan bapa pula.
"Sabar, Rish. Mak Lang ada dengan kamu." Pujuk Puan Asyura.
Setelah puas menangis, Airish mengusap wajahnya dari sisa tangisan. Puan Asyura turut membantu mengusap wajah mulus itu.
"Dah, kamu tak perlu menangis lagi. Mak Lang tak suka tengok kamu sedih." Puan Asyura tidak mahu bertanya lanjut punca pergaduhan Airish dan Encik Ajwad. Risau akan memudaratkan Airish lagi. "Kamu rehatlah dulu, kamu mesti penat ni."
YOU ARE READING
CYPHER
RomanceQARIZH ARRAZI, seorang pilot fighter mengalami trauma apabila misi yang diketuainya dua tahun yang lepas telah mengorbankan nyawa-nyawa pasukannya. Dek kejadian jet pejuang diserang hendap oleh musuh, Qarizh perlu memikul perasaan bersalah sehingga...