BAB 1

262 30 0
                                    

JAM di pergelangan tangannya dikerling. Sesekali, dia melingas ke arah kesibukan di lapangan terbang. Mencari penumpang yang baru saja keluar dari balai pelepasan. Bingkai kaca mata hitamnya dibetulkan tatkala menyedari beberapa pasang mata sedang ralit memerhatikan penampilannya.

"I teringin nak jadi orang normal. Tapi nampak gayanya I selekeh pun orang tetap nak pandang lama-lama."

Mendengar keluhan teman wanitanya membuatkan Marzuki tertawa kecil. Dia pandang sekumpulan wanita dan lelaki yang seakan-akan tak lekang memandang figura si gadis kecil molek yang hanya mengenakan baju crop top bersama seluar kargo.

Masing-masing seakan mencuci mata melihat penampilan si gadis yang sedang memaut pinggangnya.

"Orang cantik macam you... siapa je tak terpukau? Nama you tengah naik kut. Syarikat pengiklanan tengah berebut-rebut nak jadikan you duta produk dia orang. You kenalah terima hakikat yang semua orang suka pandang benda cantik."

Buat seketika, pasangan itu saling bertaut pandangan. Si gadis tersenyum sinis tatkala pujian si teman lelaki membuatkan dia bangga. Suka benar menerima pujian yang membuatkan hatinya seakan berterbangan dengan kelopak-kelopak bunga.

"I tak sabar nak jadi suami you. I bangga tahu nama you dah masuk dalam kategori The 100 most beautiful faces. Nanti, mesti anak-anak kita cantik macam mamanya juga."

Tak semena-mena, Hayla tertawa sinis. Disenggolnya pinggang Marzuki yang sudah mula mood mengusik itu. Kepalanya digelengkan.

"You nak kahwin dengan I? You biar betul bie?"

"Ada nampak muka I macam muka main cak cak ke?" Marzuki mengunjuk wajahnya tika nada suara Hayla kedengaran sinis. Tercabar.

"Syarat daddy pun you tak mampu tunaikan. Macam mana nak kahwin dengan I? Alamatnya, sampai ke tualah kita tak kahwin-kahwin selagi you tak ikut apa yang dia minta," sindir Hayla. Keluhan berat dilepaskan tatkala teringatkan syarat si ayah yang membuatkan dia sendiri bungkam.

"Hafal surah Ar Rahman sebagai hantaran. Haish! Susahlah macam ni. Apa kata, kita kahwin lari..."

Tak semena-mena, Marzuki kematian kata tika Hayla menampar lengan kekarnya. Tersentak si pemuda berkulit kuning langsat itu dengan kekasaran Hayla. Dia tersengih tatkala Hayla sudah memandangnya tajam.

"Jaga sikit mulut you. Karang ada yang ingat I betul-betul kahwin lari pula. Tak pasal-pasal ada gosip baru," bisik Hayla dengan nada penuh autoriti.

"Lagi pun... relakslah. Tak payah nak fikir sangat pasal kahwin. Kahwin tu tak menjaminkan kebahagiaan pun. Hari ni kita bahagia esok entah-entah dah bercerai berai terus. Betul tak?" tambah Hayla lagi. Kening kirinya dijungkitkan tatkala riak wajah Marzuki kelihatan sedikit kecewa.

"Tapi at least kalau kita kahwin... you jadi hak milik I..."

"Sekarang pun I dah jadi hak milik you, bie. Tak payah nak risau sangatlah. Semua orang tahu yang Cik Hayla ni dah berpunya. Tak ada yang berani rembat I daripada you pun! Eh dahlah! Jom cari daddy."

Marzuki tersentak tatkala Hayla menarik tangannya menuju ke pintu balai pelepasan. Dia sendiri kematian akal untuk memujuk si teman wanita untuk membina hubungan yang serius di antara mereka. Hailah. Kenapalah syarat yang diberikan oleh Datuk Sulaiman itu begitu sukar?

Dia ini solat lima waktu pun selalu ditinggalkan. Apatah lagi mahu menghafal Surah Ar Rahman. Memang dia angkat kaki serta-merta daripada syarat itu.

"Daddy!"

Sebaik saja figura Datuk Sulaiman kelihatan, laju saja Hayla melangkah ke arah si ayah yang sedang beriringan dengan dua orang lelaki sambil berbual. Sesekali, perbualan mereka diselangi dengan gelak tawa. Entah apa yang menghiburkan pun Hayla tak tahu.

"Daddy! Rindunya Hayla dekat daddy!"

Sontak, langkah Datuk Sulaiman terhenti tatkala tubuhnya terus dipeluk erat oleh si anak. Senyuman nipis terkulum di bibir pucatnya tatkala kepulangannya disambut dengan kehangatan Hayla. Merindukan si anak yang banyak kerenah itu.

Namun, senyuman itu hanya seketika tatkala pandangannya bertaut dengan Marzuki.

"Uncle... welcome back." Marzuki menghulurkan tangannya kepada Datuk Sulaiman. Cuba beramah mesra. Malangnya, kehadirannya seakan dianggap halimunan saja oleh usahawan itu.

"Hayla... lupa ya pesanan daddy dua bulan lepas?"

Datuk Sulaiman mengeluh berat tatkala pandangannya sudah bertaut dengan Hayla. Sakit benar matanya melihat pakaian terbuka yang terdedah di tubuh anak gadisnya itu. Menampakkan bentuk tubuhnya yang ramping. Ketat!

"Ala daddy. Sekarang tengah musim panas. Rasa nak terbakar dah Hayla ni bila keluar rumah. Bukan selalu pun..."

"Dah sedia nak tempah tiket ke neraka? Tak kesian dekat daddy kena menjawab kat sana nanti?" bidas Datuk Sulaiman sambil menggelengkan kepalanya. Ada rasa malu menujah tangkai hati apatah lagi dengan kehadiran sahabatnya di sisi tika ini.

"Daddy ni..."

"Tak payah nak menjawab. Kau Marzuki! Pakai baju sampai dua lapis tapi tak ada pula kau tolong tutupkan Hayla yang dah terbuka sana sini. Apa nak jadilah dengan kau orang berdua ni. Pening dibuatnya!"

Seketika, suasana mula tegang. Marzuki hanya tertunduk menekur kasutnya sambil memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam jas. Bagaimanalah dia boleh terjatuh cinta dengan gadis yang mempunyai seorang ayah taat agama ini? Telinganya seakan bernanah saja tika ini!

Menyedari suasana tegang di antara anak beranak itu membuatkan Ustaz Sorban sudah berura-ura untuk pergi. Dengan isyarat mata, dia mengarahkan si anak untuk membawa bagasinya. Bahu Datuk Sulaiman ditepuk lembut.

"Sul... aku pergi dulu ya. Jaga kesihatan kau baik-baik. Jangan layankan sangat stres tu. Kalau ada apa-apa masalah, kau call je aku. InsyaAllah, mana aku boleh tolong aku tolong."

"Yalah. Maaflah ya aku buat sesi membebel pula depan kau."

Ustaz Sorban tersenyum nipis. Dia berjabat tangan dengan Datuk Sulaiman diikuti oleh si anak.

"Tak apalah. Aku faham. Cik Hayla, jaga daddy ni baik-baik. Dia tak sihat mana pun sebenarnya. Jangan bagi dia tertekan sangat," pesan Ustaz Sorban. Kasihan melihat rakannya yang dirudung masalah tanpa henti.

"Pak cik..."

Seketika, Datuk Sulaiman bertaut pandangan dengan si anak muda yang sedang menanggalkan jas. Terkebil-kebil lelaki tua itu tatkala si pemuda menghulurkan jas kepadanya. Tujuan untuk apa pun dia tak tahu.

"Pakaikan untuk Cik Hayla. Sekurang-kurangnya, kuranglah mata yang melihat kalau dia keluar dari sini nanti. Tak elok juga untuk dia bila diperhatikan orang lain."

Mendengar hal itu, Hayla memusatkan pandangan ke arah si pemuda yang sedang membelakanginya. Dahinya berkerut. Rasa tercabar! Mahu saja dilontarkan kata-kata nistanya kepada si pemuda berkulit sawo matang itu. Berlagak alim!

Dia ini suka dilihat orang! Sudah tentunya itu jadi asbab utama dia memakai pakaian terbuka.

"Terima kasih."

"Sama-sama. Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum."
Si pemuda berpamitan. Membuntuti ayahnya tanpa menoleh ke belakang lagi. Tika itu, dia hanya mampu mendoakan agar Datuk Sulaiman bersabar dalam membimbing anak gadisnya.

Dia mengerti, mendidik anak gadis itu lebih berat tugasnya apatah lagi melibatkan hal maruah diri.

"Hah! Pakai ni. Apalah nak jadi dengan Hayla ni kan. Makin menjadi-jadi sikapnya. Saja nak memalukan daddy depan kawan daddy!"

Hayla mendengus. Disambutnya jas milik si pemuda lalu disarung ke tubuhnya. Tak mahu lagi mendengar tazkirah spontan si ayah di khalayak ramai. Bingit!

TAUFIQ HANZALAH: PENDOSA TANPA NOKTAH (EBOOK)Where stories live. Discover now